Rejim pemerintahan “Parti Keadilan dan Pembangunan” (AKP) yang dipimpin oleh Recep Tayyip Erdoğan yang semakin bersifat autoritarian sedang mempergiatkan penindasannya terhadap masyarakat Kurdi yang tinggal di dalam negara Turki dan juga di wilayah yang berdekatan dengan Turki. Parti Demokratik Rakyat (HDP), parti berhaluan kiri yang pro-Kurdi dan merupakan parti politik ketiga besar dalam Parlimen Turki, turut menghadapi serangan bertubi-tubi daripada rejim Erdoğan.

4 November 2021 menandakan ulangtahun ke-5 penahanan Figen Yüksekdag dan Selahattin Demirtaş, dua orang Pengerusi Bersama HDP, bersama-sama dengan ahli-ahli parlimen HDP yang lain. Sejak tahun 2016, lebih daripada 10,000 orang anggota HDP telah ditangkap dengan pelbagai alasan dan pertuduhan yang direkakan untuk menjustifikasi penindasan secara sistematik terhadap parti berhaluan kiri tersebut. Pada masa ini, terdapat lebih 4,000 orang anggota HDP masih berada di dalam penjara. 108 orang pemimpin HDP, termasuk Figen Yüksekdağ dan Selahattin Demirtaş yang sudah berada dalam tahanan, sedang menghadapi pertuduhan yang boleh membawa kepada hukuman penjara seumur hidup dalam “Kes Kobanî” yang masih dibicarakan di mahkamah. Pihak berkuasa Turki juga cuba untuk mengharamkan HDP. Sekiranya pengharaman HDP diputuskan oleh Mahkamah Perlembagaan Turki, ia turut melarang 451 orang ahli politik HDP daripada bergiat aktif dalam politik untuk tempoh 5 tahun yang akan datang. Pendakwaan terhadap ahli-ahli HDP di mahkamah ini merupakan tindakan yang bermotifkan politik oleh rejim berhaluan kanan di Turki untuk menghancurkan sebuah parti politik progresif yang mampu menawarkan alternatif demokratik yang sebenar.

Selain itu, puluhan wartawan telah dipenjarakan kerana menulis laporan berita yang mengkritik pihak berkuasa. Pada masa kini, 95% media Turki dikuasai oleh rejim Erdoğan, sementara 5% lagi menghadapi penapisan maklumat yang berterusan.

Semua tahanan politik di Turki telah menghadapi pencabulan hak asasi manusia secara berterusan, termasuk penahanan secara berasingan, kekurangan rawatan perubatan dan penyeksaan sama ada secara psikologi atau fizikal. Banyak organisasi hak asasi manusia telah mendokumenkan pencabulan-pencabulan hak ini.

Kenapa mendakwa pemimpin HDP kerana protes Kobanî 2014?

Perbicaraan terhadap 108 orang pemimpin HDP yang masih berjalan di mahkamah kini, berkaitan dengan dakwaan bahawa mereka “menghancurkan perpaduan dan keutuhan negara” kerana terlibat dalam protes bersolidariti dengan Kobanî pada bulan Oktober 2014.

Protes bersolidariti dengan Kobanî tercetus di Turki dan tempat-tempat lain di seluruh dunia pada bulan Oktober 2014, kerana pada masa itu kumpulan pengganas ISIS sedang melancarkan serangan ke atas bandar Kobanî yang terletak di Utara Syria. Kobanî ialah sebuah bandar yang berpenduduk majoriti Kurdi. Ribuan orang berdemonstrasi di Turki untuk bersolidariti dengan penduduk Kobanî yang menghadapi ancaman keganasan ISIS pada masa itu. Namun, pihak berkuasa Turki cuba mematahkan demonstrasi dengan kekerasan, maka mencetuskan pertembungan ganas di jalanan. Rejim Erdoğan menuduh HDP yang mencetuskan keganasan di jalanan, dan menggunakannya sebagai alasan untuk meningkatkan penindasan sistematik terhadap HDP.

Rejim Erdoğan menganggap penentangan masyarakat Kurdi dan kemenangannya terhadap kumpulan ISIS itu sebagai ancaman kepada kekuasaannya. Rakyat di Turki pada masa itu mengharapkan kerajaan Turki boleh menyokong penentangan terhadap ISIS, tetapi rejim Erdoğan hanya melihat kemaraan ISIS sebagai peluang untuk menghancurkan hasil Revolusi Rojava. “Proses pendamaian” antara kerajaan Turki dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dimulakan pada tahun 2012 juga digagalkan kerana pendirian rejim Erdoğan yang anti-Kurdi.

HDP sebagai sebuah parti politik yang mendukung aspirasi masyarakat Kurdi, telah memenangi lebih 6 juta undi (bersamaan dengan 13.1% daripada jumlah undi sah) dalam Pilihanraya Umum pada bulan Jun 2015, membolehkannya melepasi ambang perolehan undian 10% untuk memasuki Parlimen Turki dengan 80 kerusi. Kemenangan HDP pada masa itu telah menghalang Parti AKP pimpinan Erdoğan daripada mencapai majoriti kerusi dalam Parlimen untuk membolehkannya meminda perlembagaan. Sejak itu, Erdoğan memulakan kempen balas dendamnya terhadap HDP dengan melancarkan serangan penindasan secara sistematik. Bandar-bandar di Tenggara Turki yang berpenduduk majoriti Kurdi dan banyak undi kepada HDP, telah menghadapi ancaman keganasan daripada pasukan keselamatan Turki secara berterusan. Darurat diisytiharkan di bandar-bandar berkenaan untuk menyekat segala ruang demokrasi bagi penduduk di situ. Rejim Erdoğan menggunakan perang sebagai alat politik untuk memperkukuhkan kuasanya.

Ahli-ahli Parlimen HDP yang hendak mengadakan satu sidang akhbar di bandar Diyarbakır pada 20 Oktober 2019, telah dikepung oleh pasukan polis yang cuba menghalang sidang akhbar tersebut. Gambar ini jelas menunjukkan sejauh mana tahap penindasan terhadap HDP oleh rejim Erdoğan.

Tentera Turki terus mengganas

Parlimen Turki meluluskan satu resolusi pada 26 Oktober 2021 untuk membenarkan pengerahan lebih banyak tentera Turki ke Iraq dan Syria. Ini bermakna kerajaan Turki akan meneruskan pencerobohan tentera dan pendudukan tentera di kawasan-kawasan berkenaan. Ahli-ahli Parlimen daripada Parti Demokratik Rakyat (HDP), Parti Rakyat Republikan (CHP), Parti Pekerja Turki (TİP) dan Parti Rantau Demokratik (DBP) telah mengundi untuk menolak resolusi ini.

Turki telah mengerahkan tenteranya ke Iraq sejak tahun 2007 dan ke Syria sejak tahun 2012, tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa. Tentera Turki telah mewujudkan pangkalan tenteranya di kedua-dua negara tersebut. Resolusi terbaru yang diluluskan dalam Parlimen Turki telah melanjutkan mandat penempatan tentera Turki di Iraq dan Syria untuk tempoh dua tahun lagi sehingga bulan Oktober 2023. Pervin Buldan, Pengerusi Bersama HDP, menyifatkan mandat ini sebagai “perlanjutan perang dan pendudukan”.

Pendudukan tentera Turki di Syria dan Iraq telah membawa kepada banyak jenayah terhadap kemanusiaan yang serius. Kerajaan Turki telah melancarkan perang terhadap PKK di Utara Iraq untuk bertahun-tahun lamanya, sementara pendudukan tentera Turki di Utara Syria (Rojava) pula sedang mengancam usaha pembebasan masyarakat di situ.

Terdapat laporan yang mendakwa tentera Turki menggunakan senjata kimia di Utara Iraq. Penggunaan senjata kimia ialah jenayah perang dan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa. Banyak pihak telah menyeru untuk Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) menjalankan siasatan terhadap dakwaan ini.

Rejim Erdoğan yang semakin autoritarian sedang melancarkan perang ke atas masyarakat Kurdi, sama ada di dalam negara Turki ataupun di negara jirannya (yang diceroboh oleh tentera Turki). Rejim Erdoğan juga mengapi-apikan sentimen nasionalis yang sempit untuk memulaukan masyarakat Kurdi dan pihak yang bersimpati dengan masyarakat Kurdi.

Parti Demokratik Rakyat (HDP), sebagai sebuah parti berhaluan kiri yang menyokong masyarakat Kurdi dan mendukung perjuangan pendemokrasian di Turki, serta sering dikatakan sebagai satu-satunya parti pembangkang yang sebenar di Turki, telah dianggap sebagai salah satu ancaman terbesar kepada rejim Erdoğan dan sedang berdepan dengan serangan secara sistematik daripada rejim Erdoğan. Bersolidariti dengan HDP juga merupakan sokongan kepada usaha membina sebuah negara Turki yang benar-benar demokratik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s