AIR KUNING, PERAK – 9 NOVEMBER 2022: Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN N48 Ayer Kuning di Perak, melancarkan Manifesto PSM untuk kawasan DUN Ayer Kuning pada hari ini dalam satu sidang media khas yang diadakan di hadapan Klinik Desa Air Kuning.

Manifesto PSM untuk kawasan DUN Ayer Kuning menggariskan tuntutan-tuntutan rakyat tempatan seperti di bawah:

  • Membina jalanraya baharu dari Jalan Kampar ke Teluk Intan;
  • Menaik taraf klinik desa dengan menempatkan seorang doktor sepenuh masa;
  • Mengembalikan perkhidmatan mesin ATM dan pejabat pos;
  • Menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik dan menaik taraf liputan telekomunikasi;
  • Menuntut supaya Perak Transit mengambil alih perkhidmatan bas awam di kawasan Air Kuning.

“Keadaan jalanraya dari Kampar ke Teluk Intan adalah sangat teruk. Sudah lebih 20-30 tahun jalanraya ini tidak dinaik taraf sepenuhnya. Hanya baru-baru ini apabila dekat dengan pilihan raya, adanya tempat yang ditampal jalanraya. Menjelang pilihan raya sahaja mereka datang untuk menampal jalan, tetapi dibiarkan begitu sahaja selepas itu,” kata Bawani. “Ini telah menyukarkan penduduk-penduduk bukan sahaja di Air Kuning tetapi juga penduduk-penduduk di kawasan yang bersebelahan.”

Mengkomen tentang tuntutan menempatkan doktor sepenuh masa di Klinik Desa Air Kuning, Bawani berkata, “Hospital yang paling dekat dengan Air Kuning pun sejauh 15 km. Di kawasan Air Kuning ini, ada ramai orang warga tua. Untuk mereka pergi ke hospital atau klinik kesihatan yang berjarak lebih 15 km agak menyusahkan mereka. Sekiranya ada seorang doktor ditempatkan di Klinik Desa Air Kuning, sudah pasti akan memudahkan mereka yang mengalami masalah demam, cirit-birit dan sebagainya.” Salah satu teras utama dalam cadangan PSM untuk pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” yang dilancarkan pada tahun 2021 ialah meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam.

Berkenaan dengan kemudahan asas di sekitar kawasan Air Kuning, Bawani berkata, “Sebelum ini pernah adanya perkhidmatan bank dan mesin ATM di kawasan Air Kuning, tetapi sudah lebih 10 tahun tiada lagi perkhidmatan sebegini. Penduduk di sini terpaksa pergi ke Kampar atau Tapah untuk mendapatkan perkhidmatan ini. Paling dekat pun di stesen minyak Shell di Mambang Diawan. Jadi, perlu sekurang-kurangnya wujudkan mesin ATM di beberapa kawasan di sekitar Air Kuning ini, supaya memudahkan penduduk tempatan.”

Bawani juga mengetengahkan masalah gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku di kawasan Air Kuning. “Dalam tempoh seminggu sahaja, bilik gerakan kami di Air Kuning telah mengalami gangguan bekalan elektrik sebanyak 2 kali,” ulas Bawani. “Perkara ini perlu diselesaikan.”

Berkenaan dengan isu pengangkutan awam, Bawani berkata, “Perkhidmatan bas yang ada sekarang berada dalam keadaan yang teruk dan frekuensinya sangat rendah. Perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi penduduk-penduduk di sekitar Air Kuning ini. Jadi, kami menggesa supaya Perak Transit mengambil alih perkhidmatan bas awam di sini.”

“Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam Manifesto Tempatan ini ialah keluhan dan tuntutan yang datang daripada penduduk-penduduk tempatan,” kata Bawani.

Bawani juga akan melancarkan Manifesto PSM untuk negeri Perak tidak lama lagi.

2 thoughts on “Bawani KS kemukakan Manifesto Tempatan DUN Ayer Kuning

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *