KUALA LUMPUR – 31 MAC 2021: Masyarakat sivil di Malaysia menyatakan bantahan mereka dengan jelas terhadap keganasan yang dilakukan oleh pemerintah tentera Myanmar ke atas rakyat Myanmar yang berprotes secara aman untuk menuntut demokrasi. Bantahan tersebut telah disampaikan kepada Kedutaan Myanmar pada hari ini melalui penyerahan memorandum yang disokong oleh organisasi-organisasi masyarakat sivil dan komuniti pelarian Myanmar di Malaysia.

Lebih kurang 20 orang daripada pelbagai organisasi telah berhimpun di hadapan Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur pada hari ini, untuk menyerahkan memorandum mengenai peningkatan keganasan terhadap demonstran di Myammar kepada wakil Kedutaan Myanmar di Malaysia. Turut hadir bersama untuk bersolidariti dalam aksi penyerahan memorandum pada hari ini ialah S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi PSM), A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM) dan Charles Santiago (Ahli Parlimen Kawasan Klang).

Memorandum yang diserahkan kepada Kedutaan Myanmar tersebut mengecam rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan kerajaan awam yang dipilih oleh rakyat di Myanmar. “Kami amat bimbang bahawa darurat bertempoh setahun yang diisytihar oleh pihak tentera Myanmar pada 1 Februari 2021 berdasarkan Perkara 417 Perlembagaan (yang digubal oleh pihak tentera Myanmar pada tahun 2008) telah menjadi waran mati untuk ribuan demonstran yang berprotes secara aman di Myanmar. Pada ketika ini, jutaan orang di seluruh negara itu telah menyertai aksi protes yang aman dan bukan-keganasan, sementara kakitangan-kakitangan awam juga menyertai secara sukarela dalam Gerakan Ketidakpatuhan Sivil (CDM) yang merentasi batasan kaum, agama, pendirian politik dan ekonomi. Kebanyakan protes ini adalah dipimpin oleh anak muda yang menentang pemerintahan autoritarian oleh pihak tentera,” begitu katanya memorandum yang ditandatangani oleh 39 buah organisasi ini.

Organisasi-organisasi yang menyokong memorandum yang diserahkan kepada Kedutaan Myanmar di Malaysia pada hari ini, termasuk Milk Tea Alliance Malaysia, North South Initiative (NSI), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Persatuan Agora, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Rohingya Society in Malaysia (RSM), Liberasi, Projek Dialog, Liga Rakyat Demokratik, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Tenaganita, BERSIH 2.0, Pusat KOMAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Kami mengecam tindakan pihak pemerintah tentera yang menggunakan serangan, penahanan sewenang-wenang secara besar-besaran, ugutan, kekerasan yang melampau dan gangguan sebagai respon kepada aksi protes yang aman. Kami percaya bahawa penyalahgunaan kuasa oleh pasukan keselamatan di Myanmar ini boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” tegas memorandum daripada masyarakat sivil Malaysia ini.

Sejak melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, pihak pemerintah tentera Myanmar telah menggunakan keganasan yang melampau untuk mematahkan aksi protes rakyat yang menular di seluruh negara itu, dengan ratusan orang terbunuh dan ribuan orang ditahan sewenang-wenang, termasuk ahli-ahli parti politik Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya, pegawai-pegawai suruhanjaya pilihanraya, aktivis-aktivis politik, anggota-anggota masyarakat sivil, kakitangan-kakitangan awam, wartawan-wartawan, guru-guru dan sebagainya. Menurut laporan oleh Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP), setakat 30 Mac 2021, sebanyak 521 orang telah dibunuh sejak berlakunya rampasan kuasa tentera, dan 2,608 orang telah ditahan. Antara yang ditahan termasuk Aung San Suu Kyi (Kaunselor Negara Myanmar) dan Win Myint (Presiden Myanmar sehingga 1 Februari 2021) yang sedang menghadapi pendakwaan atas pertuduhan yang direka oleh pihak pemerintah tentera.

“Tiada seorang pun patut didakwa kerana mengamalkan kebebasan mereka untuk bersuara dan hak asasi mereka. Untuk menyelesaikan krisis politik pada masa kini, kami menyeru pada Majlis Tentera Myanmar untuk melepaskan kuasa, memulihkan demokrasi, mengembalikan kuasa kepada kerajaan yang sah dan mencari penyelesian politik secara aman yang berjangka panjang demi pembentukan sebuah kesatuan persekutuan yang sebenar di Myanmar,” demikiannya gesaan daripada masyarakat sivil Malaysia.

Organisasi-organisasi masyarakat sivil dan komuniti pelarian Myanmar di Malaysia yang menandatangani memorandum kepada Kedutaan Myanmar pada hari ini, mengemukakan tuntutan-tuntutan berikut kepada Kedutaan Myanmar di Malaysia untuk tindakan segera:

  • Mengecam rampasan kuasa tentera dan mengeluarkan kenyataan awam yang menyatakan bahawa Kedutaan Myanmar di Malaysia memutuskan hubungan dengan pemerintah tentera yang tidak sah.
  • Menyeru pada pihak tentera dan polis di Myanmar supaya menghentikan penggunaan kekerasan yang melampau semasa menyuraikan orang ramai yang berprotes secara aman. Demonstran yang aman harus dibenarkan untuk mengamalkan hak mereka secara bebas dan tanpa ketakutan kehilangan nyawa atau penindasan.
  • Menyeru pembebasan semua tahanan politik dengan segera dan tanpa syarat.
  • Menghentikan kerjasama dengan majlis tentera yang haram, dan menyertai Gerakan Ketidakpatuhan Sivil (CDM) untuk berdiri bersama rakyat Myanmar.
  • Menghubungi secara rasmi “Jawatankuasa Perwakilan Pyidaungsu Hluttaw” (CRPH) untuk membantu dan menyokong warga Myanmar di Malaysia.
  • Menyokong pemulihan demokrasi dan pembentukan sebuah kesatuan persekutuan yang sebenar di Myanmar.
(Dari kiri ke kanan) Nalini Elumalai (aktivis hak asasi manusia), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi PSM) dan Charles Santiago (Ahli Parlimen kawasan Klang) hadir bersolidariti semasa penyerahan memorandam membantah keganasan pemerintah Myanmar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *