8 SEPTEMBER 2021: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menggesa kerajaan untuk segera memperbaiki sistem perolehan tender kontrak perkhidmatan sokongan di bangunan kerajaan, seperti perkhidmatan kawalan keselamatan dan kebersihan di sekolah dan hospital, demi menjaga kesejahteraan pekerja.

Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar atas talian anjuran JPKK pada hari ini, untuk membentangkan laporan hasil kajian mengenai benefisiari kontrak perkhidmatan kerajaan. Kajian yang dilakukan oleh JPKK ini mendedahkan bahawa wujudnya masalah yang serius dan berleluasa dari segi ketelusan dan kebertangggungjawaban dalam sistem pemberian kontrak perkhidmatan sokongan di Kementerian Pendidikan dan Kesihatan pada masa kini.

“Terlalu banyak syarikat yang beroperasi di sekolah kerajaan melanggar undang-undang, malah menindas pekerja dengan tidak membayar ikut kadar gaji minimum, tiadanya cuti tahunan dan cuti sakit bagi pekerja, serta terus beroperasi tanpa dikenakan sebarang tindakan walaupun melanggari undang-undang buruh. Ada juga syarikat yang terus mendapat tender berulang kali walaupun banyak rekod aduan pekerja telah dikemukakan,” kata Danial Hakeem, Kordinator Nasional JPKK.

“Kajian kami mendapati bahawa terdapat beberapa buah syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan sokongan di sekolah berkaitan rapat dengan ahli politik, dan maklumat latar belakang syarikat sukar diperiksa daripada pencarian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), malah adanya juga syarikat yang tidak mengemukakan laporan audit ke SSM,” ulas Danial. “Masalah yang dialami oleh pekerja pembersihan di hospital juga berpunca daripada kekebalan syarikat kontraktor yang datang daripada masalah kekurangan akauntabiliti dan ketidaktelusan. Salah satu puncanya adalah informasi mengenai penerima tender, termasuk sebab mereka mendapat tender, dilindungi di sebalik Akta Rahsia Rasmi 1972.”

Kajian JPKK mengenai benefisiari kontrak perkhidmatan kerajaan ini disediakan oleh Joe Medz, seorang penyelidik bebas. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti benefisiari-benefiari (iaitu pihak yang mendapat faedah) syarikat yang dianugerahkan kontrak oleh kerajaan, serta menyiasat sebarang amalan yang tidak telus dan sama ada terdapatnya rasuah dalam proses perolehan berkenaan atau tidak. Kajian ini telah meneliti maklumat mengenai 216 buah syarikat yang diberi kontrak oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan daripada dokumen awam yang dapat diakses.

Joe Medz mengatakan bahawa terdapat beberapa limitasi dalam menjalankan kajian ini, antaranya permintaan untuk mendapatkan maklumat daripada kementerian yang berkenaan tidak mendapat jawapan, dan sukar untuk menentukan pemilik syarikat sebenar kerana ramai ahli politik menggunakan proksi atau ejen untuk menggantikan mereka dalam struktur syarikat. Kajian ini mendedahkan bahawa wujudnya kelemahan dalam sistem perolehan kerajaan yang sedia ada dan harus diperbaiki, seperti masalah ketidaktelusan dan kuasa yang terlalu besar dalam Jabatan Urus Setia Perolehan sehingga dapat mempengaruhi keputusan pemberian tender. Banyak perkara juga perlu disiasat dengan lebih lanjut lagi.

JPKK mengemukakan cadangan langkah-langkah berikut yang harus diambil segera oleh kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja barisan hadapan ini terjamin:

1. Penambahbaikan sebelum pemberian tender

  • Senaraihitamkan syarikat yang bermasalah atau berkaitan ahli politik daripada mendapatkan tender; 
  • Hanya syarikat yang berdaftar sebegai Sdn Bhd dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja dibenarkan untuk memohon tender;
  • Senaraihitamkan syarikat yang menyumberkan luar (subkontrak) tender perkhidmatan kepada syarikat subkontraktor yang lain;
  • Tetapkan cagaran atau bon pada kadar sekitar RM200,000-300,000 supaya dapat dilupuskan dalam kes salah laku syarikat kontraktor, di mana cagaran tersebut boleh digunakan untuk membayar gaji dan elaun pekerja apabila syarikat gagal berbuat demikian;
  • Individu atau syarikat yang telah disenaraihitamkan tidak harus dibenarkan untuk memohon tender.

2. Penambahbaikan semasa pemberian tender

  • Kawal aktiviti Jabatan Urus Setia Perolehan dengan membentuk jawatankuasa pemantauan proses perolehan;
  • Pantau perlantikan ahli lembaga dan pengarah dalam Jabatan ini;
  • Periksa latar belakang supaya tiada lantikan politik;
  • Libatkan agensi luar seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan buruh dalam proses penilaian.
  • Sebab pemilihan dan penolakan pemohon mesti diberitahu umum.

3. Pembaharuan undang-undang: Mansuhkan undang-undang kerahsiaan

  • Mansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan perkongsian maklumat proses perolehan tender selepas kontrak diberikan;
  • Semua maklumat mengenai pemberian kontrak perkhidmatan sokongan di premis kerajaan mesti didedahkan kepada umum

4. Pembaharuan institusi

  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) harus diberi kuasa pendakwaan yang bebas, untuk mengelakkan daripada penolakan kes kerana pengaruh politik;
  • Perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga mesti melalui proses pengundian dan hanya boleh dilucutkan jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong.

5. Penambahbaikan hak pekerja kontrak

  • Hak pekerja seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 mesti disertakan dalam klausa tender dan diwajibkan untuk memastikan hak pekerja terjamin;
  • Harus adanya peningkatan gaji mengikut tempoh perkhidmatan, bukannya terkunci di paras gaji minimum;
  • Majikan harus menyediakan kelengkapan perlindungan diri yang mencukupi untuk pekerja supaya mencegah jangkitan wabak COVID-19;
  • Majikan yang gagal mematuhi Akta Kerja harus dikenakan penalti dan disenaraihitamkan daripada memperoleh tender pada masa depan.

6. Penambahbaikan selepas pemberian tender

  • Tubuhkan jawatankuasa audit yang terdiri daripada waki; NGO dan Kesatuan Buruh untuk mengaudit prestasi kontraktor, memastikan tender tidak diberi kepada syarikat yang tidak layak dan mencurigakan.

JPKK akan mengemukakan hasil kajian dan cadangannya untuk pembaharuan kepada Ahli-ahli Parlimen, Kementerian-kementerian yang berkaitan (termasuh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan) dan SPRM untuk siasatan lanjut. Dalam jangka masa panjang, JPKK juga bertekad untuk terus berkempen supaya memansuhkan sistem kontrak dalam perkhidmatan sokongan di premis kerajaan demi mengembalikan jaminan kerja bagi semua pekerja bawahan yang bekerja di premis kerajaan.

Laporan penuh kajian JPKK mengenai benefisiari kontrak perkhidmatan kerajaan boleh dimuat turun di sini.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Sistem kontrak penuh kepincangan: JPKK gesa pembaharuan untuk lebih ketelusan dan akauntabiliti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *