Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

132 orang petani kecil di Kanthan, Perak, menerima notis peguam baru-baru ini. Surat yang bertarikh 2 Disember 2021 tersebut memberitahu bahawa mereka sedang menduduki tanah yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) tanpa kebenaran pemilik tanah dan mereka dikehendaki untuk keluar dari situ dalam tempoh 30 hari. Surat tersebut memberi amaran bahawa sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.

PKNP ialah sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang ditubuhkan pada tahun 1967 melalui satu enakmen dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Ia tidak terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tetapi sepatutnya menyerahkan laporan kewangannya kepada Dewan Undangan Negeri setiap tahun. Laporan Tahunan bersama dengan akaunnya terbaru yang dimuat naik dalam laman web PKNP ialah untuk tahun 2017.  

Tanah yang sedang diusahakan oleh lebih 130 orang petani ini telah diberikan hak milik kepada PKNP lebih kurang 10 tahun dahulu melalui suatu perjanjian yang agak dicurigai. Di Malaysia, tanah ialah urusan Kerajaan Negeri, maka semua kuasa yang berkaitan dengan pemberian hak milik tanah negeri adalah diserahkan kepada “Pihak Berkuasa Negeri”, dan di hampir semua negeri di Malaysia, kuasa ini dipegang oleh Menteri Besar untuk negeri berkenaan. Menteri Besar juga merupakan Pengerusi kepada Lembaga Pengarah PKNP. Jadi, Menteri Besar selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan boleh meluluskan pemberian hak milik tanah berkeluasan lebih 1,000 ekar kepada PNKP yang dipengerusikannya sendiri.

132 orang petani kecil yang terkesan dengan pengusiran ini merupakan petani generasi ketiga. Tanah ini telah diteroka sejak zaman sebelum Perang Dunia II oleh datuk nenek mereka. Pada tahun 1950-an, mereka dipaksa oleh kerajaan penjajah untuk merobohkan rumah mereka yang terletak di atas tanah kebun dan dipindahkan ke dalam kampung-kampung baru. Terdapat 3 buah kampung baru cina di kawasan berdekatan – Kuala Kuang, Kanthan dan Rimba Panjang. Rancangan Briggs ini dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa penjajah British untuk memutuskan rantai bekalan kepada pemberontak komunis pada masa itu yang mempunyai sokongan besar dalam kalangan penduduk tempatan. Sejak itu, petani-petani ini menetap di dalam kampung-kampung baru dan menjaga kebun mereka yang terletak dalam lingkungan jejari 3 batu dari kampung baru mereka.  

Mereka ini ialah komuniti petani kecil. PKNP menjalankan satu survei ke atas 132 buah kebun baru-baru ini dan mendapati bahawa 24 buah kebun (18%) berkeluasan kurang daripada 2 ekar, 41 buah kebun (31%) antara 2 hingga 4 ekar, 27 buah kebun (20%) antara 4 hingga 6 ekar, dan 19 buah kebun (14%) antara 6 hingga 8 ekar. Hanya 17% daripada kebun ini bersaiz lebih 8 ekar dan ianya termasuk kolam bekas lombong lama yang digunakan untuk penternakan ikan. Walau bagaimanapun, petani-petani ini telah mempelajari cara-cara untuk menguruskan tanah ini dengan baik dan mereka mengeluarkan lebih kurang 50 hingga 60 tan hasil sehari – jagung, terung, bendi, kacang panjang, telepok, pelbagai jenis sayur-sayuran berdaun, ikan air tawar dan kelapa sawit. Dan semua ini dilakukan tanpa sebarang sokongan atau subsidi daripada kerajaan. Kawasan Kanthan ialah tapak kebun pasaran tunggal yang terbesar di negeri Perak, dan ia telah diuruskan secara lestari oleh sebuah komuniti petani kecil dengan pengalaman hampir 100 tahun dalam mengendalikan keadaan tanah dan cuaca sedia ada. Komuniti kebun pasaran Kanthan ialah satu aset ekonomi dan strategik kepada negara kita!

Menurut laman webnya, PKNP ditubuhkan untuk melaksanakan strategi jangkamasa panjang dalam menggunakan sumber-sumber negeri dan membawa pertumbuhan yang mampan kepada ekonomi negeri. Namun, PKNP telah memutuskan untuk menukarkan seluruh kawasan Kanthan daripada tanah pertanian kepada tapak pembangunan perumahan dan perindustrian (Silver Valley Technology Park). Tiga lot tanah yang berkeluasan lebih kurang 100 ekar yang terletak di bahagian hujung selatan kawasan Kanthan telah diberikan hak milik kepada syarikat-syarikat pemaju swasta – Bukit Aneka Sdn Bhd, KM Majubina Sdn Bhd dan Banjaran Barat Sdn Bhd. Syarikat pemaju yang pertama telah memfailkan kes di mahkamah untuk mengusir keluar 8 orang petani dari tanah “miliknya”. Syarikat tersebut berbuat demikian melalui cara permohonan di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, tetapi petani berjaya menewaskannya – petani kalah di Mahkamah Tinggi tetapi berjaya membatalkan keputusan itu di Mahkamah Rayuan. Selepas itu, syarikat Bukit Aneka Sdn Bhd memfailkan satu saman writ.  

Syarikat pemaju yang kedua, KM Majubina Sdn Bhd, mengerahkan sekumpulan 12 orang lelaki Melayu pada bulan April 2021, dengan membawa jentolak untuk membersihkan tanah seluas 48 ekar yang diberi hak milik kepada KM Majubina. PSM telah membantu petani-petani ini untuk menghentikan cubaan pengusiran ini dengan menduduki tanah tersebut, membuat banyak aduan polis dan membawa isu ini kepada perhatian Ketua Polis Negeri Perak. Kami mengetengahkan sikap tidak bertanggungjawab syarikat KM Majubina (sebuah syarikat pemaju yang dimiliki orang Cina) yang mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk cuba mengusir secara paksa sebuah komuniti petani Cina. Ini merupakan 3 hari yang penuh tegang, apabila sesetengah lelaki yang diupah oleh KM Majubina agak agresif – mereka memberitahu pada saya bahawa mereka telah menganggur kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mereka perlu menyempurnakan tugasan kerana mereka hanya akan dibayar selepas menyempurnakan kerja yang diberikan itu. Peguam kami berjaya mendapatkan satu perintah mahkamah di bawah Seksyen 99(1) Kanun Prosedur Jenayah yang mewajibkan bahawa status quo harus dikekalkan (iaitu petani-petani mengekalkan pemilikan tanah) sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai isu tanah yang asas itu. KM Majubina membatalkan tindakan kerasnya pada hari ketiga, dan sejak itu melancarkan tindakan undang-undang – saman pemula telah difailkan. Syarikat pemaju yang ketiga pula sedang menunggu masanya.

Episod KM Majubina ini mendedahkan sebahagian maklumat yang tidak menyenangkan. Kami mendapati daripada dokumen yang difailkan dalam Mahkamah Majistret bahawa 48.23 ekar tanah tidak dijual secara langsung oleh PKNP kepada KM Majubina. Sebaliknya, PKNP menjual tanah tersebut kepada syarikat Matang Sands Sdn Bhd dengan harga RM4.823 juta. Syarikat Matang Sands pula menjual tanah tersebut sehari selepas itu dengan harga RM5.823 juta. Kenapa PKNP tidak menjual secara terus kepada KM Majubina dan mendapatkan RM1 juta tambahan itu?

RM4.823 juta untuk 48.23 ekar tanah bersamaan dengan RM2.30 per kaki persegi. Tetapi harga tanah di kawasan berkenaan adalah lebih kurang RM15 per kaki persegi. Kenapa PKNP mengewangkan aset tanah negeri pada harga diskaun sedemikian murah? PKNP hanya menerima RM4.823 juta untuk 50 ekar tanah yang dijualnya sedangkan nilai tanah yang sebenar untuk kawasan ini ialah RM30 juta – seolah-olah satu kerja amal kebajikan untuk pemaju? Ataupun ada sesuatu yang lain sedang berlaku?

Petani-petani Kanthan meminta PSM untuk mengadakan satu mesyuarat selepas mereka menerima notis pengusiran. Kami mengadakan satu mesyuarat dengan mereka pada 11 Disember 2021. Kami memberitahu mereka bahawa kami akan membantu mereka dalam memfailkan satu pembelaan dan tuntutan balas di dalam mahkamah. Namun, kami juga memberitahu kepada mereka tentang hakikat bahawa undang-undang tanah di Malaysia sangat berat sebelah. Geran tanah memberi hak sepenuhnya kepada individu atau syarikat yang namanya didaftarkan dalam geran berkenaan. Ini ialah sistem Torrens. Tiadanya peruntukan dalam Kanun Tanah Negara untuk Mahkamah melayan persoalan kenapa Pihak Berkuasa Negeri tidak memberikan hak milik tanah kepada petani-petani yang telah mengusahakan tanah berkenaan untuk selama 80 hingga 100 tahun yang lalu. Tiadanya peruntukan untuk Mahkamah mempersoalkan kewajaran memusnahkan sebuah kawasan pengeluar makanan yang berkembang maju pada ketika perubahan iklim merupakan realiti dan jaminan makanan sangat penting. Mengikut undang-undang sedia ada, hak untuk Pihak Berkuasa Negeri memberikan hak milik tanah kerajaan adalah hampir mutlak.

Kami memberitahu kepada petani-petani bahawa walaupun memfailkan pembelaan di mahkamah untuk menghalang penghakiman terus adalah penting, tetapi adalah tidak realistik untuk mengharapkan satu keputusan yang menggalakkan melalui proses mahkamah. Malah walaupun sekiranya Hakim itu bersimpati dengan petani, tetapi beliau perlu kekal dalam lingkungan undang-undang semasa. Kami memberitahu pada petani-petani bahawa jika mereka ingin mempertahankan kebun-kebun mereka daripada dimusnahkan, mereka perlu mempengaruhi pendapat awam dan dengan itu memberi tekanan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mempertimbangkan semula rancangannya membangunkan kawasan Kanthan ke dalam sebuah taman perindustrian. Kita perlu meminta supaya kawasan penanaman sayur-sayuran di Perak yang sedia wujud diwartakan sebagai kawasan pengeluaran makanan yang kekal, dan petani-petani yang mengusahakan tanah di kawasan ini harus diberikan pajakan 10 hingga 20 tahun dengan syarat mereka harus menggunakan tanah untuk tanaman makanan. Lebih kurang 50 orang petani yang hadir dalam mesyuarat ini bersetuju, dan kami telah membentuk sebuah jawatankuasa 12-orang untuk mengendalikan isu ini. Namun, ini akan merupakan satu perjuangan yang sukar!

Bolehkah anda memainkan peranan untuk membantu petani-petani kecil dan melindungi jaminan makanan? Bukankah sudah tiba masanya rakyat Malaysia sedar tentang hakikat bahawa aset tanah kita tidak diuruskan secara optimum? Kerajaan-kerajaan Negeri juga tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada isu-isu seperti jaminan makanan, kelestarian kawasan tadahan air kita dan penyelenggaraan hutan kita. Mereka nampaknya didorong oleh keinginan untuk memaksimumkan pulangan kewangan berjangkamasa pendek. Rakyat biasa harus mengingatkan pemimpin-pemimpin kerajaan kita bahawa kita mengharapkan mereka untuk menggunakan kuasa yang kita amanahkan kepada mereka dengan cara yang bertanggungjawab.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

3 thoughts on “Kemelut petani Kanthan – Seruan untuk bertindak!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *