20200318 - dmr_cuci-hospital_bernama-01

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) membongkarkan bahawa Edgenta UEMS, syarikat yang mengambilalih kontrak kerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan di empat buah negeri di Utara Pantai Barat sejak awal tahun ini, masih terus menghakis hak pekerja, dan isunya kali ini ialah bayaran kerja lebih masa (OT) dan cuti umum yang “dicuri”.

Penyelia rampas kad tebuk dan tidak benarkan pekerja balik rumah!

Selama ini, syif masa untuk pekerja-pekerja pembersihan yang bekerja mengikut syif di hospital ialah pukul 7 pagi hingga 3 petang. Namun, pada 16 Julai 2020, pada pukul 2 petang, iaitu sejam sebelum pekerja habis kerja dan balik rumah, penyelia mereka telah secara tiba-tiba menghantar mesej kepada mereka dengan memberi arahan bahawa mulai hari itu, semua pekerja syif hanya boleh balik rumah pada pukul 4 petang.

Oleh sebab arahan tersebut diberikan begitu lewat, hanya disampaikan pada saat-saat terakhir, sesuatu yang tidak munasabah, dan tanpa sebarang memo atau surat pekeliling daripada pihak syarikat yang dikeluarkan lebih awal, maka pekerja-pekerja pun balik rumah pada pukul 3 petang seperti biasa. Tetapi, penyelia sudah tunggu di tempat terletaknya mesin kad tebuk dan merampas kad tebuk daripada pekerja, untuk menghalang pekerja daripada balik rumah!

Edgenta UEMS curi OT pekerja?

Kerja syif untuk pekerja-pekerja pembersihan di hospital telah diubah secara tiba-tiba dari tempoh masa asal pukul 7 pagi hingga 3 petang, kepada pukul 7 pagi hingga 4 petang. Ini bermakna penambahan satu jam kerja untuk pekerja.

Alasan yang diberikan oleh Edgenta UEMS berkenaan dengan perubahan masa syif ini adalah, perlu memasukkan satu jam rehat dalam jumlah tempoh masa kerja sehari, maka pihak syarikat menambahkan satu jam pada tempoh masa kerja sehari yang asal. Alasan ini adalah tidak munasabah. Adakah pekerja-pekerja ini tiada masa rehat sejam sebelum ini?

Mengikut Seksyen 60C Akta Kerja 1955, pekerja syif hanya boleh kerja 48 jam seminggu. Jika lebih daripada 48 jam seminggu, majikan perlu membayar upah kerja lebih masa (OT) kepada pekerja. Jumlah masa kerja syif untuk pekerja pembersihan hospital sebelum ini ialah 8 jam sehari (dari pukul 7 pagi hingga 3 petang) termasuk masa rehat, iaitu 48 jam seminggu. Dengan pertambahan satu jam sehari untuk setiap syif, bermakna jumlah masa kerja syif sudah melebihi 48 jam seminggu. Namun, syarikat UEMS Edgenta yang memaksa pekerja untuk bekerja lebih sejam setiap hari ini tidak memberi apa-apa bayaran OT. Adakah syarikat UEMS Edgenta hendak mencuri OT pekerjanya?

Selain itu, sebelum ini, sejak tahun 1997, pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan ini telah melalui pengupahan di bawah 7 majikan (kontraktor) yang berlainan, dan tiada satu pun kontraktor sebelum ini yang mengubah masa kerja syif dengan menambahkan sejam tanpa membayar OT.  Namun, selepas UEMS Edgenta mengambilalih sebagai majikan yang ke-8 kepada pekerja-pekerja pembersihan ini, ia telah mengubah masa kerja.

Menurut Jabatan Tenaga Kerja, selepas majikan baru mengambilalih sesuatu kontrak kerja, majikan baru tersebut perlu sama ada meneruskan apa yang diberikan oleh majikan lama kepada pekerja, ataupun menambahbaikkannya supaya lebih memanfaatkan pekerja. Majikan baru TIDAK BOLEH kurangkan faedah ataupun mengubah syarat kerja sehingga tidak memanfaatkan pekerja.

Perubahan masa kerja syif dengan menambahkan satu jam kerja oleh UEMS Edgenta, merupakan satu tindakan yang mengurangkan faedah yang diberikan oleh majikan lama sebelum ini dan tidak memanfaatkan pekerja. Sepatutnya satu jam yang lebih itu dikira sebagai OT. Namun, Edgenta UEMS enggan membayar OT sejam sehari itu, malah memaksa pekerja syif untuk menerima kerja lebih masa sejam itu dengan alasan yang tidak munasabah.

Jika ini bukan mencuri bayaran OT, maka ia adalah mencuri waktu rehat sejam setiap hari daripada pekerja.

Majikan “curi” cuti umum, pekerja tidak dapat sambut Hari Raya

Edgenta UEMS bukan sahaja mencuri OT daripada pekerja, malah juga mencuri cuti umum daripada pekerja!

Sebelum ini, jumlah hari kelepasan am untuk pekerja pembersihan hospital ialah 15 hari setahun. Namun, UEMS Edgenta telah mengurangkan hari kelepasan am yang boleh dinikmati oleh pekerja kepada 11 hari. Ini jelas merupakan pengurangan faedah yang sepatutnya dinikmati oleh pekerja.

Disebabkan tindakan pihak syarikat mengurangkan jumlah hari cuti umum pekerja, pekerja-pekerja Muslim hanya mendapat satu hari cuti Hari Raya sahaja. Walaupun hari kedua Hari Raya masih merupakan cuti umum, tetapi pekerja-pekerja Muslim terpaksa juga pergi bekerja seperti biasa dan tidak dibayar OT atau bayaran “dua kali ganda” yang sepatutnya dinikmati oleh pekerja-pekerja yang bekerja pada hari kelepasan am.

Apa lagi Edgenta UEMS nak curi?

Pekerja pembersihan merupakan barisan hadapan (frontliner) yang penting untuk sistem kesihatan awam negara kita, lebih-lebih lagi pada waktu ancaman pandemik COVID-19 sekarang ini. Edgenta UEMS pernah mengeluarkan kenyataan berterima kasih kepada jasa pekerja pembersihan, tetapi realitinya adalah UEMS Edgenta masih terus menindas pekerja-pekerja pembersihan di barisan hadapan ini.

Adakah mencuri OT dan cuti umum pekerja itu cara Edgenta UEMS “berterima kasih” kepada pekerja pembersihan hospital yang turut memainkan peranan penting dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19?

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) menegaskan pendiriannya untuk mendesak pihak Edgenta UEMS supaya jangan menghakis hak pekerja pembersihan lagi. KPSPSHKSM juga mengemukakan tuntutan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia supaya mencampurtangan dan menghentikan segala penindasan dan penganiayaan terhadap pekerja-pekerja pembersihan hospital.

2 thoughts on “Majikan curi OT dan cuti umum pekerja pembersihan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *