(Tahun 2021 menandakan ulangtahun ke-150 Revolusi Komun Paris 1871. Rencana khas ini ditulis untuk memperingati peristiwa revolusi hebat yang mendirikan pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia ini.)
Komun Paris (La Commune de Paris) ialah sebuah pemerintahan yang revolusioner dan berbentuk sosialis radikal, yang wujud dari 18 Mac hingga 28 Mei 1871, di bandar Paris, Perancis. Walaupun tempoh kewujudannya yang sangat singkat, Komun Paris sebagai pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia, telah membawa inspirasi yang hebat kepada usaha perjuangan pembebasan masyarakat di peringkat antarabangsa. Karl Marx pernah mengatakan bahawa Komun Paris 1871 “akan diraikan sebagai petanda mulia untuk sebuah masyarakat baharu”.
Pemberontakan yang melahirkan Komun Paris pada tahun 1871, bukan sahaja merupakan usaha perjuangan rakyat yang menyambung proses Revolusi Perancis yang masih belum selesai selepas lebih lapan dekad pada masa itu, malah ia telah membawa proses revolusi ke tahap yang lebih tinggi apabila rakyat biasa mengambilalih kuasa daripada elit kelas pemerintah kapitalis untuk melakukan perubahan demokratik yang menyeluruh ke atas sistem masyarakat.
Apa itu komun?
Komun (commune) ialah sejenis unit pentadbiran tempatan di Perancis yang bersamaan dengan majlis perbandaran atau jawatankuasa kampung di kawasan luar bandar. Ia merupakan peringkat kerajaan yang paling rendah di Perancis pada hari ini. Pada masa kini terdapat lebih 36,000 buah komun di seluruh negara Perancis. Sebelum wujudnya komun, kawasan pentadbiran pada peringkat yang paling rendah di negara Perancis biasanya dibahagikan kepada kawasan gereja tempatan (paroisse). Selepas Revolusi Perancis pada tahun 1789, pentadbiran kawasan tempatan mula digantikan dengan komun.
“Komun Paris” bukannya satu nama yang asing kepada penduduk di Paris. Bandar Paris pernah ditadbir oleh kerajaan tempatan yang digelar “Komun Paris” semasa Revolusi Perancis pada tahun 1789-1795. Komun Paris yang pertama itu ditubuhkan di Hôtel de Ville (iaitu bangunan Dewan Bandaraya Paris), tidak lama selepas peristiwa Penyerbuan Penjara Bastille pada bulan Julai 1789, iaitu peristiwa yang menandakan pencetusan “Revolusi Perancis” yang akhirnya melahirkan negara bangsa Perancis moden.
Jalan berliku-liku Revolusi Perancis
Revolusi Perancis merangkumi siri pergolakan masyarakat yang hebat pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, di mana ia menyaksikan proses peralihan sosio-politik yang penuh dengan liku-liku, daripada sistem pemerintahan raja mutlak feudal kepada sistem raja berperlembagaan dan kemudiannya sistem pemerintahan republik moden yang berlandaskan demokrasi borjuis.
Perkembangan Zaman Kesedaran (Enlightenment) di benua Eropah, khususnya di Perancis, pada abad ke-17 dan ke-18, dengan munculnya tokoh-tokoh pemikir seperti Montesquieu, Voltaire, Jean-Jacques Rousseau, Denis Diderot dan sebagainya, membolehkan pembangunan dan penyebaran idea-idea baharu yang mencabar sistem pemerintahan raja mutlak yang lama di Eropah. Pembangunan ilmu sains dan penemuan teknologi baharu dalam proses pengeluaran ekonomi, mewujudkan asas kebendaan kepada pembangunan pemikiran yang baharu. Pemikiran baharu mengenai hak asasi manusia, kebebasan individu, kesamarataan sosial, toleransi agama, pemisahan kuasa antara Gereja dengan kerajaan pemerintah dan sebagainya, membentuk asas ideologi kepada gerakan politik yang mencabar pemerintahan raja mutlak yang merupakan bentuk pemerintahan kelas yang paling umum dalam masyarakat feudal.
Etats Ketiga (perwakilan golongan rakyat biasa) dalam États-Généraux (dewan perundangan yang terdiri daripada tiga golongan: golongan pendeta, golongan bangsawan dan golongan rakyat biasa) mengumumkan penubuhan Perhimpunan Kebangsaan pada bulan Jun 1789, tetapi diisytiharkan haram oleh Raja Perancis Louis XVI. Perhimpunan Kebangsaan menukar namanya kepada Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan pada bulan Julai 1789. Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan menuntut penggubalan Perlembagaan dan mengehadkan kuasa raja. Raja Louis XVI cuba mengerahkan tentera untuk membubarkan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan. Pada 12 Julai 1789, rakyat Paris berarak dalam jumlah yang besar untuk menyatakan sokongan mereka terhadap Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan dan bertempur dengan tentera upahan Raja Perancis. Pada 14 Julai 1789, massa yang memberontak menyerbu Penjara Bastille yang menjadi lambang kekuasaan monarki. Pada 20 Julai 1789, setiap daerah di dalam bandar Paris memilih 2 orang wakil untuk membentuk “Komun Paris” yang terdiri daripada 120 orang yang kebanyakannya golongan rakyat biasa (Etats Ketiga), dan Komun Paris ini menjadi badan pentadbiran untuk bandar Paris selama beberapa tahun berikutnya.
Pada 4 Ogos 1789, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan mengeluarkan perintah mengenai pemansuhan sistem feudal. Pada 26 Ogos 1789, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan meluluskan Perisytiharan Hak Asasi Manusia dan Warganegara (Déclaration des droits de l’Homme et du citoyen), yang mengemukakan idea-idea hak asasi sejagat seperti “semua orang adalah dilahirkan bebas dan samarata”, kebebasan bersuara, hak untuk melawan penindasan, kedaulatan rakyat dan sebagainya. Revolusi Perancis membawa kepada kejatuhan Ancien Régime (pemerintahan lama), tetapi pembentukan sistem pemerintahan baharu berikutan daripadanya bukan sesuatu yang mudah dan lancar prosesnya.
Pada 5 Oktober 1789, golongan wanita yang tidak berpuas hati dengan masalah harga barang yang tinggi dan kekurangan bekalan makanan, memberontak dan berhimpun di pusat bandar Paris. Perhimpunan tersebut kemudiannya menjadi aksi massa menuntut pembaharuan politik dan pembentukan sistem raja berperlembagaan di Perancis untuk menggantikan sistem raja mutlak. Para demonstran telah menyerbu dan menggeledah gedung senjata di Paris, kemudiannya berarak ke Istana Versailles. Demontran mengepung Istana Versailles dan mengemukakan tuntutan pembaharuan politik mereka kepada Raja Louis XVI yang berada di situ. Pada hari keesokannya, iaitu pada 6 Oktober 1789, Raja Louis XVI, keluarga diraja dan ahli-ahli perwakilan Perhimpunan Kebangsaan yang berada di Versailles telah dipaksa pulang bersama dengan para demonstran ke bandar Paris. Peristiwa tersebut menandakan Raja Perancis kehilangan kuasa mutlaknya dan memulakan era raja berperlembagaan di Perancis.
Perlembagaan bertulis yang pertama untuk Perancis mula berkuatkuasa pada tahun 1791 dan mendirikan sebuah pemerintahan raja berperlembagaan. Namun, pergolakan revolusi di Perancis pada masa itu tidak disenangi oleh negara-negara jirannya yang diperintah oleh kekuasaan raja mutlak. Maharaja Leopold II dari Empayar Suci Rom (yang merupakan abang kepada Marie Antoinette, Ratu Perancis) dan Raja Frederick William II dari Prusia, mengeluarkan “Perisytiharan Pillnitz” pada 27 Ogos 1791 yang menyeru pada kuasa-kuasa besar Eropah untuk mempertahankan Raja Perancis Louis XVI daripada ancaman revolusi, dan memberi amaran kepada golongan revolusioner Perancis supaya menyerahkan semula kuasa kepada Raja Louis. Tindakan ini mencetuskan Perang Revolusi Perancis (1792-1802). Tentera bersekutu yang terdiri daripada Prusia, Austria dan kuasa Eropah yang lain, melancarkan serangan ke atas Perancis.
Oleh sebab golongan kerabat diraja Perancis bersubahat dengan tentera sekutu yang anti-revolusi, maka wujudnya kemuncak gerakan republikan yang menuntut pemansuhan sistem monarki sepenuhnya pada tahun 1792. Pada 10 Ogos 1792, golongan republikan di Paris yang dipimpin oleh pemimpin Jakobin seperti Maximilien Robespierre, Jean-Paul Marat dan Georges Danton, melancarkan pemberontakan yang menjatuhkan pemerintahan raja berperlembagaan Dinasti Bourbon dan menubuhkan Republik Perancis Pertama (1792-1804). Raja Louis XVI dihukum mati pada tahun 1793 atas pertuduhan mengkhianati negara.
Selepas penubuhan Republik Pertama, Konvensyen Kebangsaan (iaitu parlimen Perancis) pada awalnya dikuasai oleh golongan Girodin yang berhaluan kanan-tengah dan mewakili kepentingan kelas borjuasi perniagaan. Namun, oleh sebab kegagalan kerajaan yang dikuasai oleh golongan Girodin dalam menangkis serangan tentera negara luar yang anti-revolusi, warga Paris memberontak sekali lagi pada 31 Mei hingga 2 Jun 1793 untuk menjatuhkan pemerintahan Girodin, dan membolehkan golongan Jakobin mengambilalih kuasa pemerintahan. Pemerintahan “Jawatankuasa Keselamatan Awam” yang diterajui oleh golongan Jakobin pada tahun 1793-1794, juga dikenali sebagai “Pemerintahan Ganas” kerana ramai orang yang didakwa “anti-revolusi” atau “mengkhianati negara” telah dibunuh, termasuk dihukum bunuh dengan gilotin (sejenis alat yang digunakan untuk memenggal kepala). Pemerintahan Jakobin kemudiannya dijatuhkan dalam peristiwa kudeta yang dikenali sebagai “Reaksi Thermidor” pada bulan Julai 1794, di mana pemimpin Jakobin seperti Maximilien Robespierre dan golongan revolusioner yang lain dihukum bunuh oleh golongan Thermidor yang reaksioner. Hampir separuh daripada ahli perwakilan dalam Komun Paris (iaitu kerajaan tempatan Paris pada masa itu) dijatuhkan hukuman mati dan Komun Paris dibubarkan oleh golongan Themidor secara paksaan. Perancis diperintah oleh Directoire (sebuah jawatankuasa 5-anggota) pada tahun 1795-1799, dan dijatuhkan dalam kudeta 18 Brumaire pada tahun 1799 di mana Jeneral Napoleon Bonaparte berjaya merampas kuasa dan melantik dirinya sebagai Konsul Pertama Perancis. Napoleon Bonaparte mengembalikan sistem pemerintahan monarki pada tahun 1804 dengan mengangkat dirinya sebagai Maharaja Perancis dan menubuhkan Empayar Perancis Pertama (1804-1815).
Kerajaan Dinasti Bourbon yang dijatuhkan pada tahun 1792 dipulihkan semula pada tahun 1814 selepas Napoleon Bonaparte dipaksa berundur dari takhta Maharaja berikutan kekalahannya dalam Perang Pakatan Anti-Perancis Keenam (1813-1814). Napoleon Bonaparte berkuasa semula untuk seketika pada tahun 1815, tetapi dijatuhkan lagi selepas kekalahannya dalam Pertempuran Waterloo pada 18 Jun 1815. Pemerintahan monarki Dinasti Bourbon diteruskan sehingga tahun 1830 apabila tercetusnya Revolusi Julai yang menjatuhkan Raja Charles X dan menggantikannya dengan pemerintahan raja berperlembagaan di bawah Dinasti Orléans (yang merupakan cabang kerabat diraja Bourbon yang lebih bersifat liberal). Warga Paris yang sudah menginginkan dan memperjuangkan pembentukan republik menganggap penggantian sebuah pemerintahan dinasti monarki dengan sebuah lagi pemerintahan monarki yang berbeza dinasti itu satu pengkhianatan terhadap revolusi mereka, maka golongan republikan melancarkan satu pemberontakan di Paris pada bulan Jun 1832 tetapi dipatahkan oleh Kerajaan Orléanis.
Pemerintahan Dinasti Orléans yang gagal melaksanaan pembaharuan politik kemudiannya dijatuhkan pula dalam Revolusi Februari pada tahun 1848 yang menubuhkan Republik Perancis Kedua (1848-1852). Walaupun pemerintahan monarki dijatuhkan sekali lagi hasil daripada proses revolusi yang bermula dengan pemberontakan warga Paris, tetapi masyarakat majoriti di kawasan luar bandar Perancis masih kebanyakannya berfahaman monarkis. Pekerja-pekerja Paris pernah memberontak pada 23-26 Jun 1848 dengan tuntutan republikan yang radikal tetapi dipatahkan secara kejam oleh Kerajaan Perancis yang dikuasai oleh golongan liberal. Pemberontakan pekerja Paris pada bulan Jun 1848 yang dipatahkan secara kejam, menandakan Revolusi 1848 yang hebat di Perancis ditewaskan oleh golongan pemerintah kapitalis yang takut pada kuasa pekerja, tetapi ia telah menyediakan asas kepada gerakan pekerja yang lebih hebat selepasnya, termasuklah asas kepada pembentukan Komun Paris pada tahun 1871.
Louis-Napoléon Bonaparte, anak saudara Napoleon Bonaparte, yang dipilih sebagai Presiden Perancis pada bulan Disember 1848, melancarkan kudeta pada bulan Disember 1851 untuk mendirikan pemerintahan kediktatoran tentera. Louis-Napoléon Bonaparte kemudiannya mengangkat dirinya sebagai Maharaja Perancis dengan gelaran Napoleon III pada tahun 1852 dan menubuhkan Empayar Perancis Kedua (1852-1870).
Gerakan pekerja Perancis pada abad ke-19
Pemberontakan rakyat di Paris yang menubuhkan Komun Paris pada tahun 1871, bukannya suatu peristiwa revolusi yang tercetus secara tiba-tiba dan terasing daripada seluruh sejarah perjuangan revolusi Perancis yang berpanjangan dan penuh cabaran. Ia merupakan kemuncak perjuangan rakyat untuk membawa perubahan radikal yang telah berterusan sejak Revolusi Perancis. Rakyat Perancis khususnya warga Paris, yang berpegang pada fahaman republikan yang mendukung idea pembebasan masyarakat daripada saki baki feudalisme, telah berulang kali melakukan pemberontakan tetapi sering dipatahkan oleh golongan berkuasa yang berfahaman konservatif dan monarkis.
Salah satu golongan yang menjadi kuasa penggerak kepada usaha perjuangan revolusioner untuk membentuk sebuah republik demokratik yang sebenar di Perancis, ialah kelas pekerja Perancis yang muncul berikutan perkembangan sistem ekonomi kapitalis di negara Perancis.
Ekonomi kapitalis mula berkembang pesat di Perancis pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, dengan pembangunan kilang-kilang penenun kain yang semakin memusat dan beroperasi dengan mesin, mengeluarkan barangan komoditi pada skala besar-besaran untuk pasaran dalam negara dan luar negara. Bandar-bandar di Perancis turut membangun secara pesat dengan perkembangan ekonomi kapitalis. Sebagai contohnya, pelabuhan Nantes yang berkaitan rapat dengan perdagangan hamba di Afrika dan ekonomi perladangan yang berasaskan perhambaan di tanah jajahan Perancis di rantau Caribbean, telah menyaksikan pembangunan pesat dalam kilang-kilang tekstil yang berfungsi untuk memenuhi perdagagan luar negara yang sedang memperluas pada masa itu. Pembangunan pesat ekonomi kapitalis yang baharu telah meningkatkan jumlah golongan pekerja yang menjual tenaga kerja mereka di kilang-kilang yang terletak di bandar-bandar besar.
Golongan pekerja yang semakin bertambah bilangannya di kawasan bandar, turut terdedah kepada suasana Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18. Ketidakpuasan hati golongan pekerja terhadap keadaan hidup yang susah akibat daripada eksploitasi di bawah sistem ekonomi kapitalis yang baharu muncul itu, telah membawa kepada radikalisasi kelas pekerja dan perjuangan kelas pekerja yang semakin hebat. Kebangkitan pekerja Perancis dalam memperjuangkan nasib mereka mula disaksikan semasa pemberontakan pekerja-pekerja penenun kain (canut) di bandar Lyon pada tahun 1831, 1834 dan 1848. Walaupun pemberontakan pekerja penenun kain di Lyon dipatahkan oleh pihak berkuasa, tetapi peristiwa kebangkitan pekerja ini telah membuka ruang, membawa imaginasi dan memberi inspirasi kepada perjuangan kelas pekerja yang lebih hebat. Pekerja-pekerja di bandar utama seperti Paris, yang semakin terdedah kepada pemikiran yang radikal, mendukung pembentukan sebuah negara republik yang demokratik di mana semua orang dapat menikmati hak yang samarata. Oleh itu, ramai pekerja menyokong gerakan republikan yang radikal. Pada tahun 1848, selepas Revolusi Februari yang mendirikan Republik Perancis Kedua, pekerja-pekerja Paris memberontak pada 23-26 Jun 1848 apabila Kerajaan Perancis pada masa itu merancang untuk menutup Bengkel Nasional (Ateliers Nationaux) yang pada asalnya ditubuhkan untuk menyediakan pekerjaan kepada golongan pengganggur. Walaupun pemberontakan pekerja di Paris pada bulan Jun 1848 dipatahkan secara kejam oleh pihak berkuasa, dengan ribuan orang pekerja dibunuh atau dibuang negeri ke Algeria, tetapi ia meninggalkan warisan sejarah yang penting kepada perjuangan pekerja di Perancis. Golongan pekerja dan penduduk Paris telah mendahului zaman mereka dari segi kesedaran politik dan keinginan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bersifat pembebasan.
Pekerja-pekerja dan golongan kelas menengah bawahan di Paris juga menuntut pemilihan demokratik untuk sebuah majlis perbandaran yang mentadbir bandar Paris. Warga Paris telah dinafikan kerajaan tempatan yang dipilih oleh penduduknya sendiri secara demokratik sejak golongan monarkis menguasai Kerajaan Pusat Perancis. Maharaja Napoleon III tidak mahu membenarkan penduduk Paris yang sering memberontak dan mencabar kekuasaan golongan elit itu mempunyai hak untuk memilih kerajaan tempatan (komun) mereka sendiri.
Gerakan pekerja di Perancis telah dipengaruhi oleh pemikiran Sosialis yang dibawa oleh Internasional Pertama, sebuah pertubuhan antarabangsa yang menggabungkan aliran kiri yang berbeza. Penubuhan Kesatuan Pekerja Antarabangsa, yang juga dikenali sebagai Internasional Pertama, pada tahun 1864 dalam satu perhimpunan pekerja antarabangsa di London, merupakan satu detik sejarah yang penting dalam usaha menyusun perjuangan kelas pekerja di peringkat antarabangsa. Internasional Pertama telah meneruskan garis juang yang diambil oleh inisiatif gerakan pekerja yang sebelum itu, seperti Liga Komunis (1847-1852).
Penubuhan Internasional Pertama merupakan respon kepada kemunculan gelombang perjuangan kelas pekerja yang baharu pada masa itu. Benua Eropah memasuki era kegelapan untuk gerakan pekerja selepas kegagalan gelombang Revolusi 1848, tetapi perjuangan rakyat kembali membara pada tahun 1860-an, dengan munculnya gelombang mogok yang melanda kawasan perlombongan dan sektor perindustrian keluli di Belgium pada tahun 1867, mogok pekerja-pekerja pembinaan di Switzerland pada tahun 1868-1869, dan sebagainya. Internasional Pertama telah digerakkan oleh tokoh pemikir kiri radikal seperti Karl Marx, Friedrich Engels, Mikhail Bakunin dan Louis Auguste Blanqui, di mana mereka juga mempunyai penyokong dalam kalangan penduduk Paris pada ketika itu. Banyak perbahasan telah berlaku dalam Internasional Pertama untuk menggariskan program perjuangan yang lebih jelas dalam usaha perjuangan pembebasan masyarakat. Ini telah memberi dorongan kepada perjuangan yang sedang berlaku pada masa itu. Dengan adanya usaha membina solidariti antara gerakan pekerja di peringkat antarabangsa, perjuangan di sesuatu tempat yang tertentu boleh memberi kekuatan kepada perjuangan di tempat lain dan membentuk perjuangan kelas pekerja untuk melawan sistem kapitalis secara menyeluruh.
Perang Perancis-Prusia dan Pengepungan Paris
Usaha penyatuan negeri-negeri Jerman oleh Kerajaan Prusia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Otto von Bismarck pada tahun 1860-an, telah menjejaskan hasrat Kerajaan Perancis untuk memulihkan kedudukan dominasi kuasanya di benua Eropah. Pertembungan antara dua kuasa besar Eropah ini mencetuskan Perang Perancis-Prusia (1870-1871).
Maharaja Perancis Napoleon III mula melancarkan serangan ke atas Prusia pada bulan Julai 1870. Peperangan antara Perancis dengan Prusia ini telah mendapat sokongan daripada kebanyakan rakyat Perancis, termasuk penduduk Paris, dengan penularan sentimen patriotik yang hebat dalam kalangan rakyat Perancis pada ketika itu. Di bawah pengaruh semangat patriotik Perancis yang kuat, nampaknya warga Paris yang sering memberontak terhadap golongan berkuasa lebih tidak menyukai ancaman Prusia berbanding dengan kekuasaan monarki Perancis.
Namun, tentera Perancis mengalami kekalahan yang teruk di medan perang. Maharaja Napoleon III sendiri ditangkap bersama dengan 100,000 orang askarnya oleh tentera Prusia pada bulan September 1870 di Sedan. Ini menyebabkan warga Paris melancarkan satu pemberontakan untuk menjatuhkan Empayar Perancis Kedua dan menubuhkan Republik Perancis Ketiga (1870-1940). Ahli-ahli Parlimen di Paris yang dipimpin oleh Léon Gambetta menubuhkan sebuah kerajaan sementara yang digelar “Kerajaan Pertahanan Kebangsaan” pada 4 September 1870. Jeneral Louis-Jules Trochu dipilih sebagai Presiden Kerajaan Pertahanan Kebangsaan.
Tentera Prusia yang mengalahkan tentera Perancis itu terus mara dengan cepat dan mula mengepung bandar Paris pada 19 September 1870. Tentera Perancis yang ditempatkan di Paris cuba memecahkan pengepungan oleh tentera Prusia tetapi gagal berbuat demikian dengan ramai askar Perancis tumpas dalam pertempuran. Léon Gambetta, Menteri Dalam Negeri untuk Kerajaan Pertahanan Kebangsaan, melarikan diri keluar dari bandar Paris yang dikepung itu melalui belon gas pada 7 Oktober 1870 dengan hasrat untuk mengerahkan tentera Perancis dari tempat yang lain supaya memberi bantuan kepada Paris. Namun, tentera bantuan yang dijanjikan oleh Gambetta tidak pernah sampai ke Paris.
Ramai golongan atasan di Paris yang kebanyakannya merupakan pemilik sebahagian besar kedai dan kilang, telah meninggalkan bandar Paris sebelum ia dikepung oleh tentera Prusia. Yang tinggal di dalam bandar Paris, kebanyakannya ialah golongan menengah dan bawahan yang tidak mampu meninggalkan bandar yang dikepung oleh musuh itu. Mereka telah menyertai “Pengawal Nasional” (Garde nationale), pasukan bersenjata yang amateur dan tidak terlatih, untuk mempertahankan bandar Paris daripada ancaman pencerobohan tentera Prusia. Jumlah Pengawal Nasional di Paris semasa ia dikepung mencecah 300,000 orang, iaitu dua kali ganda bilangannya berbanding tentera profesional yang ditempatkan di Paris pada masa itu.
Penduduk-penduduk Paris menghadapi keadaan yang amat susah ketika pengepungan oleh tentera Prusia. Mereka menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk. Kegagalan Kerajaan Pertahanan Kebangsaan untuk memecahkan pengepungan Paris telah menyebabkan warga Paris semakin tidak berpuas hati dengan kerajaan sementara itu.
Anggota-anggota Pengawal Nasional yang terdiri daripada kebanyakannya penduduk dari kawasan kejiranan kelas pekerja, mengadakan aksi demonstrasi di Paris dan menuntut pilihanraya kerajaan tempatan untuk membolehkan pembentukan sebuah “komun” yang dipilih secara demokratik. Di bawah kepimpinan aktivis gerakan pekerja, seperti Eugène Varlin yang merupakan anggota kepada Internasional Pertama, demonstran di jalanan Paris melaungkan slogan “Vive la Commune!” (Hidup Komun!)
Apabila berita mengenai tentera Perancis yang dikepung oleh tentera Prusia di Metz menyerah kalah sampai di Paris, golongan revolusioner di Paris seperti Louis Auguste Blanqui, Félix Pyat dan Louis Charles Delescluze, menyeru untuk mengadakan aksi demonstrasi di hadapan Hôtel de Ville (Dewan Bandaraya Paris) pada 31 Oktober 1870, dengan mengemukakan tuntutan yang mendesak perletakan jawatan Louis-Jules Trochu sebagai ketua kerajaan sementara dan pembentukan komun di Paris. Golongan radikal cuba merampas kuasa dan menubuhkan kerajaan baharu di Hôtel de Ville pada hari itu, tetapi digagalkan oleh unit tentera yang setia kepada Kerajaan Pertahanan Kebangsaan. Pihak berkuasa Paris kemudiannya menganjurkan satu referendum yang bertanya pada pengundi Paris sama ada mereka masih menyokong Kerajaan Pertahanan Kebangsaan atau tidak, dan keputusannya berpihak pada Kerajaan Pertahanan Kebangsaan. Oleh itu, kerajaan sementara selamat di Paris untuk sementara waktu.
Batu api revolusi
Pada 28 Januari 1871, Kerajaan Pertahanan Kebangsaan Perancis menandatangani satu perjanjian gencatan senjata dengan Empayar Jerman yang baharu ditubuhkan pada masa itu. Perjanjian yang menandakan penyerahan kalah Perancis kepada Prusia-Jerman tersebut telah menyebabkan ramai penduduk Paris terasa seolah-olah mereka ditikam dari belakang oleh kerajaan yang sepatut mempertahankan republik baharu mereka.
Kerajaan Pertahanan Kebangsaan kemudian menganjurkan pilihanraya parlimen yang pertama untuk Republik Ketiga pada 8 Februari 1871 di seluruh negara Perancis dalam keadaan semua perhimpunan awam diharamkan. Golongan monarkis yang mendapat sokongan padu daripada pengundi di kawasan luar bandar telah menguasai 396 daripada 638 kerusi dalam Perhimpunan Kebangsaan, dengan golongan Orléanis memperoleh paling banyak kerusi (214). Semua 42 kerusi yang mewakili pengundi di bandar Paris telah dimenangi oleh golongan kiri (38 orang kiri radikal dan 4 orang kiri moderat), yang menyokong peperangan dengan Jerman diteruskan demi mempertahankan bandar Paris daripada jatuh ke dalam tangan musuh.
Adolphe Thiers, seorang ahli politik berhaluan kanan yang berfahaman konservatif, dipilih sebagai Ketua Eksekutif untuk menerajui kerajaan baharu. Penguasaan golongan monarkis dalam kerajaan baharu menimbulkan kegusaran penduduk Paris bahawa Perancis akan kembali kepada pemerintahan monarki sekali lagi selepas begitu banyak kali mereka berjuang untuk membentuk sebuah republik baharu.
Sebagai penyerahan kalah kepada Empayar Jerman, Kerajaan Perancis pimpinan Adolphe Thiers bersetuju untuk melucutkan senjata tenteranya dan membayar ganti rugi kepada Kerajaan Prusia-Jerman. Lebih-lebih lagi, Kerajaan Perancis membenarkan tentera Prusia untuk berarak memasuki bandar Paris, ibu negaranya yang belum lagi berjaya ditawan oleh tentera Prusia selepas pengepungan selama lebih 4 bulan! Ini bagaikan penghinaan kepada penduduk Paris yang telah mempertahankan bandar mereka daripada pencerobohan musuh secara bermati-matian.
Tentera Prusia memasuki bandar Paris pada 1 Mac 1871, tetapi hanya berada di pusat bandar Paris untuk seketika sebelum berundur keluar semula dari Paris. Tindakan Kerajaan Perancis yang membenarkan tentera musuh untuk berarak memasuki bandar Paris ini memang menyebabkan kemarahan hebat rakyat Paris. Tentera Prusia kekal ditempatkan di luar bandar Paris untuk memastikan Kerajaan Perancis menunaikan janji penyerahan kalahnya.
Beberapa hari selepas itu, Kerajaan Perancis pimpinan Thiers mengumumkan bahawa tuan tanah boleh mengutip semula bayaran sewa yang telah digantung semasa pengepungan bandar Paris. Namun, kebanyakan penduduk Paris tidak mempunyai pendapatan untuk membayar sewa kepada pemilik premis daripada golongan atasan yang telah melarikan diri dari Paris semasa bandar itu dikepung musuh dan membiarkan golongan bawahan untuk terus hidup merana di situ. Kerajaan Thiers hendak memulihkan ekonomi kapitalis di bandar Paris, tetapi dengan cara meningkatkan lagi beban hidup rakyat bawahan di Paris yang sudah pun cukup susah selepas pengepungan oleh tentera Prusia selama lebih 4 bulan. Kerajaan Thiers mengumumkan bahawa moratorium pembayaran hutang dibatalkan, di mana semua hutang dalam tempoh 4 bulan semasa pengepungan Paris harus dibayar dengan faedah. Moratorium terhadap penjualan barangan yang dipajak gadai juga dibatalkan. Kerajaan Thiers juga membatalkan upah yang dibayar kepada Pengawal Nasional, kecuali untuk mereka yang boleh membuktikan diri mereka mempunyai keperluan khusus.
Batu api yang akhirnya mencetuskan kebangkitan revolusioner rakyat Paris ialah cubaan Kerajaan Pusat Perancis untuk melucutkan senjata Pengawal Nasional di Paris apabila Thiers mengarahkan tentera untuk mengambilalih meriam-meriam yang disimpan di dalam bandar Paris.
Mungkin pemimpin politik golongan borjuasi atasan seperti Thiers tidak memahami makna simbolik meriam-meriam yang ditempatkan di dalam bandar Paris bagi penduduk-penduduk Paris. Meriam-meriam tersebut bukan sahaja ditempatkan di Paris ketika bandar itu dikepung oleh musuh, malah meriam-meriam ini sebenarnya diperoleh melalui kutipan sumbangan daripada penduduk-penduduk Paris sendiri untuk mempertahankan diri mereka daripada ancaman serangan tentera Prusia. Oleh itu, meriam-meriam di dalam bandar Paris pada masa itu melambangkan segala yang diperjuangkan oleh warga Paris selama beberapa bulan dalam keadaan yang amat susah, dan semestinya mereka tidak akan membiarkan kerajaan yang telah mengkhianati mereka itu terus merampas meriam-meriam ini.
Pemberontakan 18 Mac 1871
Pada 18 Mac 1871, rakyat Paris memberontak sekali lagi…
Pada awal pagi 18 Mac 1871, dua briged tentera Perancis dikerahkan ke bukit Montmartre di mana terletaknya 170 buah meriam yang hendak dirampas oleh Kerajaan Pusat. Pengawal Nasional yang revolusioner enggan membiarkan meriam-meriam itu dirampas begitu sahaja, maka tercetusnya pertempuran dengan tentera kerajaan. Pengawal Nasional berjaya menewaskan pasukan tentera yang hendak merampas meriam-meriam itu, menangkap dua orang pegawai tentera dan kemudiannya membunuh mereka. Terdapatnya askar-aksar daripada tentera Perancis yang enggan melaksanakan arahan merampas meriam, malah berdiri bersama Pengawal Nasional.
Di bawah kepimpinan Jawatankuasa Pusat Pengawal Nasional, golongan pekerja dan warga Paris yang memberontak berjaya menguasai hampir seluruh bandar Paris pada waktu lewat petang 18 Mac 1871.
Dengan seluruh bandar Paris dilanda bara pemberontakan rakyat yang radikal, Kerajaan Thiers terpaksa melarikan diri keluar dari bandar Paris dan memindahkan pusat pemerintahannya ke Versailles yang terletak lebih kurang 17 km ke barat daya dari pusat bandar Paris.
Pada hari keesokannya, bendera merah berkibar dengan megahnya di atas bangunan Hôtel de Ville. Golongan revolusioner di Paris mengibarkan bendera merah, bukannya bendera tiga warna republikan Perancis, kerana inilah bendera yang dikibarkan oleh golongan revolusioner di Perancis pada tahun 1848. Bendera merah melambangkan revolusi sosial yang membawa perubahan radikal dan pembebasan masyarakat yang sebenar.
Dalam proklamasi yang pertamanya kepada seluruh rakyat Paris, Jawatankuasa Pusat Pengawal Nasional menyatakan bahawa,
“Rakyat Paris telah melepaskan diri daripada belenggu yang cuba dikenakan oleh orang lain ke atas mereka.
Bertenang dan yakin pada kekuatan mereka, mereka menunggu tanpa ketakutan atau provokasi orang-orang gila lagi keji yang hendak mengancam Republik ini.
Kali ini, saudara-saudara kita dalam tentera tidak mahu mencabul kebebasan kita yang paling suci. Kami berterima kasih kepada setiap orang, semoga Paris dan Perancis bersama-sama menyediakan asas untuk sebuah republik diakui semua, satu-satunya kerajaan yang akan menamatkan zaman penaklukan dan perang saudara selama-lamanya.
Darurat telah dicabut.
Rakyat Paris diseru supaya kembali ke kawasan mereka untuk mengadakan pilihanraya komun.
Keselamatan semua warga adalah dijamin oleh Kerjasama Pengawal Nasional.”
Kelahiran pemerintahan proletariat yang pertama
Dengan pemindahan Kerajaan Pusat ke Versailles, wujudnya vakum kuasa pentadbiran di bandar Paris. Oleh itu, golongan revolusioner yang mengambialih bandar Paris memutuskan untuk menubuhkan kerajaan tempatan Paris yang baharu dan menamakannya “Komun Paris”, satu nama untuk kerajaan yang pernah mentadbir bandar Paris ketika zaman Revolusi Perancis lebih kurang lapan dekad sebelum itu.
Jawatankuasa Pusat Pengawal Nasional mengambilalih kuasa pentadbiran Paris selepas pemberontakan pada 18 Mac 1871, tetapi ia berusaha untuk menubuhkan pentadbiran baharu melalui pilihanraya Komun Paris. Jawatankuasa Pusat Pengawal Nasional mengumumkan pemansuhan mahkamah tentera dan memberi pengampunan kepada semua tahanan politik.
Pada 26 Mac 1871, pilihanraya diadakan untuk memilih anggota Majlis Komun. 92 orang telah dipilih sebagai anggota Majlis Komun Paris. Yang menariknya, kebanyakan mereka yang dipilih ke dalam Majlis Komun Paris bukannya ahli-ahli politik yang dikenali ramai sebelum itu. Ramai dalam kalangan anggota Majlis Komun Paris yang dipilih ialah pekerja biasa yang tidak pernah memegang apa-apa jawatan sebagai pentadbir awam sebelum itu. Tanpa dijangkakan oleh golongan pekerja dan rakyat biasa di Paris, mereka menubuhkan pemerintahan proletariat yang pertama di dunia.
Louis Auguste Blanqui yang masih dipenjarakan oleh Kerajaan Perancis pada masa itu, telah dipilih sebagai Presiden Majlis Komun Paris. Blanqui, seorang sosialis radikal yang paling digeruni oleh Kerajaan Perancis pada masa itu, telah ditangkap pada 17 Mac 1871, iaitu sehari sebelum berlakunya pemberontakan yang menubuhkan Komun Paris. Blanqui berada dalam penjara sehingga tahun 1879. Walaupun Blanqui dipilih sebagai Presiden Komun Paris, tetapi beliau tidak terlibat secara langsung dalam Komun Paris kerana Kerajaan Thiers enggan membebaskannya walaupun pihak Komun Paris pernah menawarkan pembebasan semua tahanan penyokong Thiers sebagai pertukaran.
Pada 28 Mac 1871, Komun Paris ditubuhkan secara rasminya. Suasana di bandar Paris begitu aman dan meriah apabila golongan revolusioner radikal mengambilalih kuasa. Paris aman kerana semua golongan penindas telah melarikan diri keluar dari bandar yang akhirnya dikuasai oleh rakyat terbanyak ini. Namun, kerajaan borjuis tidak akan membiarkan perubahan revolusioner ini berterusan. Tentera Prusia Jerman yang masih berada di luar bandar Paris sedang menunggu dan memerhati keadaan untuk melihat sama ada Kerajaan Perancis boleh mematahkan revolusi rakyat ini atau tidak, dengan kebimbangan bahawa ia mungkin menular ke seluruh benua Eropah seperti Revolusi 1848. Kelas pemerintah Eropah memang gementar apabila terdengar rakyat Paris boleh menentukan nasib mereka sendiri melalui penubuhan Komun Paris.
Jawatankuasa Pusat Pengawal Nasional menyerahkan kuasa pentadbiran bandar kepada Majlis Komun, dan kekal sebagai badan “pelindung revolusi”. Dalam mesyuarat pertama Komun, anggota Majlis Komun telah meluluskan cadangan-cadangan yang bertujuan untuk menghancurkan jentera negara yang lama, termasuklah pemansuhan hukuman mati, pemansuhan pengerahan tentera secara paksa dan sebagainya.
Komun Paris disertai dan digerakkan secara aktif oleh golongan revolusioner yang datang daripada pelbagai aliran politik kiri, termasuklah Sosialis Antarabangsa (Sosialis Demokratik, Marxis dan sebagainya), Proudhonis (golongan anarkis yang menyokong idea-idea Pierre-Joseph Proudhon), Blanquis (penyokong fahaman sosialis yang dibawa oleh Blanqui), Republikan Libertarian dan sebagainya.
