Kenyataan akhbar Parti Sosialis Malaysia (PSM) sempena pelancaran pelan tindakan alternatif untuk pemulihan nasional pada 9 September 2021

Kelemahan struktur pentadbiran Malaysia telah didedahkan pada tahun 2020 apabila pandemik COVID-19 menyerang dan memberikan tamparan yang paling dahsyat sejak merdeka kepada sosioekonomi dan politik negara. Sistem ekonomi neoliberal yang dianuti sejak lebih 40 tahun lalu oleh Barisan Nasional dan diteruskan pula oleh Pakatan Harapan dalam pemerintahan singkat mereka selama 22 bulan, jelas gagal melindungi rakyat terbanyak apabila sebuah pandemik sebegini menyerang kita.

Pemerintahan ala kapitalisme yang pro-korporat telah melemahkan batu asas jaringan perlindungan sosial selama ini lalu mendedahkan rakyat kepada pelbagai tekanan sosioekonomi. Kegagalan tersebut perlu diatasi, jika kita sebagai sebuah negara, bukan sahaja dapat pulih daripada pandemik ini, tetapi sekaligus mengukuhkan asas jaringan perlindungan sosial supaya kita bersedia menangani cabaran pada masa akan datang.

Pengajaran Pandemik 2020

Selain daripada penderitaan yang telah dan sedang dilalui oleh rakyat, pandemik ini juga mengajar kita beberapa perkara yang penting. iaitu;

a) Apa jua krisis menyerang, rakyat termiskin B40 akan menerima kesan yang terdahsyat. Walaupun krisis pandemik COVID-19 tidak mengenal yang kaya mahupun yang miskin, pengalaman menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah, perumahan, jaminan kerja dan persekitaran memainkan peranan yang penting dalam menentukan daya tahan sesebuah keluarga apabila COVID-19 menyerang.

b) Pekerjaan dan sumber rezeki kita yang dahulu dianggap berkekalan boleh hilang sekelip mata. Tanpa jaringan perlindungan sosial yang baik, kita akan terus terhumban dalam kemiskinan. Banyak keluarga M40 kini ditolak ke dalam situasi B40 juga apabila mereka diberhentikan kerja atau hilang punca pendapatan dengan mengejut.

c) Walaupun industri swasta dan korporat diagung-agungkan sebagai entiti yang paling penting dalam memacu pembangunan negara selama ini, tetapi apabila negara diserang krisis, pihak yang berjaya mendukung rakyat dalam pandemik adalah perkhidmatan hospital kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Perkembangan sektor hospital swasta dan pembangunan pelancongan kesihatan gagal memberikan sumbangan yang signifikan kepada rawatan pesakit COVID-19.

d) Sektor ekonomi bekalan kemudahan asas terbukti amat penting (essential) kepada rakyat pada masa krisis. Peniaga kecil, petani, pekerja penyelenggaraan, pekerja pembersihan, pemungut sampah, pemandu lori, pekerja penghantaran barangan, dan sebagainya, merekalah yang memainkan peranan paling penting. Jika petani tempatan diabaikan dan produk pertanian import tergendala, maka bekalan makanan kepada rakyat akan terputus.

e) SOP dan syarat-syarat menjauhi jangkitan COVID-19 hanya boleh dilaksanakan jika kita mempunyai rumah yang memadai dan persekitaran yang baik. Impak kuarantin mempunyai kesan yang berbeza kepada golongan marhaen yang tinggal di dalam sebuah rumah PPR 650 kaki persegi berbanding dengan sebuah keluarga yang duduk di dalam rumah banglo mewah di Damansara. Perumahan sendiri juga penting bagi rakyat yang dilanda krisis.

f) Jika rakyat tiada daya tahan untuk melawan krisis kesihatan COVID-19, bagaimana pula rakyat akan menghadapi krisis iklim yang impaknya berlipat kali ganda lebih teruk? Maka, isu pembalakan tanpa kawalan, pencemaran sungai dan perlombongan mineral perlu ditangani dengan segera.

Selaras dengan pengajaran penting ini, maka PSM mengemukakan pelan tindakan alternatif untuk Pemulihan Nasional: Haluan Baru Untuk Malaysia, dengan tema “Permintaan Rakyat Mudah Je”. Cadangan dalam dokumen ini menawarkan satu paradigma baru untuk Malaysia ke arah pembangunan yang adil, lestari dan saksama.

Pelan Pemulihan Nasional ini berasaskan kepada 5 TERAS utama, iaitu:

  • TERAS 1 – MEMPERKASAKAN PERLINDUNGAN SOSIAL
  • TERAS 2 – SKIM JAMINAN KERJA
  • TERAS 3 – PERUMAHAN HAK RAKYAT
  • TERAS 4 – TINGKATKAN KHIDMAT KESIHATAN AWAM
  • TERAS 5 TANGANI KRISIS IKLIM SEGERA

Ringkasan cadangan untuk setiap Teras adalah seperti berikut:

TERAS 1: MEMPERKASAKAN PERLINDUNGAN SOSIAL

  • Skim jaminan pendapatan asas (RM1,000 sebulan kepada mereka yang hilang punca pendapatan dan juga mereka yang tidak mendapat faedah daripada skim perlindungan sosial yang sedia ada)
  • Hapuskan penyumberan luar perkhidmatan kerajaan – hapuskan sistem kontrak untuk kerja tetap
  • Pinda undang-undang buruh dan PERKESO untuk melindungi kesejahteraan pekerja
  • Reformasi Skim Insurans Pekerjaan (termasuk memperluaskan perlindungan kepada pekerja-pekerja yang tidak dilindungi di bawah skim ini pada masa kini)
  • Pencen bulanan untuk warga emas
  • Jawatankuasa khas COVID-19 di tempat kerja (yang terdiri daripada wakil pekerja dan wakil majikan) untuk memantau secara ketat pematuhan tatacara pengendalian piawai (SOP) pencegahan wabak.

TERAS 2: SKIM JAMINAN KERJA

  • Penjanaan pekerjaan hijau (peralihan daripada tenaga fosil ke tenaga hijau)
  • Penambahan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian yang mengeluarkan makanan
  • Pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur kesihatan
  • Pemulihan infrastruktur dan warisan negara
  • Kajian perubatan dan farmakologi
  • Penambahan pekerja sosial
  • Pekerjaan dalam sektor pengasuhan kanak-kanak dan pendidikan awal
  • Sosialisasikan kerja rumah
  • Pengubahsuaian waktu kerja
  • Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan dalam penjanaan kerja
  • Tubuhkan agensi pemantauan pelaksanaan skim ini
  • Gubal Akta Anti-Diskriminisasi Pekerja

TERAS 3: PERUMAHAN HAK RAKYAT

  • Bina rumah PPR yang mencukupi untuk golongan B20
  • Keluarkan perumahan rakyat dari pasaran
  • Hentikan pengusiran paksa – tawarkan rumah dan lot ganti
  • Tubuh sebuah amanah (tanpa motif untung) untuk bina perumahan rakyat
  • Kerajaan ambil alih penyelengaraan rumah pangsa kos rendah

TERAS 4: TINGKATKAN KHIDMAT KESIHATAN AWAM

  • Perkasakan khidmat kesihatan awam
  • Libatkan doktor pengamal am (GP) dalam pengendalian penyakit kronik
  • Gunakan levi untuk bayar kos perubatan migran
  • Peralatan pembedahan dibiayai oleh kerajaan
  • Bendung penghijrahan doktor pakar dari hospital awam ke hospital swasta
  • Tubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan yang khas untuk kakitangan kesihatan
  • Tambahkan peruntukan dana kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 4% KDNK dalam tempoh 5 tahun akan datang
  • Perkhidmatan kesihatan berkualiti yang disubsidi oleh kerajaan sebagai “upah sosial” kepada rakyat

TERAS 5: TANGANI KRISIS IKLIM SEGERA

  • Pengunaan 100% tenaga boleh baharu sebelum tahun 2035
  • Kawal pencemaran daripada industri petroleum
  • Tingkatkan pengangkutan awam
  • Moratorium kekal terhadap pembalakan dan perlombongan di hutan primer

Dokumen lengkap untuk pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” boleh dimuat turun di sini.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

2 thoughts on ““Permintaan rakyat mudah je”: Pelan Tindakan Pemulihan Nasional – Haluan Baru untuk Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *