oleh Nalini E

Hari ini, 10 Disember 2021, dunia menyambut Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa tahun ini menandakan ulangtahun ke-73 kelahiran Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.

Tema sambutan Hari Hak Asasi Manusia tahun ini berkaitan dengan “kesamarataan” dan Perkara 1 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat – “Semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak-hak.”

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut hari ini bersama dengan dunia. Kami amat bimbang bahawa kita sedang menyambut Hari Hak Asasi Manusia pada ketika hak sosio-ekonomi dan politik terus merosot. Rakyat masih dipinggirkan daripada hal ehwal pembangunan negara dan sosio-ekonomi. Hak ekonomi dan sosial seperti perlindungan sosial, air, kesihatan, pendidikan, makanan dan tempat tinggal, masih jauh dari realiti bagi kebanyakan masyarakat terpinggir.

Sekiranya terdapat satu perkara penting sebagai pengajaran daripada pandemik COVID-19, ia adalah diskriminasi dalam dasar dan tadbir urus telah menyebabkan golongan terpinggir menderita, kerana ketidakadilan dan ketidaksamarataan yang tertanam kuat. Prinsip kesamarataan dan tidak berdiskriminasi ialah nadi hak asasi manusia. Ia harus merupakan matlamat kepada mana-mana kerajaan untuk memastikan setiap insan dilindungi. Namun, kita masih menyaksikan bagaimana komuniti LGBT sentiasa disingkirkan dan didiskriminasi kerana gender, identiti dan seksualiti mereka. Pandemik COVID-19 telah menunjukkan bagaimana golongan minoriti, migran dan pelarian menanggung kesan sistem kesihatan yang lesu, berdepan dengan stigma yang semakin teruk, dan menjadi sasaran kepada tuturan kebencian dan diskriminasi.  

PSM tetap bimbang bahawa berikutan pandemik COVID-19, rakyat terus mengalami peminggiran dan pelbagai bentuk penindasan serta pencabulan di dalam negara ini. Pelanggaran hak asasi manusia seperti kematian dalam tahanan, penyeksaan, serangan, penangkapan tidak sah dan gangguan terhadap media, pembela hak asasi manusia dan aktivis parti pembangkang telah meningkat sepanjang tahun lalu. Kerajaan dan institusi penguatkuasaan undang-undang di bawahnya telah dikenalpasti sebagai pelaku utama dalam pelanggaran hak ini.

PSM juga kecewa bahawa sekatan terhadap kebebasan asas, yang dilaksanakan kononnya untuk membendung pandemik COVID-19, telah memburukkan lagi pencabulan hak dan kewenangan yang berkaitan oleh pihak kerajaan. Menurut SUARAM, penindasan terhadap hak untuk kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan telah meningkat pada tahun 2021. Pada tahun 2021, kerajaan telah menggunakan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia secara agresif terhadap pengkritik kerajaan, rakyat biasa dan pembela hak asasi manusia.

Pada 14 Oktober 2021, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah memilih Malaysia untuk menyertai Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi tempoh tahun 2022 hingga 2024. Kerajaan telah membuat banyak janji dalam ikrarnya untuk mendapatkan kedudukan tersebut. Kerajaan Malaysia harus menunjukkan komitmennya terhadap hak asasi manusia selaku bakal anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan memperkukuhkan perlindungan hak asasi di Malaysia.

Dalam keadaan yang menghampakan pada masa kini, kami mengambil kesempatan ini untuk menyeru supaya wujudkan toleransi dan penerimaan, sebuah budaya saling menghormati antara satu sama lain dan penghargaan terhadap kepelbagaian serta keterangkuman. Kami percaya bahawa masyarakat yang bertoleransi ialah asas kepada menikmati sepenuhnya hak-hak asasi yang ditetapkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kerajaan harus menerima prinsip dan semangat Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, di samping menghormati, melindungi dan memenuhi semua hak asasi manusia rakyatnya, serta menamatkan sebarang bentuk diskriminasi dan ketidaksamarataan.

==========

Nalini E ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *