(foto: Reuters)

28 Februari 2021 merupakan hari yang paling berdarah di Myanmar selepas berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera pada empat minggu sebelum ini. Menurut maklumat yang diterima oleh Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, seramai 18 orang mati dan ramai lagi yang cedera pada 28 Februari 2021 akibat daripada tindakan keras yang diambil oleh pihak berkuasa Myanmar untuk mematahkan aksi protes membantah kudeta tentera di negara itu.

(Kemaskini 4 Mac 2021: 3 Mac 2021 telah menjadi hari yang paling berdarah di Myanmar dengan 38 orang demonstran dibunuh pada hari itu.)

Protes besar-besaran telah tercetus di seluruh negara Myanmar selepas rampasan kuasa oleh pihak tentera Myanmar berlaku pada 1 Februari 2021. Pihak tentera Myanmar yang dipimpin oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing enggan mengakui kemenangan kedua Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dalam pilihanraya umum yang diadakan pada bulan November 2020, dan bertindak menahan pemimpin-pemimpin daripada NLD, termasuk Presiden Win Myint, Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli parlimen. Pihak tentera juga mengisytihar darurat selama setahun. Rakyat Myanmar yang tidak dapat menerima tindakan memijak ruang demokrasi yang sudah pun agak sempit di Myanmar ini, telah bangkit berprotes untuk menuntut pemulihan kerajaan orang awam dan pembaharuan demokratik. Pihak tentera yang berkuasa cuba menggunakan pelbagai cara untuk mematahkan gelombang protes yang hebat ini, seperti menyekat rangkaian internet dan menggunakan kekerasan terhadap demonstran. Pasukan keselamatan yang dikerahkan untuk mematahkan aksi protes, telah melepaskan tembakan peluru hidup terhadap demonstran.

Walaupun menghadapi tindakan keras daripada pihak berkuasa yang penuh keganasan, rakyat Myanmar daripada pelbagai latar belakang telah menunjukkan ketekadan mereka dalam melawan kudeta dan menegakkan demokrasi di negara yang pernah melalui jalan berliku-liku dalam proses pendemokrasian. Golongan anak muda yang berprotes di jalanan Myanmar mempamerkan semangat generasi muda yang enggan tunduk pada kekuasaan tentera yang sudah lama bermaharajarela di negara itu. Mereka yang berprotes bukan sahaja penyokong NLD, tetapi lebih ramai lagi tidak berpuas hati dengan pihak tentera yang memijak demokrasi.

Golongan pekerja telah memainkan peranan yang penting dalam menggegarkan pemerintahan tentera Myanmar. Ini termasuk pekerja-pekerja di sektor awam. Ramai kakitangan kerajaan, seperti pekerja-pekerja hospital awam, telah mengadakan mogok yang melumpuhkan birokrasi Myanmar, untuk menyatakan kemarahan mereka terhadap pihak tentera yang anti-demokratik.

Masyarakat etnik minoriti juga membantah rampasan kuasa tentera Myanmar, tetapi kebanyakan mereka bukannya hendak menyokong NLD. Selepas NLD pimpinan Aung San Suu Kyi menang dalam pilihanraya umum pada tahun 2015 dan membentuk kerajaan baharu, sebenarnya telah gagal menangani masalah pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak tentera. Malah, Aung San Suu Kyi pernah mempertahankan pihak tentera di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, daripada pertuduhan keganasan terhadap masyarakat Rohingya di Negeri Rakhine. Begitu juga Aung San Suu Kyi dan kerajaan NLD berdiam diri terhadap jenayah keganasan yang dilakukan oleh pihak tentera terhadap masyarakat etnik minoriti lain, seperti Kachin dan Shan.

Namun begitu, ramai dalam kalangan golongan etnik minoriti turut berprotes menentang kerajaan tentera Myanmar, bukan sahaja hendak menamatkan pemerintahan diktator tentera, tetapi hendak menghapuskan segala bentuk kediktatoran. Mereka menuntut pemansuhan Perlembagaan 2008 yang membenarkan pihak tentera untuk terus memainkan peranan utama dalam politik dan menafikan hak masyarakat etnik minoriti untuk menentukan nasib sendiri. Mereka menuntut pembentukan sebuah persekutuan yang demokratik.

(foto: Lynn Bo Bo / EPA)

Perjuangan demokratik di Myanmar bukan sahaja semata-semata bertujuan mengembalikan NLD sebagai kerajaan tanpa membawa apa-apa perubahan yang bermakna kepada kehidupan rakyat Myanmar, termasuk masyarakat yang pelbagai etnik. Ia lebih daripada itu, dan gerakan protes yang sedang menular di Myanmar berpotensi untuk membangunkan alternatif politik yang baharu sekiranya dapat menewaskan kudeta tentera. Namun, ini bukannya sesuatu yang mudah, malah sudah ditunjukkan bahawa pihak tentera sanggup menggunakan keganasan yang dahsyat untuk melenyapkan suara rakyat.

Walau bagaimanapun, rakyat Myanmar telah menunjukkan keberanian dan kesungguhan mereka untuk berdepan dengan rejim tentera yang ganas dan bersedia memperjuangkan demokrasi sejati. Myanmar sedang berada di persimpangan sejarah yang kritikal. Kita harus bersolidariti dan menyokong usaha rakyat Myanmar untuk memperjuangkan demokrasi dan keadilan sosial, demi masa hadapan Asia Tenggara yang lebih baik.

2 thoughts on “Myanmar: Rejim tentera mengganas, rakyat tetap berjuang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *