(gambar arkib)

oleh S. Arutchelvan

Kenyataan daripada Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang diterbitkan dalam Bernama pada 6 Februari 2022, adalah tidak mengejutkan sambil tidak masuk akal. Tulisan ini bertujuan untuk membalas hujahannya.

1. MEF berkata bahawa “ini bukannya masa yang sesuai untuk meningkatkan kos perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 akan menjejaskan pemulihan ekonomi”. Nampaknya ini merupakan templat respon standard yang digunakan setiap kali gaji minimum dibincangkan. Mungkin dia patut menyatakan bila masanya yang sesuai untuk meningkatkan gaji minimum kerana nampaknya masa sebegitu tidak pernah sampai pun. Pada setiap masa, pendirian MEF ialah tidak mahu peningkatan gaji minimum, sama ada semasa ekonomi bertumbuh pesat ataupun ekonomi meleset.

2. “Kita harus ingat bahawa kebanyakan perniagaan Malaysia ialah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME), di mana 98.9% berada dalam kumpulan ini.” Kenyataan ini tidak mengambil kira berapa banyak pekerja yang diupah oleh MSME ini. Walau apapun, PSM berpandangan bahawa kumpulan ini memerlukan bantuan tetapi strateginya harus melalui cara mengenakan cukai terhadap individu-individu dan syarikat-syarikat yang sangat kaya sementara memberi subsidi-silang kepada MSME yang memerlukan bantuan. Dalam senario kita hari ini, MEF akan membantah semua jenis cukai, seperti cukai kekayaan, cukai keuntungan modal dan sebagainya. MEF juga akan membantah penetapan siling untuk gaji tertinggi. Strategi MEF hanyalah memastikan gaji terus ditekan pada paras rendah dan pekerja-pekerja yang bergaji paling rendah kekal bergaji rendah. Peningkatan gaji minimum adalah berkemungkinan sekiranya kita juga menyelaraskan gaji dan pendapatan golongan teratas.

3. “Gaji minimum RM1,500 akan meningkatkan kos barangan dan perkhidmatan, dan kos operasi pasti akan meningkat.” Akan tetapi, dalam beberapa bulan yang lalu, kita telah menyaksikan peningkatan dalam harga barangan tetapi tiadanya peningkatan dalam gaji. Jadi, berdasarkan logik MEF ini, bagaimana inflasi meningkat terlebih dahulu tanpa adanya peningkatan gaji? Adakah apa-apa yang tidak betul dengan motto ini? Bukankah kita sebaliknya harus berkata bahawa oleh sebab inflasi telah meningkat, maka gaji juga harus meningkat?

4. “Gaji minimum RM1,500 kebanyakannya akan pergi kepada pekerja asing kerana pekerja tempatan sudah dibayar gaji lebih daripada ini, dan pengaliran keluar matawang akan meningkat lebih lanjut lagi.” Hujah murahan ini hanyalah cubaan MEF menghasut warga Malaysia untuk bermusuhan dengan pekerja-pekerja asing yang bekerja dalam bidang pekerjaan 3D (dirty – kotor, difficult – susah, dangerous – bahaya). Apakah masalahnya mereka yang melakukan kerja yang paling kotor, susah dan bahaya itu dibayar dengan gaji yang lebih banyak? Meskipun demikian, MEF jugalah yang sentiasa melobi kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak pekerja asing kerana ia seiring dengan dasar buruh murah mereka. Selain itu, pada hari ini, kita mempunyai 300,000 orang pekerja yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah dan hospital-hospital, di mana mereka bergantung 100% pada gaji minimum. Kebanyakan pekerja ini ialah warga Malaysia. Jadi, kenyataan bahawa semua atau kebanyakan pekerja Malaysia memperoleh pendapatan bulanan lebih daripada gaji minimum adalah tidak benar.

PSM melihat dengan berhati-hati dan curiga pada kenyataan oleh M. Saravanan selaku Menteri Sumber Manusia yang mengatakan bahawa gaji minimum akan meningkat kepada sekitar RM1,500 pada penghujung tahun ini. Pertama sekali, gaji minimum sepatutnya dikaji semula dan dilaksanakan pada awal tahun ini, bukannya penghujung tahun ini. Satu-satunya sebab pengumuman ini dibuat sekarang adalah berkemungkinan bahawa ia hanyalah muslihat pilihanraya kerana pilihanraya umum dijangka akan diadakan pada separuh kedua tahun ini. Untuk pengetahuan sekalian, kedua-dua Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam manifesto pilihanraya mereka yang lalu, telah bersetuju untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh satu penggal, dan tempoh 5-tahun ini akan sampai pada tahun hadapan. Jadi, angka RM1,500 ini bukannya sesuatu yang menakjubkan kerana ia sudah dijanjikan lebih 5 tahun sekarang.

PSM telah menyampaikan pandangan kami semasa perjumpaan dengan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara. Walaupun jika kita menggunakan formula gaji minimum kerajaan untuk mengira gaji minimum pun, gaji minimum sepatutnya RM2,017 seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah. Walaupun begitu, kami berpandangan bahawa gaji minimum harus sekurang-kurangnya RM1,800, suatu angka yang masih jauh lebih rendah berbanding formula yang menggunakan petunjuk Bank Negara.

 MALAYSIABANDARLUAR BANDAR
Nota    
aPendapatan Garis Kemiskinan (PLI, RM)2,2082,2082,208
 Purata pekerja per isi rumah1.21.21.2
bGaji median (RM)2,0622,2681,340
cPertumbuhan produktiviti buruh (P %)2.20%2.20%2.20%
dIndeks harga pengguna (CPI %)1.70%1.60%1.50%
eKadar pengangguran (UE %)4.50%4.60%4.50%
 Gaji minimum (RM)2,0172,1201,641
Sumber:
a. Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah & Kemudahan Asas 2019, DOSM
b. Laporan Survei Gaji & Upah 2020, DOSM
c. Laporan Produktiviti 2018/2019, MPC
d. Consumer Price Index, March 2021, DOSM
e. Laporan Survei Tenaga Buruh 2020, DOSM

Malaysia ialah negara dengan pekali Gini yang kedua tinggi di Asia Tenggara. Ini bermakna masyarakat Malaysia mempunyai jurang ketidaksamarataan pendapatan yang sangat besar. Kami percaya bahawa peningkatan dalam gaji minimum akan dapat sedikit sebanyak mengurangkan jurang ketidaksamarataan ini.

Tiba masanya untuk membina sebuah masyarakat yang lebih saksama, dan cubaan untuk menekankan gaji golongan pekerja yang paling miskin bukannya cara yang betul.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.



Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s