PUTRAJAYA – 8 APRIL 2021: Pekerja-pekerja pembersihan hospital menggesa Menteri Kesihatan supaya mengambil tindakan segera untuk melindungi hak pekerja-pekerja barisan hadapan yang menjaga kebersihan hospital dan menghentikan pemangsaan pekerja oleh syarikat Edgenta UEMS.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada hari ini untuk mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan hospital kerajaan yang diupah oleh syarikat Edgenta UEMS.

Turut hadir bersama dengan pekerja-pekerja semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif KPSPSHKSM.

4 isu telah dibawa oleh KPSPSHKSM kepada perhatian Kementerian Kesihatan, iaitu:

  1. Edgenta UEMS memungkiri janjinya yang tidak akan menamatkan perkhidmatan pekerja berumur 60 tahun dan ke atas selagi mereka masih mampu bekerja.
  2. Pihak majikan menamatkan kemudahan pengangkutan untuk pekerja-pekerja di Hospital Seberang Jaya dengan alasan sebahagian pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas ditamatkan kerja.
  3. Beban kerja di wad COVID-19 yang berisiko tinggi menjejaskan kesihatan pekerja.
  4. Pekerja dipaksa untuk bekerja di 3 atau 4 lokasi.

Edgenta UEMS langgar janjinya

Pihak pengurusan syarikat Edgenta UEMS pernah berjanji semasa sesi pertemuan “townhall” dengan pekerja pada bulan Disember 2019 di hospital-hospital di negeri Perak dan Pulau Pinang, bahawa ia akan menyambung kontrak perkhidmatan bagi pekerja-pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas selagi mereka masih mampu bekerja dan pekerja-pekerja tidak perlu risau mengenai status pekerjaan mereka pada masa akan datang. Pada ketika itu, pekerja-pekerja yang sudah berumur 60 tahun dan ke atas telah diberikan surat tawaran kerja berstatus “kontrak” tanpa tempoh percubaan.

Namun, sekarang ini Edgenta UEMS telah memungkiri janjinya yang dibuat pada penghujung tahun 2019 sebelum mengambilalih kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital kerajaan di empat buah negeri di Bahagian Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia (iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis). Pada bulan Disember 2020, lebih kurang 30 orang pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas telah diberi notis penamatan kerja. Pihak Kesatuan KPSPSHKSM menghantar surat kepada Edgenta UEMS mengenai perkara ini, dan Edgenta UEMS membalas surat tersebut dengan menafikan bahawa ia pernah membuat janji sebegini pada bulan Disember 2019. Pihak syarikat Edgenta UEMS nampaknya cuba menggunakan helah untuk terus memangsakan pekerja.

Pekerja-pekerja yang menerima notis penamatan kerja telah menulis surat rayuan kepada pihak pengurusan Edgenta UEMS, atas arahan daripada penyelia-penyelia di tempat kerja, untuk memohon supaya perkhidmatan mereka disambung. Sepanjang bulan Januari 2021 hingga penghujung bulan Mac 2021, pekerja-pekerja yang berkenaan telah dijanjikan akan disambung kerja mereka secara kontrak oleh penyelia dan penolong penyelia syarikat Edgenta UEMS di tempat kerja masing-masing. Mereka berharap bahawa perkhidmatan mereka akan disambung selepas 31 Mac 2021 kerana badan mereka masih sihat, mampu bekerja, mempunyai prestasi kerja yang baik dan perkhidmatan mereka memang masih diperlukan. Namun demikian, pekerja-pekerja berkenaan dikejutkan lagi apabila mereka diberitahu bahawa jangan datang lagi untuk bekerja pada 1 April 2021 dan disuruh untuk memulangkan pakaian uniform mereka sementara gaji terakhir mereka akan dibayar pada 7 April 2021.

Pekerja-pekerja pembersihan hospital kerajaan ini tiadanya pencen kerana mereka diupah di bawah sistem kontrak penyumberan luar dan gaji mereka juga sangat rendah. Mereka hanya menerima gaji minimum walaupun sudah lama bekerja. Oleh itu, mereka perlu terus bekerja selagi masih mampu selepas mencecah umur 60 tahun. Mereka menganggap bahawa majikan mereka akan menyambung perkhidmatan mereka selepas umur 60 tahun kerana ini memang sesuatu yang dijanjikan, tetapi sekarang ini majikan telah memungkiri janjinya.

Pada masa sekarang, wabak COVID-19 masih menular di negara kita. Oleh itu, perkhidmatan pekerja-pekerja pembersihan hospital yang juga merupakan petugas-petugas barisan hadapan (frontliner) dalam membendung penularan wabak COVID-19 amat diperlukan. Lebih-lebih lagi, pekerja-pekerja yang berpendapatan rendah akan menghadapi kehidupan yang lebih susah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini sekiranya kehilangan kerja. Adalah tidak adil dan berperikemanusiaan untuk memberhentikan pekerja-pekerja ini semasa pandemik dan menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan yang begitu mustahak untuk menampung kehidupan mereka.

Kenapa syarikat Edgenta UEMS hendak membuang pekerja yang masih sihat, mampu kerja dan berpengalaman ini pada ketika sistem kesihatan awam kita memerlukan perkhidmatan mereka?

Selain itu, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja telah dijadikan sasaran utama dalam tindakan pemberhentian kerja terbaru ini. Ini jelas menunjukkan bahawa Edgenta UEMS mempunyai niat jahat untuk memecah-belahkan kesatuan (union busting), sesuatu yang telah dilakukannya secara berterusan sejak ia mengambilalih kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital kerajaan pada bulan Januari 2020.

Kemudahan pengangkutan ke tempat kerja diberhentikan untuk memangsakan pekerja

Isu kedua yang diketengahkan oleh KPSPSHKSM adalah pihak Edgenta UEMS berniat untuk menamatkan kemudahan pengangkutan van yang membawa 8 orang pekerja dari Kulim ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Alasan yang diberikan untuk menamatkan kemudahan pengangkutan pekerja ini adalah 4 orang daripada 8 orang pekerja yang menggunakan kemudahan ini telah diberhentikan kerja kerana sudah melebihi umur 60 tahun.

Pihak pengurusan syarikat Edgenta UEMS telah mengambil kesempatan untuk mengugut 4 orang pekerja yang masih bekerja itu supaya mencari 4 orang lagi pekerja baharu jika mereka hendak mengekalkan perkhidmatan van tersebut, dan sekiranya gagal berbuat demikian, maka perkhidmatan pengangkutan van ulang alik tempat kerja akan diberhentikan. Tindakan ini amat jelas menunjukkan bahawa pihak majikan Edgenta UEMS berniat jahat untuk menekan dan memaksa pekerja-pekerja ini supaya berhenti kerja secara “automatik”.

Beban kerja di wad COVID-19 yang berisiko tinggi menjejaskan kesihatan pekerja

Satu lagi isu yang dibawa adalah beban kerja berisiko tinggi yang dipikul oleh pekerja-pekerja pembersihan di wad COVID-19.

Kerja-kerja di wad COVID-19 adalah sangat berbeza dengan kerja di wad biasa. Sebuah wad COVID-19 mempunyai 30-35 buah katil pesakit dan lebih kurang 19 buah tandas. Pihak majikan telah mengarahkan seorang pekerja pembersihan sahaja untuk bekerja di dua wad COVID-19, sedangkan amalan biasa sepatutnya adalah 2 orang ditugaskan untuk membersihkan sebuah wad COVID-19. Alasan yang diberikan oleh Edgenta UEMS adalah pekerja tidak mencukupi.

Seorang pekerja pembersihan yang ditugaskan untuk membersihkan wad COVID-19, perlu membersihkan dan menyahkuman wad COVID-19 tiga kali sehari. Kerja-kerjanya termasuk mengumpul sampah, mengelap lantai, mengelap dinding, mengelap katil, membersihkan tilam, mengelap tingkap, membersihkan koridor, mencuci tandas dan sebagainya. Sekiranya terdapat pesakit COVID-19 meninggal dunia, pekerja pembersihan harus membersihkan dan menyahkuman katil pesakit itu. Pekerja yang sama juga perlu mengelap dan menyahkuman lif, koridor di luar wad sehingga ke rumah mayat. Sekiranya terdapat pesakit COVID-19 dipindahkan dari wad biasa ke wad COVID-19, pekerja pembersihatan yang sama juga perlu membersihkan dan menyahkuman wad biasa itu terlebih dahulu dan kembali ke wad COVID-19.

Pekerja-pekerja pembersihan yang ditugaskan di wad COVID-19 tidak diberikan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang sepenuh dan hanya diberikan PPE biasa yang digunakan di wad biasa. Pekerja-pekerja berkenaan terpaksa mandi dan menukar baju lebih 8 kali sehari apabila pesakit COVID-19 keluar dan masuk ke dalam wad.

Walaupun pekerja-pekerja pembersihan di wad COVID-19 perlu memikul beban kerja yang amat berat dan berisiko tinggi, tetapi mereka tidak mendapat pengiktirafan sebagai “petugas barisan hadapan” (frontliner) oleh kerajaan sehingga mereka tidak dapat menikmati faedah-faedah yang diberikan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang lain di wad COVID-19, seperti bayaran insentif.

Beban kerja yang amat berat dan berisiko tinggi ini menyebabkan kesihatan pekerja terjejas, dari segi fizikal dan mental. Jika kesihatan pekerja yang menjadi tulang belakang kepada usaha membendung penularan wabak pun terjejas, bagaimana kita boleh menangani krisis pandemik dengan lebih berkesan?

Pekerja dipaksa bekerja di beberapa lokasi

Sebelum Edgenta UEMS mengambilalih kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital, pekerja-pekerja pembersihan biasanya hanya diberikan tugas di satu lokasi sahaja untuk mengendalikan operasi pembersihan. Akan tetapi, selepas Edgenta UEMS mengambilalih perkhidmatan pembersihan, pekerja-pekerja dipaksa kerja di beberapa lokasi walaupun keadaan ini telah melangkaui kemampuan pekerja-pekerja tersebut.

Menurut M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif KPSPSHKSM, pihak syarikat Edgenta UEMS dengan sengaja tidak memainkan peranannya untuk memastikan keperluan tenaga kerja yang mencukupi, malah menyeksa pekerja-pekerja yang masih bekerja dengan memberikan beban kerja yang lebih banyak kepada mereka.

“Pekerja-pekerja juga dimarahi dan ditengking oleh penyelia UEMS sekiranya mereka tidak dapat menghabiskan kerja harian mereka di semua lokasi yang berbeza ini,” kata Sarasvathy. “Keadaan ini menyebabkan pekerja-pekerja mengalami tekanan mental dan tidak dapat bekerja dalam keadaan yang aman dan tenang, sekaligus menjejaskan keharmonian industri.”

Pekerja dimangsakan oleh GLC

Pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, telah menghadapi ancaman pemangsaan yang berterusan daripada syarikat Edgenta UEMS sejak bulan Julai 2019 pada ketika ia belum lagi mengambilalih kontrak perkhidmatan pembersihan hospital di empat buah negeri di Bahagian Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia, dan menjadi lebih teruk lagi selepas ia mengambilalih kontrak perkhidmatan pembersihan hospital secara rasminya pada 1 Januari 2020 sehingga sekarang.

Walaupun pihak kesatuan sekerja telah membuat banyak aduan kepada pihak pengurusan Edgenta UEMS dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan tuntutan menghentikan pemangsaan terhadap pekerja, tetapi perkara ini masih berterusan malah menjadi lebih serius. Kesatuan KPSPSHKSM pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak Edgenta UEMS, tetapi Edgenta UEMS enggan mengiktiraf kesatuan sekerja dan enggan berbincang dengan kesatuan sekerja, menjadikan keadaan pemangsaan terhadap pekerja ini berterusan tanpa sebarang penyelesaian. Tiada usaha diambil oleh Edgenta UEMS untuk menjaga keharmonian perusahaan, dan ini bukannya perangai sebuah syarikat yang bertanggungjawab.

Edgenta UEMS merupakan anak syarikat kepada UEM Edgenta yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad. Khazanah Nasional Berhad pula ialah dana kekayaan berdaulat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Kerajaan memang tidak boleh mencuci tangan daripada tanggungjawab menjaga hak pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan walaupun ia telah disumberkan luar kepada syarikat swasta, lebih-lebih lagi syarikat itu mempunyai kaitan dengan kerajaan!

Sarasvathy berkata, “Pekerja-pekerja dipaksa, diugut, diseksa dan diperas oleh Edgenta UEMS. Pekerja-pekerja dipaksa untuk melakukan perkara-perkara baharu yang melanggari amalan kerja mereka sebelum ini, seperti dipaksa bekerja lebih 1 jam tanpa bayaran kerja lebih masa (OT), dipaksa bekerja di 3 hingga 4 lokasi, ditukar lokasi dan syif kerja sesuka hati penyelia tanpa persetujuan pekerja, dimarahi dan disuruh berhenti kerja sekiranya pekerja bertanyakan soalan kepada penyelia UEMS, dihalang untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja, diugut sehingga menimbulkan rasa ketakutan dan kebencian terhadap kesatuan dalam kalangan pekerja…”

“Kami datang ke Kementerian Kesihatan pada hari ini kerana Kementerian Kesihatan yang memberikan kontrak kepada syarikat sub-kontraktor seperti Edgenta UEMS ini. Kami mahu Kementerian mengambil tindakan segera,” kata Sarasvathy mengenai tujuan penyerahan memorandum yang ditujukan kepada Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba, pada hari ini.

Seruan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan segera

KPSPSHKSM menyeru kepada Dr. Adham Baba selaku Menteri Kesihatan untuk memberi perhatian yang serius terhadap masalah pemangsaan pekerja di hospital kerajaan yang sedang berterusan ini dan mencampurtangan dengan mengambil tindakan segera.

Tuntutan yang dikemukakan oleh KPSPSHKSM dalam memorandumnya kepada Kementerian Kesihatan adalah seperti berikut:

  1. Hentikan serta-merta segala pemangsaan terhadap pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan.
  2. Mengarahkan pihak syarikat Edgenta UEMS untuk menarik balik notis penamatan kerja yang diberikan kepada pekerja-pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas, dan menyambung perkhidmatan pekerja-pekerja tersebut.
  3. Meneruskan kemudahan pengangkutan van seperti biasa untuk pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Seberang Jaya.
  4. Menghadkan lokasi kerja bagi pekerja dan mengambil kira kemampuan pekerja.
  5. Mengaturkan perjumpaan antara Kementerian Kesihatan, kesatuan sekerja dan pihak syarikat Edgenta UEMS untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan pada masa kini.

Wakil-wakil KPSPSHKSM telah menyerahkan memorandum ini kepada Mona Ang, Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan. Pihak Kementerian Kesihatan berjanji bahawa akan turun padang untuk mengesahkan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh pihak kesatuan sekerja, dan mengadakan satu mesyuarat secara bersama dengan kesatuan sekerja dan Edgenta UEMS.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *