oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)

JPKK kesal dengan pengumuman Bajet 2022 yang nampaknya gagal menghargai jasa pekerja barisan hadapan seperti pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di hospital dan juga sekolah. Tidak juga ketinggalan adalah barisan doktor kontrak. Walaupun bekerja dalam ancaman wabak sebagai pekerja lapisan pertama yang terdedah dengan penyakit dan sisa operasi, jasa mereka tidak dihargai, malah keadaan kerja mereka terus terabai seumpama sistem perhambaan moden.

Hasil kajian kami telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada 18 Disember 2020, dan kami juga telah menyalurkan cadangan kami kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi, tetapi kami tidak melihat sebarang indikasi berkenaan isu ini dalam perutusan oleh Menteri Kewangan semasa pengumuman Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021.

Sejak khidmat pembersihan dan kawalan keselamatan diswastakan pada tahun 1997, pekerja-pekerja ini menjadi pekerja kontrak yang hilang jaminan kerja dan kenaikan gaji tahunan. Pekerja terus dimangsakan di bawah kontraktor swasta yang bertukar setiap 2-5 tahun. Ramai yang bekerja selama 2 dekad di bangunan sama tetapi masih dihantui ancaman diberhentikan kerja di akhir kontrak. Gaji mereka pula terikat pada kadar gaji minimum. Masalah bayaran gaji, seperti kiraan OT dan cuti yang tidak munasabah, selain bayaran lambat berbulan-bulan lamanya, terus berleluasa di seluruh negara. Ramai mengadu bahawa mereka bekerja tanpa cuti, dan tidak pula mereka diiktiraf sebagai frontliner untuk menikmati elaun istimewa. Ini bukan caranya untuk kita menghargai pengorbanan mereka.

Kajian JPKK telah membuktikan sekurang-kurangnya sebanyak RM250 juta boleh dijimatkan sekiranya kerajaan menyerap kumpulan pekerja ini sebagai pekerja tetap kerajaan. Di samping menjimatkan dana kerajaan dalam usaha kita memulihkan keadaan ekonomi negara, langkah ini juga akan membuka sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan tambahan di seluruh negara. Hak asasi mereka juga lebih terjamin di bawah sistem kerja tetap, selain kenaikan gaji dan perlindungan pencen. Langkah penjimatan ini juga sangat rasional lebih-lebih lagi kerana 250,000 orang pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun akan mendapat manfaatnya.

Perkara kedua yang amat merungsingkan pekerja kontrak adalah kadar gaji mereka yang terikat dengan gaji minimum RM1,200. Malangnya, tidak ada sebarang kenyataan dibuat mengenai kenaikan gaji minimum, walaupun Menteri Sumber Manusia pernah mengatakan bahawa ada berita baik untuk golongan pekerja mengenai gaji minimum semasa berucap dalam forum anjuran Gabungan Marhaen. Paras gaji minimum sekarang adalah terlalu rendah dan sepatutnya disemak semula.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan menghormati Seksyen 11 Akta Buruh 1955, yang menyatakan bahawa kerja tetap, seperti yang dilaksanakan kumpulan pekerja ini, tidak boleh diupah di bawah sistem kontrak. Kementerian Pendidikan perlu memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam memastikan hak pekerja barisan hadapan di sekolah ini terjamin, begitu juga dengan Kementerian Kesihatan yang sudah berada di bawah Menteri baharu, diharapkan dapat membawa perubahan baharu kepada pekerja barisan hadapan hospital. Pelaksanaan cadangan ini bukan sahaja satu langkah yang bijak, malah membuktikan bahawa kerajaan mengambil serius akan kebajikan golongan yang paling terkesan yang bekerja di bangunannya sendiri.

===========

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) ialah sebuah entiti yang dianggotai oleh pekerja-pekerja kontrak di premis kerajaan seperti pekerja pembersih, pengawal keselamatan dan tukang kebun, untuk memperjuangkan hak pekerja-pekerja ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s