Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh A. Sivarajan

Wabak COVID-19 telah membongkarkan kerapuhan model ekonomi kita yang semakin merampas hak pekerja sambil menggunakan tenaga buruh pekerja semaksimumnya. Ianya dicapai melalui sistem “pekerjaan” yang beralih daripada kerja formal kepada kerja informal. Sebahagian daripada format kerja ini dinamakan sebagai pekerjaan “ekonomi gig”.

Ekonomi gig adalah satu trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi atau pekerja untuk menjalani kontrak untuk perkhidmatan, dan bukannya kontrak perkhidmatan tetap. Ianya seolah-olah pekerja dianggap sebagai kontraktor bebas yang membuat suatu perjanjian dengan majikan agar majikan menggunakan perkhidmatannya tanpa perlu menggaji pekerja itu secara sepenuh masa. Walaupun nampaknya memberikan fleksibiliti kepada pekerja, tetapi ianya merampas apa jua perlindungan sosial yang wajar disediakan kepada seseorang pekerja. Contohnya, pekerja ekonomi gig ialah pekerja penghantaran yang dikenali sebagai P-Hailing.

Pekerja p-hailing, walaupun memainkan peranan penting dalam memastikan sektor penghantaran makanan dan perkhidmatan berjalan selama pandemik, tetapi hak mereka sangat terabai. Pengenalan mereka sebagai “kontraktor bebas” dan bukannya pekerja, memberikan  implikasi dan impak yang jelas yang menindas pekerja dan hanya menguntungkan majikan syarikat platform digital tersebut. 

Masih ramai pekerja gig yang tidak dipelihara hak pekerjaan mereka sekiranya sesuatu kecemasan berlaku. Mereka terpaksa mengambil langkah persendirian untuk melindungi hak mereka.

Pekerja ekonomi gig tidak dilindungi oleh insurans syarikat dan mereka juga tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Tambahnya pula, penyelenggaraan motorsikal, beg penghantaran makanan dan juga baju korporat syarikat ditanggung sendiri oleh pekerja.

Pendapatan pekerja pada awalnya walaupun nampak lumayan tetapi ianya sering mengelirukan. Ambil contoh salah sebuah syarikat penghantaran makanan yang popular, Foodpanda. Jadual baru Foodpanda yang dibuat pada tahun 2019, tanpa berunding dengan penunggang, mengikatkan mereka pada kerja 14 jam sehari tanpa upah yang sewajarnya. Penambahan pekerja baru tidak meringankan beban kerja, malah ianya menyebabkan kadar bayaran servis yang lebih rendah. Ada yang berkata bahawa pendapatan mingguan mereka berkurangan sebanyak RM300 sejak jadual baru dilaksanakan.

Penunggang Foodpanda juga ada mengadu bahawa mereka akan digantung kerja dan dilarang daripada menghantar pesanan sekiranya mereka membatalkan terlalu banyak pesanan.

Foodpanda juga pernah mengeluarkan surat amaran yang mengancam bahawa akan membuang penunggang Pulau Pinang yang didapati mengambil bahagian dalam sebarang mogok. Ini jelas merupakan suatu pencabulan hak pekerja untuk mogok atau menubuhkan kesatuan.

Pekerja p-hailing Grabfood pula, mereka mendapati perkhidmatan mereka digantung walaupun pesanan dibatalkan kerna pelanggan adalah di luar kawasan servis mereka. Ini berlaku walaupun khidmat nasihat pelanggan Grabfood dimaklumkan terlebih dahulu. Mereka menyangka bahawa akan dibenarkan untuk membatalkan pesanan tersebut tanpa tindakan, tetapi pekerja masih digantung daripada menghantar pesanan, sekaligus mengurangkan pendapatan mereka. Eksploitasi pekerja menggunakan kekaburan algoritma, menunjukkan bahawa pekerja p-hailing tidak mempunyai jaminan pendapatan sepertimana yang diperolehi oleh pekerja sektor formal.

Banyak hak mereka yang dinafikan, tetapi undang-undang pula tidak menyebelahi mereka. Oleh kerana klasifikasi pekerja p-hailing sebagai kontraktor bebas, menjadikan status mereka kabur dan dikecualikan daripada pelbagai hak nyata yang dijamin jika mereka adalah pekerja formal.

Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan sumber negara digunakan sebaiknya untuk menjana keuntungan yang dapat disalurkan semula kepada rakyat, bukannya mengaut keuntungan daripada kesempitan rakyat demi keuntungan syarikat besar. Kerangka undang-undang mesti dikemaskini untuk memastikan mereka menikmati hak yang sama dengan pekerja-pekerja lain.

Oleh itu, PSM melalui Pelan Tindakan Nasional “Permintaan Rakyat Mudah Je” yang dilancarkan pada 9 September 2021 yang lalu, mencadangkan semua pekerja tersebut perlu mendapat perlindungan di bawah PERKESO dan KWSP.

Kerajaan harus membawa undang-undang yang memastikan syarikat ekonomi gig ini diwajibkan untuk menyumbang caruman PERKESO dan KWSP kepada pekerja mereka. PSM mendesak agar pekerja p-hailing ini diberikan gaji minimum asas dengan penambahan komisen mereka. Syarikat-syarikat perlu dipertanggungjawabkan untuk patuh kepada syarat-syarat dalam undang-undang buruh yang sedia ada.

Kementerian Sumber Manusia juga harus memperkemaskan dan membuat pindaan terhadap undang-undang buruh selaras dengan perubahan trend alam kerja ini, iaitu daripada kerja formal di bawah majikan tetap kepada pekerja pemberi khidmat yang bebas di bawah ekonomi gig. Majikan dan penyedia platform perkhidmatan ini tidak boleh terlepas daripada menyediakan segala kemudahan dan bertanggungjawab ke atas pekerja yang memberikan khidmat tersebut. Mereka masih ialah pekerja yang harus dilindungi oleh undang-undang pekerjaan dalam negara.

Undang-undang perburuhan harus dipinda agar memberikan perlindungan kepada pekerja ekonomi gig ini. Pemecatan yang tidak sah seharusnya tidak dibenarkan dan mereka perlu diberikan hak untuk menubuhkan kesatuan dan berpiket supaya dapat menyuarakan ketidakadilan yang berlaku. 

Pekerja juga mesti diberikan hak untuk rundingan bersama. Ini memastikan mekanisme tawar-menawar secara beramai-ramai yang akan membolehkan pekerja menikmati hak yang sama tanpa mengira status mereka di sisi undang-undang, tanpa mengira status hubungan pekerjaan, untuk melakukan perundingan secara berkesan dan secara kolektif dengan majikan.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *