Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

Bayangkanlah jika anda masuk kerja setiap hari, tetapi majikan tidak membayar gaji anda selama dua bulan. Apabila sampai hari sepatutnya anda dibayar gaji, majikan mengeluarkan satu memo mengatakan bahawa gaji bulan sebelum ini akan dilewatkan pembayarannya ke minggu depan; selepas menunggu seminggu lamanya, anda menerima satu lagi memo mengenai kelewatan pembayaran gaji seminggu lagi, dengan alasan “atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan” dan berjanji untuk “menyelesaikan kemelut ini dengan kadar segera”; kemudiannya minggu depan terima lagi memo yang kandungannya sama sahaja dengan tarikhnya tukar kepada satu lagi minggu ke depan… dan ini berlarutan selama dua bulan! Bagaimana anda boleh membiayai perbelanjaan kehidupan harian dalam keadaan tidak dibayar gaji dua bulan? Adakah majikan yang terus lewat membayar gaji itu faham pada kemelut pekerjanya?

Situasi yang dinyatakan di atas ini bukannya cereka, tetapi realiti yang sedang dihadapi oleh lebih kurang 200 orang pengawal keselamatan sekolah yang diupah oleh syarikat Wira Corps Security (M) Sdn Bhd. Pekerja-pekerja ini hanya menerima gaji sebulan dalam tempoh tiga bulan yang lalu, di mana gaji untuk bulan Julai 2021 hanya diterima pada penghujung bulan September 2021 sementara gaji untuk bulan Ogos dan September 2021 masih belum diterima sehingga kini pada penghujung bulan Oktober 2021.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada awalnya menerima aduan yang mengatakan bahawa 38 orang pengawal keselamatan yang ditempatkan di 10 buah premis bangunan Kementerian Pendidikan di Perlis tidak dibayar gaji selama 2 bulan. Setelah JPKK menghebahkan kenyataan akhbarnya mengenai isu ini, JPKK dihubungi oleh pekerja-pekerja lain yang diupah oleh Wira Corps Security (M) Sdn Bhd di negeri yang lain, di mana mereka juga mengalami masalah yang sama.

Adalah didapati bahawa terdapat lebih kurang 200 orang pengawal keselamatan sekolah yang diupah oleh Wira Corps Security (M) Sdn Bhd di negeri-negeri seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak, tidak dibayar gaji dengan alasan kelewatan atas “sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan” daripada pihak majikan.

Setakat pengetahuan JPKK, antara sekolah-sekolah atau bangunan-bangunan Kementerian Pendidikan di mana pengawal keselamatan mengalami masalah gaji tertunggak ini ialah:

Negeri Sembilan

  • Sekolah Kebangsaan Intan Perdana
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Perdana
  • Sekolah Kebangsaan Telok Kemang
  • Sekolah Menengah Agama Telok Kemang
  • Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Panjang
  • Sekolah Kebangsaan Tanjung Agas
  • Sekolah Kebangsaan Linggi
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd Yusof, Linggi

Pulau Pinang

  • Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Nibong
  • Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Phor Tay
  • Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Keong Hoe
  • Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Shih Chung Cawangan Sungai Nibong
  • Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwang Hwa
  • Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Min Sin
  • Kediaman Guru-guru Kerajaan Sungai Nibong
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al-Mashoor
  • Sekolah Kebangsaan Wellesley
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Westlands
  • Pusat Kecemerlangan Sukan Westlands
  • Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut
  • Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang

Perlis

  • Sekolah Kebangsaan LKTP Chuping
  • Sekolah Kebangsaan Guar Nangka
  • Sekolah Kebangsaan Oran
  • Sekolah Kebangsaan Bukit Keteri
  • Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Budriah
  • Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Hwa Aik
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Arau
  • Kuarters Guru SMK Tengku Budriah
  • Asrama Sukan JPN Perlis

Perak

  • Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kampung Coldstream
  • Sekolah Kebangsaan Pos Raya
  • Sekolah Kebangsaan Rapat Jaya
  • Sekolah Kebangsaan Rapat Setia
  • Sekolah Kebangsaan Simpang Pulai
  • Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat
  • Sekolah Kebangsaan Sungai Raya
  • Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam
  • Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat

Selain isu gaji tertunggak selama 2 bulan, kebanyakan pekerja yang diupah oleh syarikat Wira Corps juga mengadu bahawa pihak majikan tidak mencarum kepada KWSP dan PERKESO walaupun gaji dipotong setiap bulan untuk tujuan pencaruman. Terdapat juga isu pihak majikan tidak membuat bayaran kerja lebih masa (OT) mengikut kadar yang sepatutnya.

Sebahagian daripada pekerja-pekerja ini telah membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja.

JPKK menyeru pada Kementerian Pendidikan supaya mencampurtangan dengan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah gaji pengawal keselamatan yang tertunggak ini. JPKK menggesa supaya Kementerian Pendidikan menamatkan kontrak dengan syarikat kontraktor perkhidmatan kawalan keselamatan yang tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja ini, dan menggantikannya dengan syarikat yang benar-benar berkelayakan. JPKK menegaskan bahawa semua tunggakan gaji pekerja yang merupakan hasil titik peluh mereka harus dijelaskan segera kepada mereka tanpa sebarang alasan dan penangguhan lagi.

Syarikat Wira Corps yang gagal membayar gaji pekerjanya mengikut tempoh masa yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955 ini, mendapat kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan daripada Kementerian Pendidikan. Ia dibayar terus oleh kerajaan. Urusniaga syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan di premis kerajaan ini bukannya sejenis perniagaan yang hasil pendapatannya akan dipengaruhi oleh faktor turun naik pasaran dalam ekonomi. Ia akan tetap menerima bayaran daripada kerajaan tanpa mengira keadaan ekonomi di luar, selagi kerajaan menyalurkan dana kepadanya. Oleh itu, adalah tidak masuk akal untuk syarikat ini lewat dalam membayar gaji kepada pekerja-pekerjanya kecuali kelambatan pembayaran daripada pihak Kementerian Pendidikan.

Kenapa syarikat tidak membayar pekerja walaupun terus mendapat dana daripada kerajaan? Pembayaran gaji bukan sahaja dilambat-lambatkan seminggu dua, tetapi sudah mencecah dua bulan. Di mana perginya gaji pekerja? Jika bukannya Kementerian Pendidikan yang lambat dalam membayar kepada syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan untuk pembayaran gaji pekerjanya, maka ini bermakna bahawa pihak syarikat telah melakukan satu kesalahan jenayah pecah amanah.

JPKK juga berpendirian bahawa syarikat kontraktor yang gagal menjamin hak pekerja dengan membayar gaji tepat pada masanya mengikut ketetapan Akta Kerja 1955 harus disenaraihitamkan daripada terus mendapat kontrak perkhidmatan sokongan daripada mana-mana agensi kerajaan. Untuk jangka masa panjang, sistem kontrak atau penyumberan luar perkhidmatan sokongan seperti kawalan keselamatan kepada syarikat kontraktor swasta ini harus dihapuskan dan menjadikan semua pekerja perkhidmatan sokongan (seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan) di premis kerajaan sebagai pekerja tetap yang digaji terus oleh kerajaan supaya para pekerja mendapat perlindungan jaminan kerja yang berkekalan.

One thought on “Gaji pengawal keselamatan sekolah di bawah Wira Corps tertangguh-tangguh sampai 2 bulan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s