oleh Rani Rasiah

Kerajaan merupakan antara majikan yang paling teruk dari segi layanan terhadap pekerja-pekerja kontrak bawahan. Penderitaan lebih daripada 200,000 orang pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di premis-premis dua majikan terbesar, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, adalah bukti kepada kenyataan ini.

Konvoi motosikal 4-hari anjuran Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang sekarang ini sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Putrajaya, merupakan usaha untuk menarik perhatian Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, kepada nasib pekerja-pekerja pembersihan kontrak di hospital-hospital kerajaan dalam negara. Tuntutan utama yang dikemukakan oleh kesatuan ialah tuntutan umum daripada semua pekerja kontrak dalam jabatan-jabatan kerajaan: Kerajaan harus menyerap semua pekerja kontrak ke dalam perkhidmatan awam.

Ini merupakan satu tuntutan yang sukar dicapai memandangkan peraturan ekonomi neoliberal yang mengutamakan “perkhidmatan awam yang dikuruskan” dan “kerajaan kecil”. Namun, pematuhan kepada peraturan neoliberal ini melalui sistem kontrak yang diamalkan oleh kerajaan bermakna pembiakan kemiskinan dalam kalangan sebahagian besar rakyat. Melalui sistem ini, seorang pekerja diupah dengan kontrak bertempoh dua hingga tiga tahun yang boleh diperbaharui berulang kali oleh syarikat kontraktor yang berlainan sehingga pekerja itu bersara. Tempoh perkhidmatan tidak pernah diambil kira dalam menentukan gaji atau faedah kerja, dan sekiranya seorang pekerja itu bekerja selama 20 tahun pun akan sentiasa kekal pada gaji minimum, yang seterusnya menjejaskan simpanan KWSP serta caruman PERKESO pekerja itu.

Menteri-menteri dan golongan elit politik sering bercakap tentang membantu rakyat untuk keluar daripada kemiskinan, tetapi mereka harus sedar bahawa kerajaan sedang melakukan sesuatu yang bertentangan melalui sistem kontraknya. Inilah sebabnya kenapa kesatuan pekerja hospital NUWHSAS meminta penghapusan sistem kontrak ini.

Selain itu, adakah pada asasnya sah di sisi undang-undang untuk menggunakan sistem kontrak bagi kerja-kerja yang bersifat kekal, seperti pembersihan, pertukangan kebun dan perkhidmatan kawalan keselamatan di hospital, sekolah dan jabatan yang lain?

Pekerja-pekerja kontrak kerajaan bukan sahaja ditindas oleh sistem kontrak yang tidak adil, malah juga oleh syarikat-syarikat kontraktor yang dipilih oleh kerajaan itu. Salah satu aduan daripada pekerja-pekerja kontrak hospital adalah mengenai penindasan terhadap kesatuan sekerja oleh majikan mereka, Edgenta UEMS yang berhubung kait dengan Khazanah Nasional Berhad, sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang bereputasi di mana institut penyelidikan yang ditajanya kerap kali menerbitkan hasil kajiannya mengenai kemiskinan dan petunjuk kemiskinan. Aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja, seperti mesyuarat jawatankuasa tempat kerja di luar waktu kerja telah disabotaj oleh pihak pengurusan syarikat di hospital. Pemimpin-pemimpin kesatuan yang aktif telah digugurkan apabila kontrak mereka mencapai tempoh untuk pembaharuan. Kewujudan kesatuan sekerja telah diancam sementara menunggu keputusan kes mahkamah selepas syarikat kontraktor menggunakan helah lama yang kotor untuk memindahkan kontrak kepada syarikat yang lain sekali gus menjadikan kesatuan sekerja kehilangan kuasa untuk mewakili ahli-ahlinya. Kenapa menafikan perlindungan kesatuan sekerja untuk pekerja-pekerja ini? Apakah pendirian kerajaan dalam isu ini?

Kesatuan sekerja mungkin tidak diperlukan sekiranya kerajaan mengambil berat tentang kebajikan dan hak pekerja. Namun, kerajaan telah berdiam diri apabila kontraktor yang dipilihnya menindas pekerja-pekerja di premis kerajaan secara terbuka. Malah pada ketika rencana ini ditulis, terdapat sekurang-kurangnya 14 buah sekolah di Perak dan Selangor (sudah pastinya lebih banyak lagi di seluruh negara) di mana pekerja-pekerja kontrak tidak dibayar gaji mereka sehingga tiga bulan lamanya. Dan yang pastinya pekerja-pekerja ini tidak memfailkan aduan di Pejabat Tenaga Kerja kerana takut kehilangan kerja. Bagaimana pekerja-pekerja ini memberi makan kepada keluarga mereka dan membayar sewa rumah? Pejabat-pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan-jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah dimaklumkan tentang masalah ini, dan aduan juga dibuat oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) kepada Kementerian Pendidikan. Malangnya, kerajaan yang bertanggungjawab ke atas sistem kontrak dan kegagalannya ini, serta merupakan pihak yang membayar upah, enggan mencampurtangan dengan alasan bahawa pekerja-pekerja ini ialah pekerja swasta dan aduan harus dibuat di Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Adalah harapan untuk pekerja-pekerja pembersihan hospital yang sedang berkonvoi bahawa YB Khairy akan bertemu dengan mereka dan mendengar keluhan mereka apabila mereka tiba di Kementerian Kesihatan di Putrajaya. Mereka meminta perubahan kepada dasar yang teruk, dan berharap ianya cukup masuk akal untuk sebuah kerajaan yang prihatin supaya bertindak dalam menyelesaikan masalah ini.

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Kerajaan harus hentikan penganiayaan terhadap pekerja kontrak

  1. Aduan mengenai isu majikan Membuat potongan gaji suka suka Dan menghukum perkerja yang pergi rawatan temujanji di Klinik kerajaan dan time Slip melebih 2jam, tidak ada di rokol.majikan potong gaji sekiranya membawa pesakit anak perkerja yang OKU ke temujanji ulangan ke hospital atau Klinik kerajaan. Perkerja yang mempunyai masalah kesihatan kronik di paksa membuat kerja berat. Saya ingin pihak tuan tolong mengambil tindakan yang wajar mengenai isu kes ini. Ribuan terima kasih pada Tuan .

Leave a Reply to John Periasamy Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *