6 FEBRUARI 2022: Walaupun menghadapi halangan daripada pihak majikan, tetapi konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital tetap meneruskan perjalanan mereka untuk mara ke hadapan demi memperjuangkan hak pekerja.

Hari ini ialah hari kedua kempen konvoi motosikal Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang membawa tuntutan untuk menghapuskan sistem kontrak dan menghentikan penindasan terhadap kesatuan pekerja.

Perjalanan hari kedua untuk konvoi motosikal pekerja pembersihan hospital ini bermula dari Taiping dan berakhir di Kampar. Rombongan konvoi motosikal NUWHSAS telah bersinggah di Hospital Kuala Kangsar, Hospital Sungai Siput, Hospital Tanjung Rambutan, Hospital Ipoh dan Hospital Kampar.

Satu sidang akhbar diadakan di hadapan Hospital Ipoh apabila rombongan konvoi NUWHSAS tiba di situ. Menurut Roziah, Pengerusi NUWHSAS, walaupun terdapat halangan daripada pihak majikan, tetapi tidak dapat mematahkan usaha kesatuan untuk menyuarakan hak pekerja. “Tujuan kempen kami adalah ikhlas, jujur dan tanpa sebarang keganasan,” kata Roziah. Roziah juga mengatakan bahawa beliau terharu melihat sambutan dan sokongan yang menggalakkan daripada orang ramai untuk kempen konvoi motosikal ini.

Menurut M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif NUWHSAS, pihak syarikat Edgenta UEMS telah menggunakan pelbagai cara untuk menghalang para pekerja pembersihan hospital di bawahnya daripada mengambil bahagian dalam kempen pekerja ini. Pihak pengurusan enggan meluluskan cuti kepada anggota kesatuan hanya kerana hendak menghalang mereka daripada menyertai kempen konvoi motosikal ini. Penyelia Edgenta UEMS di setiap hospital juga memberi amaran kepada pekerja-pekerja untuk jangan menyambut rombongan konvoi motosikal NUWHSAS. Jelasnya tindakan pihak majikan yang menghalang pekerja daripada mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan inilah merupakan penindasan terhadap kesatuan yang dibantah oleh NUWHSAS selama ini.

Terdapat sedikit halangan di atas jalanraya pada hari ini apabila polis menahan konvoi NUWHSAS di Sungai Siput. Namun, konvoi telah dilepaskan untuk meneruskan perjalanan setelah aktivis NUWHSAS memberi penerangan kepada pegawai polis mengenai tujuan kempen mereka.

Walau bagaimanapun, kepimpinan kesatuan NUWHSAS tetap meneruskan kempen konvoi motosikal yang menuju ke Putrajaya untuk mengetengahkan tuntutan pekerja. Rombongan konvoi motosikal NUWHSAS dijangka akan tiba di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada waktu pagi 8 Februari 2022.

“Kami menuju ke Putrajaya untuk cuba berjumpa dengan Menteri Kesihatan. Kami berharap Menteri YB Khairy Jamaluddin boleh meluangkan masa untuk berjumpa dan mendengar masalah pekerja ini. Janganlah seperti pihak majikan yang enggan peduli pada pekerja. Kerajaan yang menganugerahkan kontrak kepada syarikat kontraktor, maka kerajaan juga ada tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja. Kami juga berharap pihak berkuasa supaya jangan menghalang perjalanan konvoi kesatuan ini,” tegas kata Sarasvathy.

Tiga tuntutan utama yang dibawa dalam kempen konvoi motosikal NUWHSAS ini ialah:

  1. Hapuskan sistem kontrak dan serap kembali pekerja sebagai pekerja tetap yang diupah langsung oleh kerajaan;
  2. Bayar elaun COVID-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan, termasuk pekerja pembersihan;
  3. Hentikan pemerasan terhadap kesatuan.

Berikut ialah koleksi gambar sepintas lalu hari kedua kempen konvoi motosikal NUWHSAS:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *