Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, merasmikan forum “Suara Pekerja: Realiti vs Harapan” anjuran Gabungan Marhaen.

oleh Gabungan Marhaen

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, mengatakan bahawa semua negara di dunia menghadapi masalah pandemik dan krisis ekonomi tetapi di negara kita, ia ditambah pula dengan krisis politik. Beliau berucap dalam forum yang bertajuk “Suara Pekerja: Realiti vs Harapan” semalam (13 Oktober 2021) anjuran Gabungan Marhaen bersama dengan 4 kumpulan pekerja yang lain, iaitu Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan, Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Forum atas talian ini merupakan sebahagian daripada 7 forum yang diadakan oleh Gabungan Marhaen bersempena Hari Antarabangsa untuk Pembasmian Kemiskinan. Forum semalam mengundang penglibatan lebih 200 orang peserta di platform Zoom dan Facebook.

Forum ini dimulakan dengan ucapan oleh Datuk Mohamed Shafie Mammal daripada UNI-MLC yang berkata bahawa pandemik telah melumpuhkan operasi perniagaan dan ratusan pekerja hilang pekerjaan. Datuk Shafie juga mencadangkan bahawa satu kajian perlu dibuat oleh Kerajaan bersama kesatuan sekerja untuk mengelakkan diskriminasi terhadap pekerja. Beliau berkata bahawa kerjasama antara pekerja dan kerajaan adalah perlu untuk untuk lindungi pekerja.

Datuk Seri M. Saravanan menyampaikan ucapan perdananya dan seterusnya merasmikan forum ini. Beliau memperkenalkan pelbagai usaha yang dilakukan oleh Kementeriannya untuk membantu pekerja dan juga industri semasa pandemik. Namun, beliau mengakui bahawa beliau mempunyai tugasan penting untuk mengimbangi kepentingan pekerja dan majikan kerana beliau juga mempunyai tanggungjawab untuk pastikan tiada industri mati di negara kita kerana industri-industri inilah yang memberi peluang pekerjaan kepada pekerja.

Menteri Sumber Manusia juga mengatakan bagaimana Kementeriannya menggunakan aplikasi aduan online di mana lebih 10,000 aduan telah diterima dan ini adalah langkah terbaik untuk melindungi identiti pekerja dan pada masa yang sama dapat memantau setiap kes. Banyak kes dapat diselesaikan dengan cara ini.

Walaupun isu gaji minimum dibincang di Parlimen dan juga dalam forum Gabungan Marhaen mengenai perumahan semalam, namun Menteri Sumber Manusia hanya berkata bahawa akan adanya berita baik mengenai kenaikan gaji minimum dalam masa terdekat. Satu penilaian semula gaji minimum sepatutnya akan diumumkan pada awal tahun 2022. Menteri turut berkata bahawa pintu pejabatnya sentiasa terbuka untuk mendengar masalah pekerja.

Selepas sesi pembukaan, forum semalam diikuti pula dengan perbincangan panel yang terdiri daripada 4 orang ahli panel. Ahli panel pertama, Mohd Salleh daripada Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan, mengatakan bahawa ramai pekerja menjadi mangsa COVID-19 kerana sikap majikan yang tidak tanggungjawab dan SOP yang mengelirukan serta merumitkan. Beliau juga bertanya tentang apa sudah jadi dengan saranan kerajaan sebelum ini yang mahu mencapai peningkatan keahlian kesatuan sebanyak 30%. Hari ini, kurang daripada 7% pekerja di Malaysia menjadi ahli kesatuan sekerja.  

Ahli panel kedua, Margaret Chin selaku Presiden Kesatuan Sekerja Perbankan Sabah, menghuraikan masalah pekerja bank di Sabah terutamanya semasa pandemik, di mana pendigitalan menjadi agenda utama bank dan ini memberi kesan kepada pekerja kerana jumlah pekerja dikurangkan dan pada masa yang sama beban kerja pekerja ditingkatkan. Situasi ini juga meningkatkan masalah kesihatan mental pekerja yang dibebani dengan pelbagai tugasan (multitasking).

V. Selvam, Pegawai Perhubungan Perusahaan daripada Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan, membincangkan tentang sejarah sistem kontrak di mana sistem ini pernah dibantah oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad pada tahun 1960-an lagi. Namun, Dr. Mahathir Mohamad yang muncul sebagai bapa penswastaan setelah menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 telah memainkan peranan dalam menyebabkan sistem kontrak diamalkan secara berleluasa. Selvam menjelaskan bagaimana pekerja tetap dipindahkan ke bawah sistem kontrak sehingga mereka terus kehilangan hak jaminan kerja pekerja. Ini adalah satu pelanggaran undang-undang mengikut Akta Kerja 1955 di mana kerja kontrak adalah hanya untuk kerja-kerja bersifat sementara atau bermusim.

Ahli panel yang terakhir dalam forum, Wardah Ibrahim yang merupakan seorang pekerja pembersihan sekolah di Perlis, berkongsi tentang isu gaji yang rendah dan tiada kenaikan gaji. Wardah juga mendedahkan pelanggaran undang-undang buruh oleh kontraktor yang mengupah pekerja pembersihan, seperti tidak membayar KWSP, membuat pemotongan gaji yang tidak sah dan sebagainya. Beliau menyeru bahawa hanya pemansuhan sistem kontrak boleh membebaskan pekerja B40 ini daripada kemiskinan.

Forum selama 2 jam ini berakhir dengan keazaman kaum pekerja untuk terus berjuang demi menwujudkan satu suasana yang lebih baik untuk kaum pekerja supaya hak pekerja dan jaminan kerja dapat dilindungi.

**********

Forum Gabungan Marhaen pada malam ini (14 Oktober 2021) yang bertajuk “Pekerja Gig: Cabaran dan Masa Depan”, akan berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh satu lagi golongan pekerja yang semakin meningkat jumlahnya di negara kita, iaitu pekerja gig yang terdiri daripada mereka yang membuat kerja-kerja e-hailing, ekonomi platform dan pekerjaan tidak formal.

Daftar di https://forms.gle/ocfXRXNQjED9TJPN6 untuk hadiri sesi melalui Zoom ataupun boleh ikuti siaran langsung di laman facebook Gabungan Marhaen.

==========

Gabungan Marhaen ialah sebuah gabungan gerakan masyarakat yang terdiri daripada komuniti-komuniti akar umbi, kolektif-kolektif masyarakat, kesatuan-kesatuan sekerja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang progresif dan aktivis-aktivis masyarakat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s