Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sharan Raj

Terdapatnya pengkritik yang mendakwa bahawa perkhidmatan awam di Malaysia mempunyai kakitangan yang berlebihan dengan menggunakan nisbah penjawat awam dengan jumlah penduduk. Namun, analisis emperikal ini terlalu simplistik dan tidak memberikan gambaran tepat yang sebenar.

Sejarah perkembangan perkhidmatan awam

Laporan daripada United Nations Research Institute for Social Development (UNRISD) menunjukkan bahawa antara tahun 1970 hingga 1980, jumlah penduduk Malaysia bertambah sebanyak 30%, tetapi jumlah penjawat awam meningkat hampir 400%. Parti kiri yang wujud sebelum Parti Sosialis Malaysia (PSM), iaitu Barisan Sosialis, memainkan peranan penting dalam pertumbuhan mendadak ini.

Pada tahun 1960-an, Malaysia ialah negara yang kaya-raya tetapi 99% penduduknya merana kerana ketidaksamarataan, kemiskinan, air kotor, dan penyakit tropika. Ini berpunca daripada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, yang meneruskan sistem kapitalis colonial yang bersifat laissez faire. Pada masa itu, golongan kapitalis kolonial menguasai sebanyak 66% modal tempatan dan menggondol kekayaan masyarakat dengan restu ahli politik yang berpaksikan perkauman.

Barisan Sosialis memperjuangkan pemilikan awam semula serta pengagihan kekayaan ciptaan pekerja melalui kesihatan awam, pendidikan awam, serta pembasmian kemiskinan. Oleh sebab khuatir pada kehilangan kuasa politik, UMNO yang dipimpin Tunku Abdul Rahman mengarahkan penahanan tanpa perbicaraan ramai pemimpin Barisan Sosialis (SF) dan menggantungkan pilihanraya tempatan.

Kebanyakan pimpinan Barisan Sosialis tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1969 kerana ditahan tanpa perbicaraan. Oleh itu, rakyat mengundi untuk parti yang anti-penguasa seperti PAS, DAP, Gerakan, PPP, dan SUPP. Perikatan UMNO-MCA-MIC telah hilang undi popular tetapi masih memegang majoriti dalam parlimen kerana sistem majoriti mudah (pemenang ambil semua). Kemudiannya, UMNO mengambil dasar Barisan Sosialis, termasuk kesihatan sejagat dan pendidikan awam.

Malaysia menyaksikan pertumbuhan mendadak dalam bilangan sekolah, klinik luar bandar, dan hospital awam. Kebersihan awam, seperti pengurusan sisa, air paip, sistem kumbahan, pembasmian nyamuk dan kebersihan bangunan diutamakan untuk mengawal keparahan penularan wabak penyakit. Sekolah harian dan sekolah berasrama (seperti SBP dan MRSM) ditubuhkan untuk merakyatkan pendidikan untuk masyarakat luar bandar.

Antara tahun 1970 hingga 1983, dasar kemajuan masyarakat sebegini menyebabkan penggajian dalam sektor awam (kakitangan bukan keselamatan) meningkat daripada 139,467 orang kepada 521,818 orang. Bermula dari lewat tahun 1970-an, tenaga kerja yang sihat dan terdidik ini membolehkan Malaysia dapat menjalani perindustrian dengan pesat. Kemajuan sosial sebegini memerlukan perkhidmatan awam yang besar tetapi telah membawa kita ke arah kemakmuran yang berkekalan. Malaysia sepatutnya boleh menjalani perindustrian dan maju dengan lebih pantas tanpa Mahathir.

Piratization” perkhidmatan awam

Dasar kapitalis neo-liberal Mahathir telah mengurangkan peranan kerajaan dalam perkhidmatan asas melalui Dasar Penswastaan. Ini mewujudkan peluang perniagaan untuk kapitalis kroni dan penaung politik di mana sahaja.

Sebelum penswastaan, pekerja sektor awam yang kritikal seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan merupakan kakitangan kerajaan. Pekerja yang penting ini mempunyai pekerjaan dan tangga kenaikan gaji sara hidup yang membolehkan mereka untuk membeli rumah dan makanan untuk keluarga mereka supaya keluar daripada kemiskinan. Premis kerajaan seperti sekolah, hospital dan pejabat diberikan dana penampan untuk memperbaiki kerosakan kecil.

Selepas penswastaan, kerajaan membayar sekitar RM1.5 bilion setiap tahun kepada kontraktor kroni untuk menguruskan pengawal keselamatan di sekolah awam. Gaji terkumpul bagi 40,000 orang pengawal keselamatan yang bekerja 84 jam seminggu adalah sekitar RM1 bilion. Ini bermakna bahawa kontraktor kroni ini mendapat komisen sebanyak RM500 juta untuk membayar gaji minimum kepada pekerja bagi pihak kerajaan.

Kerajaan Malaysia telah menyumberkan luar penyelenggaraan sekolah, hospital dan pejabat kepada kontraktor kroni yang berorientasikan keuntungan. Oleh kerana itu, kontraktor sebegini memaksimumkan keuntungan, tetapi tidak memperbaiki kerosakan bangunan awam dengan segera. Dasar Penswastaan merupakan sebab utama bangunan kerajaan kita dalam keadaan yang menyedihkan walaupun negara kita sudah mencapai tahap negara hampir maju.

Pekerja bergaji rendah tetapi terlalu banyak bekerja

Pada masa kini, Malaysia mempunyai sekitar 1.6 juta orang penjawat awam untuk jumlah penduduk seramai 32 juta orang. Namun, hampir 50% penjawat awam berada dalam bidang kesihatan dan pendidikan. Ini adalah lonjakan besar berbanding dengan 1 juta orang pada tahun 2003 ketika rejim pemerintahan Mahathir yang pertama itu berakhir.

Pada pertengahan tahun 2000-an, kerajaan telah mengenal pasti pentingnya pra-sekolah untuk mengurangkan jurang prestasi pendidikan. Akan tetapi, gaji dan pendapatan rendah yang diwujudkan secara artifisial dalam kalangan B60 bermakna, tidak ramai yang mampu memperolehi pendidikan pra-sekolah swasta. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia memperluaskan sistem pra-sekolah awam di seluruh negara yang memerlukan kekuatan tenaga pengajar seramai berpuluh ribu orang.

Pada tahun 2019, terdapat sekitar 24,000 orang guru pra-sekolah awam untuk sekitar 450,000 orang pelajar pra-sekolah awam. Oleh itu, nisbah guru pra-sekolah awam kepada pelajar pra-sekolah awam adalah 1:18. Pada masa yang sama, nisbah guru pra-sekolah swasta kepada pelajar swasta adalah 1:10. Terdapat keperluan untuk menambahkan hingga dua kali ganda bilangan guru pra-sekolah awam. Persekitaran kerja yang membebankan ini turut berlaku dalam sektor lain seperti hospital awam, operasi penyelamat, dan sebagainya.

Melangkah ke hadapan

Mereka yang mengkritik bilangan penjawat awam terlalu besar boleh dikaitkan dengan agenda ekonomi peribadi mereka. Mereka sama ada mendapat manfaat daripada kadar cukai korporat yang rendah atau mendapat kontrak kerajaan melalui penswastaan. Penyelidikan daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) membongkarkan bahawa kebanyakan kontrak perkhidmatan sokongan kerajaan yang telah diswastakan diberikan kepada beberapa individu yang mempunyai hubungan politik.

Suasana politik berasaskan kelas pada tahun 1960-an telah menyebabkan Kerajaan Malaysia berubah daripada pelindung harta persendirian kepada pembekal kemajuan sosial. Rakyat Malaysia tidak patut menyokong pemecatan penjawat awam yang penting, semata-mata untuk menyokong agenda ekonomi swasta segelintir elit atasan masyarakat. Perkhidmatan awam harus dibayangkan semula dari bawah ke atas dengan penglibatan secara demokratik daripada kakitangan sektor awam. Ini akan dibincangkan dalam rencana kedua siri tulisan ini.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

Tulisan ini asalnya dalam Bahasa Inggeris, diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Bryan Rozells.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s