17 April disambut setiap tahun sebagai “Hari Perjuangan Petani Antarabangsa” oleh Via Campesina untuk memperingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai terhadap petani-petani tanpa tanah di Eldorado do Carajás, Brazil, pada tahun 1996, dan juga untuk mengetengahkan masalah penindasan yang masih dihadapi oleh golongan petani, pekerja pertanian dan masyarakat orang asal di seluruh dunia. Ini merupakan hari untuk meraikan solidariti perjuangan gerakan petani di seluruh dunia, di samping memperkuatkan gabungan antara rakyat di kawasan bandar dan luar bandar untuk membina sebuah masyarakat yang berasaskan maruah dan keadilan sosial bagi semua.

Pada 17 April 1996, 21 orang anggota Gerakan Pekerja Tanpa Tanah (Movimento dos Trabalhadores Sem Terra, MST) ditembak mati oleh polis tentera di Eldorado do Carajás yang terletak negeri Pará, Brazil. Peristiwa tersebut telah menggemparkan seluruh dunia dan mencetuskan kemarahan masyarakat yang hebat, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar. Via Campesina merespon terhadap peristiwa tersebut dengan aksi-aksi solidariti yang memobilisasi masyarakat petani, bukan sahaja di Brazil dan Amerika Latin malah di seluruh dunia, untuk menuntut keadilan bagi petani yang menjadi mangsa kepada keganasan kerajaan yang mengamalkan dasar neoliberal. Via Campesina juga mengisytihar 17 April setiap tahun sebagai “Hari Perjuangan Petani Antarabangsa” dan disambut mulai tahun 1997, untuk mengekalkan memori perlawanan petani yang hebat.

(foto: MST Bahia)

Via Campesina (bermaksud “Jalan Petani”) boleh dikatakan sebagai gerakan sosial yang terbesar di dunia pada masa kini. Ia ditubuhkan dalam satu persidangan petani antarabangsa pada tahun 1993 di Mons, Belgium, untuk menghimpunkan gerakan yang terdiri daripada jutaan orang petani, pekerja tanpa tanah, orang asal, penternak, nelayan, pekerja ladang, petani bersaiz kecil dan sederhana, wanita luar bandar dan petani anak muda di seluruh dunia, dalam usaha membina solidariti untuk mempertahankan pertanian bagi kedaulatan makanan. Via Campesina yang dianggotai oleh 182 buah organisasi dari 81 buah negara benua Afrika, Asia, Eropah dan Amerika, telah menjadi salah satu gerakan penting dalam tiga dekad yang lalu ini dalam usaha mencabar kekuasaan hegemoni neoliberal dalam ekonomi global dan memperjuangkan alternatif yang dapat melindungi hak petani di seluruh dunia.

Petani merupakan pengeluar makanan kepada seluruh masyarakat. Tanpa petani, tiadanya makanan. Namun, sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan pengumpulan modal yang berterusan oleh golongan kapitalis sering mengancam golongan petani kecil dan masyarakat miskin di seluruh dunia. Tanah yang diusahakan petani-petani kecil sering dirampas oleh syarikat korporat besar untuk industri perladangan berskala besar untuk menghasilkan komoditi bukan makanan ataupun projek-projek pembangunan yang bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan kapitalis. Adakalanya golongan petani kecil ini menghadapi keganasan daripada samseng yang diupah oleh golongan kapitalis ataupun jentera keganasan negara yang melindungi kepentingan kapitalis. Ini bukan sahaja mengancam punca pencarian dan kehidupan petani-petani kecil, malah juga menjejaskan jaminan makanan untuk seluruh masyarakat.

Penindasan dan pemangsaan terhadap golongan petani boleh mencetuskan penentangan yang hebat. Perjuangan petani India yang berlarutan lebih setahun pada tahun 2020-2021 dengan mobilisasi dan aksi massa yang hebat, akhirnya berjaya memaksa kerajaan India di bawah pimpinan Narendra Modi untuk membatalkan tiga undang-undang pertanian yang anti-petani. Kejayaan perjuangan petani India ini mengingatkan kita tentang kepentingan perpaduan dan solidariti gerakan massa.

Di Malaysia, baru-baru ini berlakunya banyak insiden ancaman pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil, sama ada oleh pemaju swasta ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seperti isu pengusiran di kawasan Kanthan dan Chepor Impian di negeri Perak. Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menggesa Kerajaan Negeri Perak supaya memberi perlindungan yang lebih terjamin kepada petani-petani kecil. PSM berpendirian bahawa perlunya pembaharuan kepada undang-undang dan dasar kerajaan berkaitan dengan tanah pertanian untuk melindungi rezeki petani-petani kecil daripada ancaman pengusiran paksa dan mempertahankan jaminan makanan rakyat.

Tanpa tanah, tiadanya petani dapat hidup. Tanpa petani, tiadanya makanan untuk rakyat. Kita harus mewujudkan perlindungan hak tanah kepada petani-petani kecil yang merupakan pengeluar makanan, supaya dapat menjamin bekalan makanan kepada seluruh masyarakat. Segala pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil harus dihentikan dan diharamkan!

Hidup petani!

Tontonilah filem pendek “Tanah untuk Makanan” terbitan PSM yang memberi penerangan ringkas tentang isu ancaman pengusiran yang dihadapi oleh petani-petani di Chemor, Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *