Pihak tentera Myanmar, Tatmadaw yang dipimpin oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, melancarkan rampasan kuasa pada hari ini (1 Februari 2021) untuk menjatuhkan Kerajaan Myanmar yang dipilih secara demokratik. Kaunselor Negara Myanmar (iaitu ketua kerajaan yang sama taraf dengan Perdana Menteri) Aung San Suu Kyi dan pemimpin-pemimpin daripada parti pemerintah, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), telah ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan oleh pihak tentera pada awal pagi 1 Februari 2021.

Pihak tentera Myanmar mengisytihar darurat dan mengumumkan bahawa ia akan mengambilalih pemerintahan negara Myanmar untuk tempoh setahun. Parlimen Myanmar dibubarkan dan Perlembagaan Myanmar yang diluluskan selepas referendum pada tahun 2008 telah digantung.

Kudeta tentera yang terbaru di Myanmar ini, merupakan satu tamparan yang hebat ke atas usaha pendemokrasian di negara Asia Tenggara ini yang telah melalui tempoh pemerintahan kediktatoran tentera yang berpanjangan sejak kemerdekaannya.

Myanmar pernah melalui jalan yang berliku-liku untuk mewujudkan demokrasi. Myanmar mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada tahun 1948. Pihak tentera mula berkuasa sepenuhnya selepas kudeta pada tahun 1962 yang menyaksikan kerajaan pimpinan U Nu digulingkan oleh Jeneral Ne Win. Pemerintahan ketenteraan yang membawa kepada penindasan politik dan kegagalan pengurusan ekonomi pernah mencetuskan gerakan pro-demokrasi yang memuncak ketika kebangkitan rakyat Myanmar pada tahun 1988, tetapi dipatahkan secara kejam oleh pihak tentera dengan ribuan orang dibunuh. Walaupun NLD yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi menang besar dalam pilihanraya umum pada tahun 1990, tetapi pihak tentera enggan menyerahkan kuasa dan terus memerintah dengan menggunakan kekerasan, termasuk cuba mematahkan satu lagi gerakan protes pro-demokrasi yang tercetus pada tahun 2007. Namun begitu, pembaharuan politik yang mendapat persetujuan pihak tentera telah membuka ruang demokrasi sedikit sebanyak di Myanmar. Perlembagaan Myanmar yang diluluskan dalam referendum pada tahun 2008, mewujudkan Perhimpunan Kesatuan, iaitu sebuah parlimen dwidewan, yang merangkumi Dewan Perwakilan Rakyat yang mempunyai 440 kerusi (antaranya 110 kerusi dilantik oleh pihak tentera) dan Dewan Kebangsaan yang mempunyai 224 kerusi (antaranya 56 kerusi dilantik oleh pihak tentera).

NLD yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi menang besar dalam pilihanraya umum tahun 2015 dan menguasai majoriti kerusi dalam kedua-dua dewan Parlimen sehingga ia dapat membentuk kerajaan yang mentadbir negara Myanmar. NLD menang lagi dalam pilihanraya umum yang diadakan pada 8 November 2020, dengan majoriti yang lebih besar lagi, menguasai 258 daripada 440 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat dan 138 daripada 224 kerusi Dewan Kebangsaan. Parti politik yang merupakan proksi kepada pihak tentera, Parti Perpaduan Kesatuan dan Pembangunan (USDP) hanya menang 26 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat dan 7 kerusi Dewan Kebangsaan. Pihak tentera mendakwa bahawa wujudnya penyelewengan dalam proses pilihanraya tersebut, dan ini telah digunakan sebagai alasan untuk melancarkan kudeta yang terbaru.

Walaupun Kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang berkuasa sejak tahun 2016 penuh dengan pelbagai kelemahan dan kepincangan, termasuk kegagalannya dalam membendung penindasan ganas terhadap masyarakat Rohingya di Negeri Rakhine, tetapi tiada apa-apa yang boleh memberi alasan untuk melancarkan kudeta tentera yang menggantikan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dengan pemerintahan kediktatoran tentera.

Peristiwa rampasan kuasa di Myanmar telah mendapat perhatian dunia dan banyak pihak telah mengecam kudeta tentera ini. Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang turut disertai oleh Malaysia, juga harus mengambil pendirian yang tegas berkenaan dengan pergolakan politik di Myanmar ini. ASEAN sepatutnya menggantungkan keanggotaan Myanmar dalam pertubuhan antara kerajaan serantau ini sehingga sebuah kerajaan orang awam yang demokratik dipulihkan di negara itu. Kita tidak harus bertolak ansur dengan mana-mana pemerintahan kediktatoran tentera di rantau Asia Tenggara ini.

3 thoughts on “Myanmar: Kudeta tentera beri tamparan kepada usaha pendemokrasian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *