KAMPAR, PERAK – 8 APRIL 2021: Seorang pemandu lori menang dalam kes saman oleh majikan terhadapnya, berkenaan dengan tuntutan baki caruman KWSP yang gagal dibayar majikan itu sendiri, pada hari ini di Mahkamah Majistret Kampar.

K. Ramadas, seorang pemandu lori yang bekerja dengan syarikat Teik Joo Chan Sdn Bhd (TJC) sejak tahun 2002, telah disaman oleh pihak majikan untuk tuntutan baki caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang gagal dibayar oleh majikan itu sendiri, berjumlah sebanyak RM26,207, dengan alasan bahawa Ramadas ialah seorang pemandu kontraktor bebas dan bukannya pekerja yang diupah oleh pihak syarikat.

Setelah perbicaraan penuh yang berlangsung selama 7 hari, Majistet Kampar, Puan Nur Faizah Binti Muhamad Saleh, memutuskan pada hari ini bahawa kes tuntutan saman yang dibawa oleh majikan terhadap Ramadas adalah tidak berasas dan menolaknya dengan kos.

Mahkamah Majistret telah memutuskan bahawa Ramadas ialah seorang pekerja, seperti yang ditakrif dalam Akta Kerja 1955 dan Akta KWSP 1991, maka bukannya seorang pemandu kontraktor bebas. Oleh itu, Mahkamah Majistret Kampar memerintah bahawa pihak majikan TJC tidak boleh menuntut sebarang baki caruman KWSP daripada pekerja berkenaan selepas tempoh 6 bulan caruman dibuat kerana ia adalah disekat oleh ketetapan had masa di bawah Seksyen 48 Akta KWSP.

Gabungan Pemandu Lori telah membuat aduan kepada KWSP pada awal tahun 2017, mengenai masalah kegagalan pihak syarikat TJC membayar caruman KWSP yang sepatutnya untuk 95 orang pemandu lori yang diupahnya. Setelah menjalankan penyiasatan, pihak KWSP mengarahkan majikan untuk membayar jumlah baki caruman KWSP (kedua-dua bahagian caruman majikan dan pekerja) untuk 6 tahun bagi semua pekerjanya. KWSP menyaman TJC di Mahkamah Tinggi Ipoh pada tahun 2018 untuk menuntut baki taksiran caruman KWSP dari tahun 2011 hingga 2017, sejumlah RM1,591,538 yang gagal dibayar oleh pihak syarikat kepada KWSP. Pihak majikan cuba membuat permohonan untuk memasukkan 95 orang pekerjanya sebagai defendan bersama dalam kes saman tersebut (dengan niat memaksa pekerja-pekerja juga menanggung bayaran yang dituntut oleh KWSP), tetapi telah ditolak dengan kos oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 Februari 2019.

KWSP telah mendapat penghakiman persetujuan terhadap syarikat TJC di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 25 April 2019 untuk membayar baki taksiran caruman KWSP bagi tempoh tahun 2011 hingga 2017 berjumlah RM1,591,538 berserta dividen, faedah, caj lewat bayar dan kos.

Namun, syarikat TJC cuba menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawabnya dan memaksa pekerja-pekerjanya membayar bahagian caruman KWSP pekerja yang gagal dicarumnya. Tindakan sebegini adalah bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta KWSP.

Pada 21 November 2018, iaitu selepas KWSP menyaman TJC di Mahkamah Tinggi Ipoh, pihak syarikat TJC telah memfailkan kes saman terhadap K. Ramadas dan 17 orang pemandu lori yang lain di Mahkamah Sesyen Ipoh, untuk menuntut jumlah taksiran caruman KWSP sepertimana yang dituntut oleh KWSP terhadap syarikat TJC di Mahkamah Tinggi Ipoh. Namun, pada 25 April 2019, Mahkamah Sesyen Ipoh menolak writ saman dan pernyataan tuntutan daripada syarikat TJC di bawah Aturan 14 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012. Syarikat TJC kemudiannya menarik balik juga tiga lagi kes saman terhadap pemandu-pemandu lori yang lain di Mahkamah Sesyen Ipoh, Mahkamah Sesyen Teluk Intan dan Mahkamah Majistret Tapah.

Selelah syarikat TJC tidak berjaya memaksa pekerja-pekerjanya untuk membayar apa yang gagal dibayarnya, ia mencuba nasib dengan menyaman salah seorang pemandu lori, iaitu K. Ramadas, di Mahkamah Majistret Kampar pada bulan September 2019, untuk menuntut bahagian caruman pekerja sejumlah RM26,207 yang gagal dibayar oleh pihak syarikat kepada KWSP.

K. Ramadas telah diwakili oleh peguam Bawani KS, yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM). Semasa perbicaraan kes, Bawani berhujah bahawa tuntutan syarikat TJC terhadap pekerjanya adalah bersifat res judicata (iaitu perkara yang hendak dibicarakan itu telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini), dan proses mahkamah telah disalahgunakan kerana ia telah melibatkan prosiding yang berulang untuk perkara sama yang sudah pun diputuskan di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini.

Bawani juga membidas dakwaan oleh pihak syarikat TJC bahawa Ramadas ialah seorang kontraktor bebas dan bukannya pekerja, kerana Ramadas dan pemandu-pemandu lori yang lain tidak menandatangani apa-apa kontrak perjanjian dengan pihak syarikat yang menyatakan mereka ialah kontraktor bebas.

Keputusan kes di Mahkamah Majistret Kampar Ini merupakan satu lagi kemenangan penting untuk pemandu lori yang memperjuangkan hak pekerja mereka.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “Pemandu lori menang kes mahkamah: Majikan yang gagal bayar caruman KWSP tidak boleh tuntut bayaran daripada pekerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *