BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG – 5 FEBRUARI 2022: Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (juga dikenali sebagai NUWHSAS) memulakan konvoi bermotosikal dari Pulau Pinang ke Putrajaya pada hari ini. Rombongan konvoi motosikal yang disertai oleh anggota kesatuan NUWHSAS yang ingin mengetengahkan tuntutan mereka kepada perhatian Kerajaan Persekutuan ini, berlepas dari Bukit Mertajam pada hari ini, dan memulakan jelajah sejauh 530 km yang mengambil masa selama 4 hari.

Semasa sidang akhbar perlepasan konvoi motosikal di Bukit Mertajam, Roziah selaku Pengerusi NUWHSAS mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong yang hadir memberi sokongan kepada kempen ini dan memberi semangat kepada para pekerja untuk sampai ke Putrajaya. “Walaupun kami ini makcik-makcik, tetapi kami akan cuba bawa juga motor ini dan perjuangan kami ke Putrajaya untuk berjumpa dengan YB Khairy (Menteri Kesihatan),” kata Roziah.

Rombongan konvoi motosikal ini akan menyerahkan satu memorandum kepada Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan pada 8 Februari 2022, dengan tiga tuntutan:

  1. Hapuskan sistem kontrak dan serap kembali pekerja sebagai pekerja tetap yang diupah langsung oleh kerajaan;
  2. Bayar elaun COVID-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan, termasuk pekerja pembersihan;
  3. Hentikan pemerasan terhadap kesatuan.

Dalam perjalanan hari pertama kempen konvoi motosikal ini, rombongan NUWHSAS yang menuju ke arah selatan telah bersinggah di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya, Hospital Sungai Bakap, Hospital Parit Buntar dan Hospital Taiping. Konvoi motosikal NUWHSAS dijangka akan sampai di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada 8 Februari 2022.

Pekerja-pekerja pembersihan hospital yang bergabung dalam NUWHSAS bertekad mempertahankan hak kesatuan daripada ancaman majikan yang sentiasa menindas kesatuan, di samping mendesak penghapusan sistem kontrak yang memiskinkan pekerja bawahan yang berkhidmat di premis kerajaan.

Berikut ialah koleksi foto sepintas lalu hari pertama kempen konvoi motosikal NUWHSAS:

One thought on “Pekerja pembersihan hospital berlepas dari Bukit Mertajam menuju Putrajaya: Konvoi motosikal pekerja nak jumpa Khairy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *