(foto: Reuters)

Sejak berlakunya rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021, pihak Tentera Myanmar (Tatmadaw) telah beberapa kali memecahkan rekod “hari yang paling berdarah” dengan tindakan keras yang semakin ganas dan zalim terhadap rakyat Myanmar yang menentang rampasan kuasa tentera dan memperjuangkan demokrasi di negara itu.

27 Mac 2021 menjadi “hari paling berdarah” yang terbaru dalam tempoh hampir 2 bulan sejak rampasan kuasa tentera Myanmar, apabila sekurang-kurangnya 114 orang warga awam terbunuh dalam tindakan keras oleh pihak tentera Myanmar terhadap rakyat Myanmar yang berprotes di jalanan pada hari itu. Adalah dilaporkan bahawa sesetengah orang ditembak mati dalam penyerbuan pada waktu malam tanpa sebab.

Setakat 28 Mac 2021, sekurang-kurangnya 459 orang telah terbunuh kerana keganasan pemerintah tentera Myanmar, sementara lebih 2500 orang telah ditahan kerana memprotes untuk membantah pemerintahan tentera.

27 Mac merupakan “Hari Angkatan Tenteta” di Myanmar dan disambut oleh pemerintah tentera Myanmar dengan mengadakan perarakan ketenteraan secara besar-besaran “seperti biasa” di Naypyidaw, ibu negara Myanmar. Pemerintah tentera Myanmar telah meningkatkan lagi tindakan kekerasannya menjelang sambutan Hari Angkatan Tentera tahun ini dengan meneruskan serangannya terhadap mereka yang berprotes di jalanan dan menjadikan hari itu hari yang paling ramai orang terbunuh setakat ini sejak rampasan kuasa tentera hampir dua bulan yang lalu.

Pihak tentera Myanmar juga mengerahkan jet pejuang untuk melancarkan serangan udara ke atas perkampungan yang diduduki oleh kumpulan bersenjata masyarakat etnik minoriti Karen, Kesatuan Kebangsaan Karen, di sempadan Myanmar-Thailand, dan membunuh sekurang-kurangnya dua orang di situ.

Tindakan keras pihak pemerintah tentera Myanmar yang melibatkan pembunuhan berterusan terhadap rakyat Myanmar yang hanya menuntut untuk memulihkan demokrasi di negara itu, menunjukkan bahawa golongan pemerintah tentera Myanmar langsung tidak mempedulikan hidup mati rakyat negara itu selagi ia dapat terus berkuasa. Walaupun menghadapi kekejaman yang hebat daripada pihak pemerintah tentera, rakyat Myanmar telah menunjukkan kesungguhan mereka untuk melawan balik, dengan meneruskan aksi protes, mogok dan ketidakpatuhan sivil. Perjuangan rakyat Myanmar memang amat sukar dan menghadapi cabaran serta bahaya yang hebat.

Pihak tentera Myanmar yang dipimpin oleh oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, untuk mencegah Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang menang dalam pilihanraya umum pada bulan Februari 2020 daripada terus memegang kuasa pentadbiran. Sejak itu, tercetusnya gelombang protes besar-besaran yang melanda seluruh negara Myanmar. Ahli-ahli Parlimen daripada NLD membentuk “Jawatankuasa Perwakilan Pyidaungsu Hluttaw” (CRPH) sebagai kerajaan bayangan untuk mencabar kekuasaan pemerintah tentera. (“Pyidaungsu Hluttaw” bermakna Perhimpunan Kesatuan, iaitu parlimen dwidewan Myanmar) Selain menggunakan kekerasan seperti melepaskan tembakan peluru hidup terhadap para demonstran, pemerintah tentera Myanmar juga cuba menggunakan pelbagai cara yang keji untuk mematahkan gelombang protes, termasuk sekatan terhadap rangkaian internet, sekatan terhadap penggunaan media sosial, penutupan media massa yang melaporkan kekejaman pihak tentera, penyebaran maklumat palsu, pengerahan penyokong kerajaan untuk mengadakan demonstrasi, dan sebagainya. Namun, rakyat Myanmar yang membantah rampasan kuasa terbukti jauh lebih besar jumlahnya, dengan ramai pekerja termasuk kakitangan kerajaan mengambil bahagian dalam pelbagai aksi mogok dan ketidakpatuhan sivil (CDM).

Terdapatnya seruan untuk memberi tekanan yang lebih hebat kepada kerajaan tentera Myanmar di peringkat antarabangsa, antaranya memutuskan sumber dana kepada kerajaan tentera Myanmar, seperti pendapatan daripada hasil minyak dan gas, serta menyekat kerajaan tentera Myanmar daripada mendapatkan bekalan senjata.

Di Malaysia, walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pernah mengeluarkan kenyataan yang menyeru pada pimpinan tentera Myanmar untuk menukar haluannya dan mencari solusi secara aman, di samping menyokong cadangan Presiden Indonesia Joko Widodo untuk mengadakan satu persidangan kemuncak kecemasan ASEAN untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi ini adalah tidak mencukupi. Kerajaan negara ASEAN, termasuk Malaysia, harus mengambil tindakan yang lebih tegas untuk membantah rampasan kuasa tentera di Myanmar.

Antara tindakan tegas yang boleh diambil ialah menggantungkan keahlian Myanmar dalam ASEAN sehingga kerajaan orang awam yang demokratik dipulihkan di negara itu, di samping memutuskan segala kerjasama ketenteraan dan ekonomi dengan Myanmar. Adalah amat mengecewakan dunia apabila Kerajaan Malaysia masih berdegil untuk menghantar pulang warga migran dari Myanmar dengan menggunakan kapal perang Tentera Laut Myanmar baru-baru ini selepas berlakunya rampasan kuasa tentera.

Syarikat-syarikat dari Malaysia yang mempunyai pelaburan di Myanmar, khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, juga harus menggantungkan atau menarik balik semua pelaburan mereka di Myanmar sehingga kerajaan yang demokratik dipulihkan di negara itu.

Perjuangan rakyat Myanmar untuk demokrasi merupakan sebahagian daripada perjuangan masyarakat sedunia untuk pembebasan dan berkaitan rapat dengan nasib rakyat di rantau Asia Tenggara yang inginkan kesejahteraan yang berkekalan. Kita harus bersolidariti dengan perjuangan demokrasi Myanmar sehingga rakyat Myanmar berjaya membebaskan diri daripada segala cengkaman kekuasaan tentera yang anti-demokratik.

One thought on “Myanmar: Pemerintah tentera menyambut “Hari Angkatan Tentera” dengan pembunuhan besar-besaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *