oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)

(Kenyataan media ini dikeluarkan oleh JPKK semasa sidang akhbar yang diadakan pada 25 Mac 2022.)

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan berita gembira bagi kaum pekerja di Malaysia, iaitu kenaikan gaji minimum kepada RM1,500, kenaikan sebanyak RM300. Sememangnya berita ini agak melegakan pada ketika ini dengan keadaan ekonomi teruk turut menjejaskan kehidupan kaum pekerja. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang mewakili pekerja-pekerja pembersihan, tukang-tukang kebun dan pengawal-pengawal keselamatan di premis kerajaan, yang berjumlah lebih daripada 150,000 orang pekerja yang hidup di paras gaji minimum, menyambut baik keputusan peningkatan yang boleh dikatakan drastik ini, jika dibandingkan dengan peningkatan sebelum ini.

Ini satu langkah yang memberangsangkan walaupun tidak memenuhi kadar yang sepatutnya, iaitu RM2,331 sebulan sekiranya mengambil kira angka Pendapatan Garis Kemiskinan Relatif dalam formula pengiraan gaji minimum yang digunakan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara.

Walau bagaimanapun, kami membantah keras pendapat sesetengah pihak yang minta kelonggaran dan pengecualian daripada membayar gaji minimum baharu RM1,500 kepada kumpulan besar seramai 150,000 orang pekerja barisan hadapan bangunan kerajaan ini.

Kami tidak bersetuju dengan keputusan Tan Sri Noh Omar, Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang meminta kerajaan untuk mengecualikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 terhadap usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Golongan pekerja bawahan yang menjana kekayaan PKMS dan mereka seharusnya mendapat hasil yang sepadan dengan usaha mereka. RM1,500 itu sendiri bukanlah amaun yang mencukupi untuk saraan hidup seorang bujang apatah lagi yang berkeluarga. Jika kita ingat semula, pengiraan Bank Negara menunjukkan sebuah keluarga memerlukan RM6,000 sebulan untuk hidup bermaruah sekiranya tinggal di Ibu Negara.

Kami juga tidak bersetuju dengan kenyataan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM). Semalam mereka mengatakan, “Dahlah kerajaan masih ada tidak bayar di bawah persatuan kami, tiba-tiba naik lagi. Kalau diikutkan, dengan kadar yang lama (RM1,200) pun syarikat hanya mendapat keuntungan bersih 10 peratus sahaja. Itu jumlah keuntungan paling rendah pernah kita terima” 

Begitu juga dengan Kesatuan Syarikat Pembersihan yang juga merungut bahawa mereka hanya akan menerima 10% sahaja keuntungan kasar.

Sekiranya benar dakwaan PIKM, Kerajaan harus ‘mengemaskini’ nilai kontrak yang diberikan kepada kontraktor supaya ‘beban’ kenaikan gaji seperti yang didakwa oleh kontraktor pembersihan tidak ditanggung oleh mereka lalu tidak menjejaskan kenaikan gaji yang akan dinikmati oleh pekerja dalam 2 bulan lagi. Juga, masa yang diberi untuk pelaksanaan gaji baharu juga adalah cukup lama bagi kontraktor dan kerajaan untuk mengemaskini formula nilai pemberian kontrak dengan tidak memberi kesan kepada pemberian gaji bulan Jun 2022 nanti. Kita tidak mahu pekerja menjadi mangsa pergaduhan antara majikan kontraktor dan birokrasi pihak kerajaan. Kerajaan mesti ambil langkah pro-aktif untuk memastikan pelaksanaan kadar gaji baharu ini dinikmati semua pihak, terutamanya pekerja barisan hadapan bangunan kerajaan sendiri.

PIKM juga sampai membuat kajian yang menyatakan syarikat akan menyediakan pengawal keselamatan yang berkualiti rendah dan majoritinya akan diisi oleh warga asing. “…kerana kita terpaksa menawarkan gaji rendah. Jadi, orang tempatan tak mahu terima gaji itu. Kalau naikkan, syarikat pula akan mengalami kerugian”. Kesatuan syarikat pembersihan pula mengatakan bahawa menaikkan gaji minimum tidak akan meningkatkan produktiviti dan hanya meningkatkan inflasi.

Ini hanya;ah satu alasan kerana kami menerima banyak aduan melalui talian hotline kami, Sistem Aduan Pekerja (SiAP), di mana pekerja mengadu bahawa gaji pokok yang diterima mereka masih di bawah kadar sebelum ini (RM1,100!) dan terpaksa bekerja 7 hari seminggu, 30 hari sebulan tanpa cuti, dipaksa membayar untuk pakaian seragam, dipotong gaji tanpa sebab munasabah, dan sebagainya. Amalan-amalan ini masih berleluasa di seluruh negara. Dengan amalan penindasan ini, tidak hairan ia menurunkan kualiti perkhidmatan kerana moral dan tenaga pekerja sendiri semakin terhakis akibat keadaan tempat kerja yang sangat teruk, tidak kisah pekerja dalam mahupun luar negara. Mereka juga ada tanggungan dan berhadapan dengan inflasi, malah lebih terjejas berbanding syarikat yang masih mengaut 10% keuntungan di kala kemerosotan ekonomi. Jika gaji minimum kekal pun pada taraf sedia ada, inflasi akan terus berlaku. Jika kita tengok sejarah, produktiviti terus meningkat walaupun tidak seiring gaji.

“Perkara ini bukan sahaja melibatkan pengawal keselamatan, namun kakitangan sokongan syarikat industri tersebut. Ini kerana tak cantik kalau staf atasan akan mendapat gaji rendah berbanding golongan bawahan.” – Timbalan Presiden PIKM

Pada pendapat kami, cukup-cukuplah dengan semangat elitis yang cuba menjustifikasikan gaji lebih tinggi untuk kumpulan profesional – kumpulan pekerja pengurusan yang hanya membuat kerja di pejabat dengan ‘air-con’, dan kerajaan harus menyalurkan wang tersebut kepada pekerja bawahan yang berhempas pulas menjaga kebersihan, keselamatan dan SOP di premis kegunaan rakyat bawahan. Kerajaan mesti pastikan syarikat yang kukuh kewangan sahaja dianugerahkan tender, selain memastikan bayaran tertunggak dilunaskan, dan mengambil tanggungjawab dengan menyenaraihitamkan syarikat yang bermasalah, supaya pekerja tidak dimangsakan dalam kemelut ini.

Jika tidak, maka terjadilah kes kes seperti yang berlaku di Sabak Bernam ketika ini di bawah kelolaan syarikat Panggilan Efektif, syarikat Parit Lapan dan syarikat AS Rezeki, di mana ada 53 orang pekerja pembersihan bekerja secara percuma selama 4 bulan, tidak bergaji sejak November 2021. 53 orang pekerja ini telah berjumpa dengan Bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tetapi masih tidak selesai masalah mereka, sampai terpaksa memutuskan untuk berkampung di depan Pejabat Perdana Menteri pada 29 Mac nanti, dan mereka takkan balik selagi tidak dapat gaji mereka.

Begitu juga dengan syarikat kawalan keselamatan Wira Corps, yang berulang kali lambat dan tidak membayar gaji kepada lebih 200 orang pekerja kawalan keselamatan seluruh negara, dan juga syarikat Prestij Global Niaga di Perlis. Mereka ini semua tidak mencarum KWSP, PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk pekerja di sekolah, tetapi kes ini masih berlangsung dan pekerja terus dimangsakan. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan yang menganugerahkan tender kepada syarikat bermasalah, tidak boleh mencuci tangan dan meletakkan tanggungjawab pada kontraktor sahaja.

==========

Danial Hakeem B Azman ialah Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Leave a Reply

Your email address will not be published.