Terdapat dua kecenderungan fahaman utama yang semakin jelas dalam Komun Paris selepas ia ditubuhkan. Kecenderungan fahaman yang menjadi majoriti, ialah golongan Blanquis dan Neo-Jakobin, yang hendak mewujudkan sebuah kerajaan revolusioner yang lebih bersifat autoritarian supaya ia dapat menghadapi ancaman serangan golongan reaksioner dengan lebih berkesan. Kecenderungan yang menjadi minoriti, ialah golongan Internasionalis dan beberapa aliran sosialis, yang menyokong usaha pelaksanaan dasar-dasar sosial untuk memperbaiki kehidupan pekerja dan membantah idea “kediktatoran revolusioner”. Mereka yang berada dalam minoriti termasuk Gustave Courbet (seorang pelukis terkenal), Jules Vallès (seorang wartawan berhaluan kiri) dan Charles Longuet (seorang anggota Internasional Pertama yang kemudiannya menjadi menantu Karl Marx selepas berkahwin dengan Jenny Caroline Marx, anak sulung Karl Marx, pada tahun 1872).
Majlis Komun telah mengorganisasikan perkhidmatan awam yang penting untuk penduduk Paris, dan memperkenalkan dasar-dasar pemerintahan yang progresif, sekular dan demokratik. Antara program atau dasar yang diperkenalkan oleh Komun Paris termasuk:
- Pemisahan antara gereja dengan pentadbiran negara;
- Pendidikan awam yang percuma;
- Pembubaran tentera tetap dan menggantikannya dengan seluruh rakyat yang bersenjata;
- Pengambilan dan pengagihan semula rumah yang kosong;
- Penghapusan sewa yang dihutang oleh penduduk Paris semasa bandar itu dikepung oleh tentera Prusia;
- Memansuhkan kerja syif malam di kedai roti;
- Membayar pencen kepada teman belum nikah dan anak-anak Pengawal Nasional yang terbunuh dalam peperangan;
- Kedai pajak gadai memulangkan semula peralatan pekerja dan barangan isi rumah yang bernilai hingga 20 franc, yang dipajakkan semasa pengepungan, tanpa mengenakan bayaran;
- Penangguhan pembayaran semula hutang komersial dan penghapusan faedah hutang;
- Pekerja mempunyai hak untuk mengambilalih dan menguruskan perusahaan yang ditinggalkan oleh pemilik yang melarikan diri;
- Melarang majikan daripada mengenakan denda ke atas pekerja;
- Memansuhkan sistem gaji tinggi untuk pegawai kerajaan. Gaji tertinggi untuk ahli jawatankuasa Komun tidak melebihi 6000 franc setahun (bersamaan dengan pendapatan median tahunan untuk pekerja di Paris pada masa itu);
- Anggota Komun dipilih secara demokratik melalui pengundian dan boleh dilucutkan jawatan bila-bila masa.
Langkah-langkah yang diperkenalkan oleh Komun Paris ini bertujuan untuk memenuhi keperluan segera dan memperbaiki keadaan hidup penduduk-penduduk di Paris. Selain menangani masalah keadaan hidup yang susah, Komun Paris juga berusaha untuk menyediakan asas untuk membentuk sebuah republik sosial yang mengutamakan kepentingan kelas pekerja dan rakyat biasa, dengan cara mendemokrasikan struktur organisasi pentadbiran bandar.
Undang-undang pemisahan agama dengan politk, telah menjadikan harta gereja sebagai harta awam, dan pendidikan agama Kristian dikeluarkan daripada kurikulum sekolah. Komun Paris membenarkan gereja menjalankan aktiviti agama, dengan syarat gereja perlu dibuka pada waktu malam untuk orang awam mengadakan perjumpaan politik.
Walau bagaimanapun, banyak dasar yang diumumkan oleh Komun Paris tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ancaman serangan daripada Kerajaan Perancis yang hendak menghancurkan revolusi dan juga tempoh kewujudan Komun Paris yang sangat pendek itu.
Cubaan pembentukan pemerintahan komun di bandar yang lain
Selepas Komun Paris ditubuhkan, kejayaan golongan pekerja dan kelas bawahan membentuk kerajaan sendiri ini memberi rangsangan kepada golongan revolusioner dan sosialis di luar Paris untuk menyebarkan revolusi ini dengan lebih lanjut lagi. Golongan revolusioner dan sosialis di beberapa buah bandar yang lain di Perancis cuba menubuhkan pemerintahan komun mereka sendiri seperti Komun Paris. Komun Paris yang baharu ditubuhkan juga menghantar perwakilan ke bandar-bandar besar di Perancis untuk menggalakkan golongan revolusioner di situ untuk melakukan pemberontakan yang serupa.
Cubaan penubuhan pemerintahan komun telah dilakukan di bandar-bandar seperti Lyon, Saint-Étienne, Le Creusot, Marseille, Toulouse dan Narbonne. Namun, pemerintahan komun yang baharu di bandar-bandar ini hanya bertahan seketika sebelum dipatahkan oleh pihak berkuasa.
Komun di Marseille bertahan paling lama, dari 23 Mac hingga 4 April 1871, menemui kegagalan apabila dipatahkan secara ganas oleh Kerajaan Perancis, dengan 150 orang pemberontak dibunuh dan lebih kurang 900 orang dipenjarakan. Golongan revolusioner di Marseille, seperti Gaston Crémieux, ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati selepas usaha pembentukan Komun Marseille ditumpaskan.
Komun di Lyon, bandar perindustrian yang mempunyai sejarah perjuangan pekerja yang berpanjangan, ditubuhkan pada 22 Mac 1871, tetapi hanya bertahan selama 2 hari sahaja kerana tidak mendapat sokongan daripada kebanyakan Pengawal Nasional di situ yang masih setia pada Kerajaan Pusat. Pekerja-pekerja dan sebahagian Pengawal Nasional yang revolusioner menawan bangunan dewan perbandaran Saint-Étienne pada 24 Mac 1871 dan menuntut penganjuran pungutan suara untuk menubuhkan Komun; namun usaha penubuhan Komun Saint-Étienne digagalkan oleh anggota Pengawal Nasional yang lebih moderat pada 28 Mac 1871. Dewan perbandaran dan gedung senjata di Toulouse diambilalih oleh Pengawal Nasional yang revolusioner pada 24 Mac 1871, tetapi diserahkan semula kepada tentera Perancis tanpa pertempuran pada 27 Mac 1871. Perkara yang lebih kurang serupa turut berlaku di Le Creusot (24-27 Mac 1871) dan Narbonne (23-28 Mac 1871).
Kegagalan pembentukan pemerintahan komun yang revolusioner di bandar-bandar yang lain di Perancis, bermakna Komun Paris diasingkan dan dikepung sepenuhnya oleh kuasa reaksioner yang sanggup menggunakan keganasan hebat untuk melenyapkan kebangkitan revolusioner rakyat.
Melangkaui “keganasan revolusioner”
Pada 6 April 1871, penduduk-penduduk Paris yang menyertai Komun Paris telah menyita gilotin yang disimpan di dalam penjara Paris pada masa itu. Mereka memusnahkan gilotin itu dan membakarnya di hadapan patung Voltaire dengan sorakan orang ramai. Ini merupakan satu tindakan inisiatif golongan akar umbi di Paris, bukannya pertunjukan yang disusun oleh mana-mana ahli politik. Sebelum itu, Majlis Komun yang dipilih oleh rakyat Paris dan dianggotai oleh kebanyakannya rakyat biasa di Paris telah memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati.
Gilotin ialah sejenis alat yang digunakan untuk memenggal kepala seseorang semasa menjalankan hukuman mati. Nama gilotin berasal daripada Joseph-Ignace Guillotin, seorang doktor yang mencadangkan penggunaan alat pemenggal kepala itu untuk menjalankan hukuman mati semasa berlakunya Revolusi Perancis. Walaupun Joseph-Ignace Guillotin bukannya pencipta alat pemancung kepala yang digelar gilotin ini dan dia juga membantah hukuman mati, tetapi namanya telah menjadi eponim yang tidak dapat lagi terpisah dengan alat keganasan ini. Joseph-Ignace Guillotin pernah cuba mencadangkan pemansuhan hukuman mati, dan cadangannya pada 10 Oktober 1789 untuk menggunakan gilotin dalam menjalankan hukuman mati adalah kerana kaedah tersebut kurang menyakitkan.
Gilotin berkaitan rapat dengan politik radikal kerana ia pada asalnya digunakan untuk menjalankan hukuman mati terhadap golongan yang anti-revolusi, termasuklah Raja Louis XVI yang dipancung kepalanya dengan gilotin pada 21 Januari 1793. Apabila kotak pandora kuasa pemusnah gilotin dibuka, ia sukar untuk ditutup semula. Sejak itu, gilotin telah menjadi simbol pemerintahan ganas yang digunakan sama ada oleh golongan revolusioner atau golongan reaksioner untuk mematikan mereka yang dianggap sebagai pengkhianat kepada perjuangan mereka. Bagi golongan Jakobin yang berkuasa pada tahun 1793-1794, “keganasan revolusioner” yang dilambangkan dengan penggunaan gilotin dianggap sebagai satu keperluan untuk menghapuskan musuh revolusi dan memajukan usaha perubahan masyarakat yang radikal. Malah, gilotin dianggap sebagai simbol pembebasan bagi segelintir golongan revolusioner. Namun, penggunaan gilotin yang berleluasa semasa Revolusi Perancis turut meninggalkan trauma yang hebat kepada masyarakat umum.
Dalam keadaan bandar Paris dilanda gelombang revolusi dan musuh-musuh revolusi (kerajaan borjuis Perancis dan tentera Prusia) yang mengepung bandar Paris sedang bersiap sedia untuk menawannya supaya membolehkan sebuah kerajaan yang konservatif terus berkuasa, pemusnahan gilotin menjadi satu tindakan yang agak berani untuk menolak idea bahawa perubahan revolusioner boleh dicapai melalui pembunuhan orang dan “Pemerintahan Ganas”. Melangkaui pemikiran “keganasan revolusioner” ini, merupakan sesuatu yang amat revolusioner.
Tindakan memusnahkan gilotin ini juga menunjukkan kesungguhan massa yang revolusioner untuk menghancurkan jentera negara yang lama. Mereka sedar bahawa revolusi tidak dapat disempurnakan dengan jentera keganasan negara, sebaliknya harus menghancurkan jentera keganasan negara untuk pembebasan yang sebenar.
Revolusi bukannya rakyat yang tertindas membalas dendam terhadap golongan pemerintah yang menindas rakyat, tetapi ia harus lebih daripada itu. Revolusi yang sebenar harus membawa harapan baharu yang bersifat pembebasan, termasuk pembebasan daripada keganasan dan ketakutan terhadap keganasan. Pembebasan masyarakat tidak akan tercapai melalui pengagung-agungan terhadap keganasan negara, termasuklah “keganasan revolusioner” yang ditunjukkan dalam penggunaan gilotin. Revolusi yang sebenar bukannya membunuh beramai-ramai mereka yang dianggap golongan penindas atau penyokong golongan penindas atau golongan anti-revolusi, sebaliknya ia harus dapat membebaskan kedua-dua golongan yang tertindas dan golongan yang menindas dengan mengubah sepenuhnya seluruh sistem yang membenarkan penindasan itu terus berlaku. Revolusi seharusnya membawa makna pembebasan, bukan pembunuhan.
Wanita dalam Komun Paris
Golongan wanita telah memainkan peranan yang penting dalam Komun Paris. Golongan wanita dalam Komun Paris bukan sahaja mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa untuk memastikan operasi harian di bandar Paris, malah juga terlibat dalam membina benteng pertahanan dan mengambil bahagian dalam perjuangan bersenjata. Mereka telah terlibat dalam usaha organisasi pada tahap yang belum pernah dilakukan oleh mereka sebelum itu semasa Komun Paris. Terdapatnya golongan wanita yang menjaga mereka yang cedera, membawa makanan kepada pejuang di barisan hadapan yang termasuk pejuang wanita. Organisasi-organisasi wanita ditubuhkan dan banyak mesyuarat politik diadakan dalam kalangan wanita, dengan tujuan meningkatkan pemberdayaan dan peranan wanita dalam masyarakat.
Golongan wanita dalam Komun Paris telah mengorganisasi gerakan feminis di Paris secara aktifnya. Gerakan feminis ini telah mengetengahkan isu berkaitan dengan hak sosial dan politik wanita pada ketika wanita di Perancis belum lagi mempunyai hak mengundi. Walaupun wanita masih tiada hak mengundi pada ketika Komun Paris ditubuhkan, tetapi golongan wanita telah memainkan peranan yang penting dalam memajukan usaha revolusi Komun Paris. Banyak langkah yang diambil oleh Komun Paris berlandaskan prinsip kesamarataan telah memanfaatkan golongan wanita, seperti elaun kepada kanak-kanak miskin, pendidikan percuma, elaun kepada balu Pengawal Nasional (tanpa perlunya status perkahwinan yang “sah di sisi undang-undang”) dan sebagainya.
Golongan wanita dalam Komun Paris juga menuntut penghapusan perbezaan antara wanita berkahwin dan perempuan simpanan, antara kanak-kanak sah dan tidak sah. Mereka juga menyokong penghapusan pelacuran.
Antara nama revolusioner wanita dalam Komun Paris yang paling terkenal ialah Louise Michel. Louise Michel mengetuai Jawatankuasa Pengawasan Montmartre (Comité de vigilance de Montmartre), salah satu pertubuhan politik yang memainkan peranan yang penting dalam penyelarasan, pentadbiran dan pertahanan setempat semasa Pengepungan Paris dan kemudian ketika wujudnya Komun Paris. Terdapat dua jawatankuasa pengawasan di kawasan Montmartre, iaitu satu dianggotai oleh lelaki dan satu lagi dianggotai oleh wanita, tetapi Louise Michel mengambil bahagian dalam kedua-duanya. Louise Michel mendukung inisiatif feminis dan berpegang kuat pada kepercayaan kesamarataan gender. Louise Michel bersama dengan revolusioner wanita yang lain, telah lantang bersuara mencabar pemikiran prejudis yang masih wujud dalam minda golongan revolusioner lelaki dalam Komun Paris.
Nathalie Lemel, seorang pekerja mengikat buku, bersama dengan Elisabeth Dmitrieff, seorang warga Rusia yang hidup dalam buangan di Paris dan juga anggota Internasional Pertama, telah menubuhkan Kesatuan Wanita untuk Pertahanan Paris dan Penjagaan untuk Orang yang Cedera (Union des femmes pour la défense de Paris et les soins aux blessés) pada 11 April 1871. Atas kepercayaan bahawa perjuangan wanita menentang patriaki hanya boleh berjaya melalui perjuangan menentang kapitalisme, Kesatuan tersebut menuntut kesamarataan gender dan gaji, hak penceraian untuk wanita, hak untuk pendidikan sekular, dan pendidikan profesional untuk perempuan. Kesatuan Wanita ini juga mengambil bahagian dalam beberapa suruhanjaya perbandaran dan menganjurkan bengkel-bengkel koperasi. Nathalie Lemel turut bekerjasama dengan Eugène Varlin dalam menubuhkan restoran koperasi La Marmite, yang menyajikan makanan percuma golongan miskin.
Paule Minck, seorang anggota Internasional Pertama, telah membuka sebuah sekolah percuma di dalam Gereja Saint-Pierre de Montmartre. Anne Jaclard, seorang lagi warga Rusia yang menganggotai Internasional Pertama, bersama-sama dengan André Léo, seorang wartawan yang juga feminis, mengasaskan La Sociale, sebuah suratkhabar yang diterbitkan di dalam Komun Paris. Paule Minck juga menganggotai Jawatankuasa Pengawasan Montmartre bersama-sama dengan Anne Jaclard dan Louise Michel.
Minggu berdarah
Kerajaan konservatif pimpinan Thiers yang melarikan diri ke Versailles, bukan sahaja enggan mengiktiraf Komun Paris sebagai kerajaan yang sah di bandar Paris, malah golongan pemerintah Eropah langsung tidak mahu membenarkan kelas pekerja dan golongan bawahan menentukan nasib mereka sendiri melalui pemerintahan mereka sendiri, kerana pembentukan pemerintahan proletariat akan menggugat kekuasaan kelas pemerintah kapitalis keseluruhannya. Oleh itu, Kerajaan Thiers telah membuat persiapan untuk melakukan serangan ke atas Komun Paris demi menghancurkan kebangkitan revolusioner yang menggegarkan seluruh kelas kapitalis di Eropah ini.
Tentera kerajaan dari Versailles memulakan serangannya ke atas bandar Paris pada 2 April 1871. Komun Paris terpaksa mempertahankan dirinya daripada serangan setiap hari oleh tentera yang dikerahkan oleh Kerajaan Thiers dari seluruh negara Perancis.
Tentera Perancis memasuki Paris pada 21 Mei 1871 untuk menghancurkan Komun Paris. Dalam tempoh seminggu dari 21 hingga 28 Mei 1871, minggu yang dikenali sebagai “semaine sanglante” (Minggu Berdarah), pertempuran sengit telah berlaku di jalanan Paris. Ramai pejuang Komun Paris mati terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan. Ramai orang juga dibunuh sejurus selepas ditangkap oleh tentera Perancis.
Sekurang-kurangnya 20,000 orang anggota Komun Paris mati terkorban dalam Minggu Berdarah akibat daripada tindakan keras Kerajaan Perancis yang sanggup menggunakan segala keganasan melampau untuk mematahkan usaha rakyat Paris mewujudkan pemerintahan kelas pekerja.
Selepas Komun Paris ditumpaskan, lebih kurang 50,000 orang telah ditangkap. Antaranya, hampir 16,000 orang tahanan telah dihadap ke tribunal tentera untuk dibicarakan, dengan hampir seratus orang dihukum mati, dan lebih kurang 7,000 orang dihukum buang negeri, dengan kebanyakannya dibuang negeri ke New Caledonia, tanah jajahan Perancis di Pasifik Selatan.
Golongan revolusioner yang mendirikan Komun Paris tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memperkukuhkan kuasa mereka demi memajukan usaha pembebasan masyarakat. Komun Paris diasingkan kerana penduduk negara Perancis pada masa itu masih majoritinya golongan petani yang dipengaruhi oleh fahaman yang konservatif dan usaha penubuhan komun di bandar-bandar yang lain menemui kegagalan. Tambahan pula dengan serangan dan tindakan keras yang penuh dengan kekejaman daripada kelas pemerintah yang takut pada revolusi kelas pekerja, Komun Paris hanya bertahan selama 72 hari.
Warisan Komun Paris: Perjuangan pembebasan masyarakat yang berterusan
Untuk memperingati revolusi Komun Paris yang dipatahkan secara kejam oleh golongan pemerintah, Eugène Pottier, salah seorang anggota Komun Paris, telah menulis sebuah puisi yang bertajuk “L’Internationale” pada bulan Jun 1871. L’Internationale kemudiannya diolah menjadi lirik lagu perjuangan yang sering dinyanyikan oleh golongan kiri daripada pelbagai aliran di seluruh dunia dalam pelbagai bahasa. Korus asalnya dalam Bahasa Perancis berbunyi begini,,
“Inilah perjuangan terakhir,
Marilah kita berhimpun bersama, dan pada hari esok
Internasionale
Akan jadi kepunyaan umat manusia.”
Walaupun Komun Paris ditewaskan dengan ramai pejuang revolusioner dikorbankan, tetapi peristiwa revolusi yang hebat ini meninggalkan warisan sejarah yang penting kepada gerakan perjuangan masyarakat di seluruh dunia. Terdapat banyak perjuangan revolusioner mendapat inspirasi daripada Komun Paris 1871. Misalnya, soviet (majlis pekerja) yang ditubuhkan semasa Revolusi Rusia pada tahun 1905 dan kemudiannya pada tahun 1917 yang melahirkan negara pekerja pertama di dunia yang bertahan lebih lama daripada Komun Paris; soviet di Hungary pada tahun 1919; komun yang ditubuhkan semasa pemberontakan Parti Komunis China di Guangzhou dan Shanghai pada tahun 1927, dan sebagainya. Sejarah perjuangan rakyat di merata tempat sepanjang 150 tahun yang lalu, menunjukkan bahawa semangat pembebasan masyarakat yang menjadi asas kepada Komun Paris 1871 masih diperlukan untuk kita melawan segala bentuk penindasan kelas.
Komun Paris ialah peristiwa penting dalam sejarah perjuangan kelas pekerja antarabangsa. Komun Paris ialah contoh nyata di mana kelas pekerja mengambilalih kuasa dan mewujudkan pemerintahan proletariat untuk kali yang pertama. Komun Paris merupakan satu eksperimen revolusi sosial-politik yang berjaya walaupun hanya bertahan untuk satu jangka masa yang singkat.
Sistem politik yang diamalkan oleh Komun Paris ialah demokrasi partisipatori dari bawah yang berlandaskan prinsip kesamarataan dan solidariti. Komun Paris telah melangkaui sistem demokrasi berparlimen di bawah kapitalisme, dan mewujudkan demokrasi pekerja di mana rakyat boleh mengambil bahagian secara langsung dalam segala urusan yang menentukan nasib mereka.
Komun Paris telah memberi bayangan tentang sebuah masyarakat yang dibebaskan daripada pemerintahan kapitalis dan menjadi inspirasi kepada usaha perjuangan masyarakat selepasnya. Apa yang cuba dilakukan oleh golongan revolusioner Komun Paris, adalah membina sebuah masyarakat yang baharu, sebuah negara pekerja, di atas keruntuhan negara kapitalis. Komun Paris telah menunjukkan ciri-ciri asas sebuah negara pekerja: tiada birokrasi; tiada tentera yang terpisah daripada rakyat; tiada pegawai tinggi yang mendapat layanan istimewa; pemilihan semua pegawai secara demokratik dan pemecatan jawatan mereka bila-bila masa, dan sebagainya.
Ketika membincangkan pengajaran daripada Komun Paris, Karl Marx pernah menulis, “Kelas pekerja tidak boleh berpuas hati sekadar memegang jentera negara yang sedia ada dan menggunakannya untuk matlamatnya sendiri.” Sebaliknya, revolusi proletariat harus menghancurkan jentera keganasan pemerintahan kelas dan menghapuskan segala birokrasi negara demi mencapai pembebasan masyarakat yang sebenar.
Dengan kapitalisme global yang membiak ketidaksamarataan ekonomi, ketidakjaminan hidup dan ketidakadilan sosial masih bermaharajarela di dunia pada hari ini, perjuangan kelas pekerja dan rakyat bawahan untuk mencapai kebebasan, kesamarataan dan keadilan masyarakat yang sebenar harus diteruskan. Warisan revolusi Komun Paris, seperti juga dengan begitu banyak perjuangan masyarakat hebat yang lain di seluruh dunia, tetap akan menjadi inspirasi kepada kita untuk meneruskan usaha memperjuangkan sebuah masyarakat sejahtera yang benar-benar bebas, demokratik dan saksama.
BACAAN LANJUTAN:
Karl Marx, The Civil War in France, 1871
Prosper-Olivier Lissagaray, History of the Paris Commune of 1871, 1876 (Penterjemahan ke dalam Bahasa Inggeris oleh Eleanor Marx pada tahun 1886)
Alexander Trachtenberg, The Lessons of the Paris Commune, 1934
Florian Grams, A Short History of the Paris Commune, 2021
4 thoughts on “Komun Paris 1871: Pemerintahan kelas pekerja yang pertama di dunia”