KUALA LUMPUR – 30 MAC 2021: Beberapa orang aktivis yang menyertai aksi Himpunan Tuntut Undi 18 pada 27 Mac 2021 di hadapan Bangunan Parlimen telah dipanggil untuk menghadirkan diri ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari ini untuk disoal siasat oleh polis.

6 orang aktivis telah hadir ke IPD Dang Wangi pada hari ini untuk diambil keterangan oleh pihak polis. Mereka yang hadir ialah Amir Abdul Hadi (Aktivis Parti MUDA), Sharan Raj (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM), Arveent Kathirtchelvan (Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM), Shazni Munir Mohd Ithnin (Ketua Pemuda AMANAH), Howard Lee (Ketua Pemuda DAP dan ADUN Pasir Pinji), Young Syefura Othman (ADUN Ketari) dan Tian Chua (Naib Presiden PKR). Ada beberapa orang lagi aktivis yang dipanggil untuk disoal siasat akan hadir pada hari yang lain.

Lebih 50 orang turut hadir di hadapan IPD Dang Wangi pada hari ini sebagai tanda solidariti dan memberi sokongan semangat kepada aktivis-aktivis tersebut.  

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ACP Mohamad Zainal bin Haji Abdullah selaku Ketua Polis Daerah Dang Wangi pada 27 Mac 2021 selepas aksi perhimpunan di hadapan Bangunan Parlimen, pihak polis menjalankan siasatan terhadap perhimpunan tersebut dengan menggunakan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (mengadakan perhimpunan tanpa notis), dan Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.

Sharan Raj (yang kedua dari kiri) dan Arveent Kathirtchelvan (yang ketiga dari kiri) semasa hadir di IPD Dang Wangi pada 30 Mac 2021 untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

Arveent Kathirtchelvan, Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM, yang merupakan salah seorang yang hadir untuk memberi keterangan pada hari ini, menegaskan bahawa kita tidak harus dialih perhatian daripada isu yang lebih besar kerana aktivis-aktivis disoal siasat. 3 tuntutan utama yang dibawa oleh anak muda dalam aksi perhimpunan baru-baru ini ialah melaksanakan segera Undi 18, menamatkan darurat dan membuka semula Parlimen untuk persidangan perundangan. “Jangan kita terlalu fokus kepada isu kecil seperti ini (aktivis disoal siasat polis) dan lupa pada perjuangan yang lebih besar (tuntutan gerakan rakyat). Saya menyeru pada rakan-rakan semua supaya turut serta bersama kami bersolidariti untuk memastikan bahawa Undi 18 dilaksanakan pada tahun ini dan bukannya tahun depan,” kata Arveent.

“Anak-anak muda telah dipinggirkan daripada arus politik utama, dan Undi 18 akan membawa mereka kembali semula ke dalam arus politik. Kami di PSM menyeru pada semua rakyat Malaysia untuk terus bersolidariti demi mendesak pelaksanaan Undi 18 dalam tahun ini,” kata Sharan Raj, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang juga dipanggil untuk disoal siasat.

Satu aksi perhimpunan telah diadakan di hadapan Bangunan Parlimen pada 27 Mac 2021, untuk menyatakan bantahan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18. Penangguhan pelaksanaan Undi 18 sehingga bulan September 2022 telah mencetuskan ketidakpuasan hati daripada pelbagai pihak, termasuk ramai dalam kalangan anak muda yang sudah lama menunggu pelaksanaannya. Aksi perhimpunan tersebut telah mengemukakan tuntutan untuk menggesa pelaksanaan penurunan umur mengundi ke 18 tahun selewat-lewatnya bulan Julai 2021, di samping menamatkan darurat dan membenarkan Parlimen untuk bersidang semula.

Tindakan pihak polis menyiasat aktivis-aktivis yang terlibat dalam aksi perhimpunan aman yang memperjuangkan ruang demokrasi ini, merupakan satu intimidasi yang mencabuli hak untuk kebebasan berhimpun. Namun, ia tidak akan dapat menyekat anak muda yang inginkan ruang demokrasi yang lebih besar untuk terus beraksi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s