(foto: Francia Márquez Mina/Twitter)

Gustavo Petro, seorang ahli ekonomi dan bekas anggota gerila berhaluan kiri, menang dalam pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden Colombia, menjadikannya Presiden berhaluan kiri yang pertama di negara Colombia!

Pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden Colombia telah diadakan pada 19 Jun 2022. Gustavo Petro, calon daripada “Pakatan Sejarah” (Pacto Histórico), sebuah gabungan politik yang terdiri daripada gerakan-gerakan sosial dan parti-parti politik yang berhaluan kiri, telah mencipta sejarah selepas muncul sebagai pemenang dalam Pilihanraya Presiden Colombia, sekali gus memecahkan dominasi golongan konservatif yang berhaluan kanan terhadap politik Colombia berdekad-dekad lamanya. Ini merupakan sesuatu yang amat memberangsangkan, bukan sahaja di Colombia, malah di seluruh rantau Amerika Latin dan dunia.

Rakyat Colombia telah mengalami keganasan, penindasan dan kesengsaraan yang berterusan akibat daripada pemerintahan kerajaan berhaluan kanan yang hanya melindungi kepentingan kelas atasan. Namun, rakyat Colombia yang tertindas tidak pernah berputus asa dalam menerajui perjuangan yang hebat untuk tanah, untuk makanan, dan lebih-lebih lagi untuk keamanan. Selama berdekad-dekad lamanya, rakyat Colombia yang inginkan keamanan dan keadilan sosial, telah berjuang dengan gigihnya untuk mewujudkan pendamaian yang berkekalan di negara itu – mendamaikan perbezaan politik melalui usaha pengagihan semula kekayaan masyarakat, pendemokrasian dan penyahtenteraan. Keputusan pilihanraya terbaru ini merupakan hasil keberanian dan keazaman rakyat Colombia untuk menuntut semula demokrasi mereka walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.

Gustavo Petro, bersama dengan calon Naib Presidennya, Francia Márquez, seorang peguam, feminis, dan aktivis alam sekitar, telah meraih sebanyak 11,281,013 undi (bersamaan 50.44% undian yang sah) dalam pengundian pusingan kedua. Pesaing kepada Gustavo Petro dalam pengundian pusingan kedua, Rodolfo Hernández, seorang ahli politik populis berhaluan kanan yang mempergunakan isu anti-korupsi untuk meraih sokongan undi, memperoleh 10,580,412 undi (bersamaan 47.31%).

Gustavo Petro muncul sebagai calon yang meraih undi terbanyak dalam pengundian pusingan pertama yang diadakan pada 29 Mei 2022, dengan memperoleh sebanyak 8,541,617 undi (40.34%). Calon daripada parti konservatif dan liberal yang tradisional telah mengalami kekalahan yang teruk dalam pengundian pusingan pertama, sehingga menyaksikan dua orang calon yang bukan daripada parti politik tradisional melayakkan diri ke pengundian pusingan kedua, di mana seorang daripada golongan kiri yang progresif dan seorang lagi ialah ahli perniagaan yang berhaluan kanan. Walau bagaimanapun, Federico Gutiérrez, calon daripada gabungan parti berhaluan kanan tradisional yang mendapat undi ketiga tinggi dalam pusingan pertama, menyeru penyokongnya untuk mengundi Rodolfo Hernández dalam pusingan kedua dalam cubaan golongan berhaluan kanan untuk menyekat kemenangan Petro.

Perlembagaan Colombia menetapkan bahawa seseorang hanya boleh memegang jawatan Presiden untuk satu penggal 4-tahun, dan tidak boleh bertanding lagi untuk dipilih semula. Sebelum ini, pada tahun 2004, Álvaro Uribe yang menyandang jawatan Presiden pada masa itu berjaya membawa pindaan kepada Perlembagaan 1991 untuk membolehkannya dipilih semula untuk penggal kedua pada tahun 2006. Namun, pindaan perlembagaan tersebut dimansuhkan pada tahun 2015 dan had satu penggal untuk jawatan Presiden dikembalikan.

Gustavo Petro dilahirkan pada tahun 1960 dalam sebuah keluarga petani di Ciénaga de Oro yang terletak di utara Colombia. Ketika berumur 17 tahun, Petro sudah menyertai Gerakan 19 April (M-19), sebuah organisasi gerila yang berhaluan kiri. M-19 yang pernah merupakan kumpulan gerila yang kedua terbesar di Colombia pada tahun 1980-an, selepas Angkatan Bersenjata Revolusioner Colombia – Tentera Rakyat (FARC), mendapat inspirasi daripada gerakan gerila yang lain di Amerika Latin, seperti Tupamaros di Uruguay dan Montoneros di Argentina, untuk memperjuangkan demokrasi di Colombia. Petro pernah ditahan oleh pihak tentera kerana aktiviti gerilanya pada tahun 1985 dan dipenjarakan selama 18 bulan.

Selepas M-19 meletak senjata pada penghujung tahun 1980-an, bekas anggotanya, termasuk Petro, telah membentuk sebuah parti politik yang dikenali sebagai Perikatan Demokratik M-19. Petro dipilih sebagai ahli parlimen dalam Dewan Rakyat pada tahun 1991, mewakili kawasan pentadbiran Cundinamarca, sebagai calon Perikatan Demokratik M-19. Petro kemudiannya menyertai “Jalan Alternatif” (Vía Alterna), sebuah parti berhaluan kiri yang ditubuhkan oleh bekas anggota M-19. Sebagai anggota Vía Alterna, Petro memainkan peranan penting dalam mewujudkan gabungan politik untuk pilihanraya bersama dengan kumpulan-kumpulan kiri yang lain. Petro pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Bogotá pada tahun 1998-2006, dan dipilih sebagai Senator pada tahun 2006-2010. Petro juga pernah dipilih sebagai Datuk Bandar Bogotá pada tahun 2012, tetapi menghadapi serangan bertubi-tubi daripada golongan berhaluan kanan, sehingga dilucutkan jawatannya oleh pihak berkuasa untuk seketika pada tahun 2014.

Ini merupakan kali ketiga Petro bertanding untuk jawatan Presiden. Petro bertanding untuk Presiden pertama kalinya pada tahun 2010, sebagai calon Polo Democrático Alternativo (PDA), tetapi hanya meraih sebanyak 1,331,267 undi (9.14%) dalam pengundian pusingan pertama, menduduki tempat keempat pada masa itu. Petro bertanding untuk kali kedua pada tahun 2018, sebagai calon Colombia Humana, sebuah parti yang berasal daripada gerakan politik yang ditubuhkan pada tahun 2011 untuk berkempen dalam pilihanraya tempatan di Bogotá. Dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2018, Petro berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua, tetapi tewas kepada calon berhaluan kanan, Iván Duque. Petro berjaya meraih 4,855,069 undi (25.09%) dalam pengundian pusingan pertama, dan 8,040,449 (41.77%) dalam pengundian pusingan kedua pada tahun 2018. Oleh sebab undang-undang Colombia menetapkan bahawa naib juara dalam Pilihanraya Presiden akan diberikan satu kerusi dalam Dewan Senat, maka Petro menjadi Senator selepas tewas dalam Pilihanraya Presiden 2018.

Dalam tempoh empat tahun yang lalu di bawah kepresidenan Iván Duque, Colombia telah dilanda gelombang protes rakyat yang hebat, termasuk mogok pekerja pada bulan November 2019, protes membantah keganasan polis pada tahun 2020, protes menentang percukaian neoliberal pada tahun 2021, dan sebagainya. Gerakan perjuangan rakyat yang hebat ini memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha golongan kiri memenangi pilihanraya.

Colombia Humanayang dipimpin oleh Gustavo Petro, telah berusaha untuk membangunkan kerjasama antara gerakan-gerakan sosial dan parti-parti kiri sehingga membawa kepada pembentukan “Pakatan Sejarah” pada bulan Februari 2021. Selain Colombia Humana, “Pakatan Sejarah” turut disertai oleh parti-parti seperti Parti Komunis Colombia (PCC), Polo Democrático Alternativo (PDA), Unión Patriótica (UP), Comunes yang ditubuhkan oleh anggota FARC, dan sebagainya. Parti-parti kiri dan gerakan-gerakan sosial di Colombia yang menyertai “Pakatan Sejarah” telah lama berjuang melawan dasar neoliberal dan militarisasi yang dibawa oleh kerajaan Colombia yang berhaluan kanan sebelum ini. “Pakatan Sejarah” memperoleh undi terbanyak dalam kalangan semua parti yang bertanding dalam Pilihanraya Parlimen yang diadakan pada 13 Mac 2022.

Kempen Petro dan “Pakatan Sejarah” telah menawarkan program politik progresif yang membawa cadangan seperti reformasi tanah yang memulihkan produktiviti 15 juta hektar tanah, menghentikan cari gali minyak untuk mengalihkan negara Colombia daripada kebergantungan terhadap industri bahan api fosil, pendemokrasian terhadap perumahan, peruntukan dalam pendidikan awam, pembaharuan terhadap sistem kesihatan yang telah diswastakan sebahagian besar pada masa kini, usaha untuk menangani masalah kelaparan, percukaian yang lebih tinggi untuk golongan korporat dan sebagainya. Petro juga mentatakan bahawa beliau akan berusaha untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan negara jirannya, Venezuela. 

Pasangan pencalonan Petro, Francia Márquez, bakal menjadi Naib Presiden Colombia pertama yang berketurunan Afro-Colombia. Márquez mula terlibat dalam aktivisme alam sekitar ketika beliau berusia 13 tahun lagu, apabila komunitinya diancam oleh pembinaan empangan. Márquez juga pernah terlibat dalam perjuangan membantah perlombongan haram, di samping aktif mengambil bahagian dalam proses pendamaian antara kerajaan Colombia dengan kumpulan bersenjata FARC yang berhaluan kiri.

Petro dan Márquez telah menghadapi pelbagai ancaman daripada golongan berhaluan kanan sepanjang kempen mereka, termasuk ugutan bunuh daripada kumpulan bersenjata. Colombia memang terkenal dengan keganasan politik oleh pihak berkuasa terhadap golongan kiri. Oleh itu, kemenangan Pedro dan Márquez ialah sesuatu yang menakjubkan. Kemenangan mereka ialah hasil daripada usaha organisasi dan mobilisasi rakyat dari bawah yang berterusan untuk memperjuangkan keamanan, demokrasi dan keadilan sosial.

Kemenangan Petro sebagai Presiden Colombia, menandakan satu lagi langkah ke hadapan yang memberangsangkan bagi golongan progresif di rantau Amerika Latin. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan pemulihan kuasa politik kiri di Amerika Latin, dengan kemenangan Xiomara Castro di Honduras dan kemenangan Gabriel Boric di Chile. Kemenangan Petro dan Márquez di Colombia ini merupakan kemenangan yang ketiga dalam gelombang kebangkitan kiri yang terbaru di Amerika Latin. Berkemungkinan besar gelombang kemenangan kuasa kiri ini akan dilanjutkan ke Brazil yang bakal mengadakan pilihanraya pada 2 Oktober 2022.

Sudah pasti kemenangan Petro dan Márquez tidak disenangi oleh golongan konservatif yang mendominasi kuasa politik di negara Colombia selama ini. Begitu juga dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS), kerana kerajaan Colombia yang berhaluan kanan sebelum ini merupakan sekutu rapat AS di rantau Amerika Latin, dan sekarang ini AS kehilangan satu sekutu penting berikutan kemenangan Presiden berhaluan kiri yang pertama di Colombia. Berkemungkinan besar kerajaan progresif yang pertama di Colombia akan berdepan dengan pelbagai ancaman dan serangan daripada puak kanan yang rapat dengan kuasa imperialis AS, seperti yang pernah dihadapi oleh kerajaan-kerajaan berhaluan kiri lain di rantau Amerika Latin, seperti Venezuela dan Bolivia.

Petro akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Colombia pada 22 Ogos 2022. Kepresidenan Petro merupakan satu peluang bersejarah untuk membina solidariti dalam kalangan rakyat Amerika Latin, menamatkan sistem ekonomi neoliberal dan pengekstrakan ekologi yang mengancam begitu banyak komuniti di rantau Amerika Latin. Cabaran untuk golongan kiri di Colombia masih amat hebat, tetapi kemenangan Petro dan Márquez merupakan satu permulaan yang memberangsangkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s