Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

(foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

oleh Sivarajan Arumugam

Baru-baru ini, rakyat Cameron Highlands digemparkan dengan pelbagai kejadian tanah runtuh. Salah satu kejadian yang berlaku pada 16 September 2021 di Sungai Palas, Brinchang, menyebabkan seorang wanita meninggal dunia apabila tanah runtuh di atas rumahnya . Satu lagi kejadian tanah runtuh juga berlaku di jalanraya Simpang Pulai ke Cameron Highlands di Seksyen 43.9 sepertimana yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

Kejadian sedemikian bukannya baru dan kawasan tanah tinggi ini telah lama menjadi mangsa pembangunan yang melampau sejak beberapa dekad yang lalu. Memandangkan Cameron Highlands sememangnya menerima taburan hujan yang tinggi, maka apajua pembangunan yang melibatkan pembersihan hutan dan penebangan pokok, akan mengeruhkan lagi keadaan dan meningkatkan kekerapan kejadian tanah runtuh.

Tanah runtuh pertama yang direkodkan di Cameron Highlands adalah pada tahun 1961, di mana ianya meragut nyawa seramai 16 orang di kawasan Ringlet. Tetapi nampaknya kita gagal belajar daripada kejadian-kejadian sedemikian, dan masih bertindak untuk melakukan projek pembinaan berterusan di Cameron Highlands.

Pada masa apabila pihak pakar dan Jabatan-jabatan Kerajaan sedang bertungkus lumus memperbaiki jalan dan melaksanakan langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan kejadian tanah runtuh, pihak pemodal nampaknya hanya menumpukan kepada mencari lokasi baru yang dapat mengaut keuntungan kepada mereka. 

Kami difahamkan bahawa satu projek taman tema yang dikenali sebagai ESCAPE Cameron Highlands akan dibina dengan keluasan 60 hektar. Projek yang akan dimajukan oleh syarikat Sim Leisure Group ini dijangka akan membuka fasa pertamanya seluas 24.3 hektar pada tahun 2023.

PSM Cameron Highlands membantah projek ini yang sudah pastinya melibatkan pembersihan kawasan hutan, pembalakan dan pembangunan cerun. Eksploitasi berterusan di kawasan tanah tinggi ini melalui pelbagai projek pembangunan, hanya menguntungkan pihak pemodal dan merugikan rakyat tempatan dalam pelbagai cara. Rakyat tempatan Cameron Highlands, kini pun merungut kerana kesesakan jalanraya akibat kehadiran pelancong yang melebihi kapasiti kemudahan infrastruktur yang sedia ada.

Pada masa apabila para pemodal mengaut keuntungan, rakyatlah yang terpaksa berhadapan dengan bahaya tanah runtuh dan kesesakan jalanraya yang menganggu kehidupan harian mereka.

Kerajaan Negeri haruslah dengan segera menghentikan projek sedemikian dan membuat evaluasi serius mengenai had pembangunan yang dibenarkan di kawasan tanah tinggi ini. Apakah rasionalnya terus meluluskan pelbagai projek pembangunan sedemikian di suatu lokasi yang terhad keluasannya? Pembangunan tidak terkawal selama beberapa abad ini, menyebabkan semakin hari semakin luas kawasan tanah hutan yang sensitif geologi tanah dan ekosistem dibersihkan. Sudah tentu, impak jangka panjang yang terpendam akan membawa pelbagai kejadian tanah runtuh dan dan sebagainya.

PSM ingin tanya, adakah Kerajaan Negeri Pahang menetapkan satu had pembangunan di Cameron Highlands? Sememangnya tidak masuk akal bagaimana projek pembinaan terus diluluskan di dalam satu kawasan yang kerap memaparkan impak akibat pembangunan seperti ini.

Kejadian tanah runtuh dan pencemaran dengan mudah diketepikan dengan janji palsu bahawa pembangunan baru yang diluluskan itu pasti mampan dan langkah mitigasi telah diambilkira.

Tetapi sejarah kejadian kerosakan alam sekitar sehingga kini jelas menunjukkan bahawa, bilangan projek yang kononnya “mampan” dan lengkap dengan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) juga menonjolkan kesan pencemaran dan kemungkinan kejadian tanah runtuh dalam jangka masa panjang.

Justeru, kami menyarankan supaya semua pembangunan baru di Cameron Highlands harus dibekukan dan dikaji semula keperluannya. Berbanding dengan manfaat ekonomi, kos kehilangan nyawa dan harta benda tidak dapat diganti apabila musibah melanda kerana ketamakan manusia.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penasihat PSM Cameron Highlands.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *