Dr. Jeyakumar Devaraj

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), sedang disiasat oleh pihak polis kerana memuat naik satu hantaran facebook yang menyeru untuk membebaskan serta-merta seorang petani di kawasan Kanthan, Perak, yang ditangkap polis pada 8 April 2022.

Pihak polis akan menyiasat Dr. Jeyakumar Devaraj di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan (berkaitan “kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau yang mungikin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain”) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (berkaitan “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll”).

Hantaran facebook Dr. Jeyakumar Devaraj tersebut berkaitan dengan penangkapan Tan Tean Chee, seorang petani kecil di kawasan Kanthan, Chemor, Perak, selepas insiden petani-petani di Kanthan menghalang pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) daripada memasuki tanah kebun yang diusahakan mereka di situ tanpa sebarang notis pada 8 April 2022. Tan dibebaskan dengan ikatan jamin polis selepas ditahan beberapa jam.

Dr. Jeyakumar Devaraj bersama Tan Tean Chee selepas Tan dibebaskan pada awal pagi 9 April 2022.

Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid selaku Ketua Polis Negeri Perak berkata dalam siaran media yang dikeluarkan pada 10 April 2022 bahawa kenyataan dalam halaman facebook Dr. Jeyakumar itu “berniat jahat dan memutar belit fakta mengenai kejadian tersebut, kononnya agensi kerajaan berkenaan dibantu oleh pihak polis cuba menceroboh masuk ke tanah tersebut”. Pihak polis menuduh bahawa kenyataan Dr. Jeyakumar itu “kelihatan sengaja dikeluarkan dengan niat hendak mengapikan dan menghasut sentimen orang awam terhadap kredibiliti agensi-agensi kerajaan terbabit, khususnya PDRM”.

Berikutan siaran media daripada Polis Perak, Dr. Jeyakumar berkata dalam hantaran twitternya bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan polis. “Saya harap polis juga akan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mendapat manfaat daripada pemberian hak milik tanah kerajaan kepada syarikat swasta dengan harga diskaun yang banyak. Kami mempunyai bukti,” kata Dr. Jeyakumar.

Petani-petani di beberapa kawasan di negeri Perak yang mengeluarkan sumber makanan sedang diancam pengusiran paksa, walaupun negara kita sedang berhadapan dengan risiko krisis makanan. Petani-petani kecil ini telah mengusahakan aktiviti pertanian yang membekalkan bahan makanan kepada penggunaan masyarakat tempatan berdekad-dekad lamanya, tetapi masih tidak mempunyai hak milik tanah walaupun sesetengah daripada mereka pernah memohon geran tanah. Banyak kawasan yang diusahakan oleh petani-petani kecil ini dilupuskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan MB Inc, yang kemudiannya ada yang dijual pula kepada pemaju swasta untuk projek perumahan atau perindustrian. Adanya sesetengah daripada pemberian hak milik tanah itu mencurigakan. Ini menyebabkan petani-petani ini menghadapi pengusiran paksa tanpa alternatif yang membolehkan mereka untuk meneruskan aktiviti pertanian yang merupakan punca pendapatan mereka dan juga sumber bekalan makanan kepada masyarakat kita.

PSM telah lama menggesa pada pihak kerajaan supaya melakukan pembaharuan undang-undang dan pelaksanaan dasar yang memberi perlindungan yang lebih terjamin kepada petani-petani kecil, bukan sahaja dapat melindungi rezeki mereka, malah juga untuk mewujudkan jaminan makanan kepada masyarakat umum di negara kita.

One thought on “Dr. Kumar disiasat polis kerana seru pembebasan petani yang ditahan polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *