Selepas aksi mogok dan protes besar-besaran selama 5 hari berturut-turut, walaupun berdepan dengan penindasan yang kejam daripada pihak berkuasa, tetapi oleh sebab kegigihan kelas pekerja untuk melawan, akhirnya kuasa rakyat berjaya memaksa Kerajaan Colombia pimpinan Presiden Iván Duque Márquez untuk menarik balik rancangannya yang hendak melaksanakan “pembaharuan” percukaian yang bersifat neoliberal. Ini merupakan satu kemenangan penting untuk rakyat Colombia dalam usaha perjuangan mereka melawan serangan dasar ekonomi neoliberal. Protes jalanan masih berterusan di Colombia, kerana kemarahan Colombia jauh lebih besar daripada ketidakpuasan hati terhadap satu rancangan kerajaan, tetapi terhadap seluruh rejim pemerintahan oligarki kapitalis di negara Amerika Latin itu.
Negara Colombia telah dilanda gelombang demi gelombang aksi protes melawan dasar ekonomi neoliberal dalam dua tahun kebelakangan ini. Gelombang aksi massa yang terbaru tercetus apabila Presiden Iván Duque Márquez memperkenalkan rang undang-undang “pembaharuan” percukaian yang memaksa kelas pekerja di negara itu untuk menanggung bayaran cukai sebanyak USD6.4 bilion bagi mengimbangi desifit fiskal yang timbul kerana pandemik COVID-19. Defisit fiskal negara Colombia mencecah 7.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2020, dan hutang negaranya bersamaan dengan 64.8% KDNK. KDNK Colombia pula mengecut sebanyak 6.8% pada tahun 2020 ketika pandemik. Kadar pengangguran di Colombia mencecah 14%, dan ramai orang hidup dalam kesusahan.
Kerajaan pimpinan Duque menggunakan alasan hendak memperluaskan program bantuan pendapatan asas untuk melaksanakan “pembaharuan” percukaian ini, tetapi kelas pekerja dan kelas menengah pula yang harus membayar lebih, bukannya golongan oligarki kapitalis yang berkuasa. “Pembaharuan” percukaian yang diperkenalkan oleh Kerajaan pimpinan Duque ini termasuk memperluaskan skop cukai tambah-nilai (iaitu cukai yang serupa dengan GST) ke atas jenis barangan yang lebih banyak seperti makanan dan kemudahan asas.
Kerajaan pimpinan Duque juga mencadangkan “pembaharuan” terhadap sistem kesihatan di Colombia dengan melaksanakan lebih banyak penswastaan. Tindakan yang menghakis sistem kesihatan awam pada ketika pandemik ini sudah pasti akan memberi kesan yang hebat kepada rakyat bawahan. Colombia merupakan negara Amerika Latin yang mempunyai angka kematian COVID-19 yang ketiga tinggi pada masa kini (di belakang Brazil dan Mexico), dengan lebih 75,000 orang sudah mati kerana jangkitan koronavirus setakat ini.
Kesatuan-kesatuan sekerja, gerakan sosial dan parti-parti politik pembangkang yang progresif di Colombia telah melancarkan aksi mogok nasional pada 28 April 2021, untuk membantah rancangan “pembaharuan cukai” yang dibawa oleh Kerajaan pimpinan Duque. Selain membantah “pembaharuan cukai” dan penswastaan sistem kesihatan, peserta aksi mogok nasional juga menuntut pelaksanaan skim pendapatan asas sejagat pada paras gaji minimum dan sokongan tambahan kepada peniaga-peniaga kecil.
Kelas pemerintah oligarki kapitalis Colombia yang terkenal dengan kekejamannya, tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan demi memadamkan kebangkitan rakyat. Kerajaan Colombia telah mengerahkan pasukan polis dan Skuadron Anti-Rusuhan Bergerak (ESMAD) untuk cuba mematahkan aksi demonstrasi yang aman di seluruh negara Colombia. Pihak berkuasa menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi jalanan. Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh kerana keganasan polis, sementara ratusan orang tercedera dan ditangkap.
Walau bagaimanapun, keganasan pihak berkuasa tidak dapat menghalang rakyat Colombia daripada terus beraksi di jalanan. Ratusan ribu orang terus berdemonstrasi, di bandar-bandar di seluruh negara Colombia, termasuk Cali, Pereira, Barrancabermeja, Medellín, Neiva, Bogotá dan sebagainya.
Aksi mogok dan protes jalanan mencapai kemuncak pada Hari Pekerja Antararabangsa, 1 Mei 2021. Sehari selepas itu, pada 2 Mei 2021, demi meredakan keadaan, Presiden Duque mengumumkan bahawa dia menarik balik cadangan “pembaharuan cukai”. Menteri Kewangan Colombia, Alberto Carrasquilla Barrera, telah meletak jawatannya pada 3 Mei 2021, kerana tekanan yang hebat berikutan gelombang protes besar-besaran.
Namun, Presiden Duque masih menyatakan pandangannya bahawa perlunya “pembaharuan cukai” untuk menangani krisis ekonomi, dan meminta untuk menggubal satu lagi rang undang-undang baharu melalui konsensus politik. Dengan menyedari sifat neoliberal rejim Duque, rakyat Colombia tidak terus balik rumah selepas Kerajaan membatalkan rancangan “pembaharuan cukai” yang menekan rakyat itu, sebaliknya mereka meneruskan aksi protes di jalanan dengan seruan untuk mendesak pembatalan rancangan penswastaan kesihatan, menuntut keadilan bagi mangsa keganasan polis, malah adanya yang menggesa Presiden Duque untuk meletak jawatan.
Penarikan balik rang undang-undang “pembaharuan cukai” oleh Kerajaan Duque, walaupun merupakan cubaan kerajaan untuk meredakan kemarahan rakyat, tetapi ia menjadi satu detik bersejarah di negara Colombia, kerana aksi massa berjaya menundukkan kerajaan negara itu yang terkenal dengan keangkuhan dan kekejamannya. Golongan pekerja dan anak-anak muda yang berani berjuang, telah menjadi barisan hadapan yang memajukan perjuangan ini. Sudah tentu kemenangan terbaru ini akan memberi semangat baharu kepada rakyat Colombia untuk terus berjuang dan menjadi inspirasi kepada perjuangan massa merentasi benua Amerika Latin.
2 thoughts on “Colombia: Aksi protes rakyat tewaskan rancangan percukaian neoliberal”