(Rencana khas Hari Wanita Antarabangsa 2023)

Tahukah anda?

  • Secara puratanya di dunia, daripada setiap satu dolar yang diperolehi lelaki dalam pendapatan buruh, wanita hanya memperolehi 51 sen. Di negara berpendapatan rendah dan negara berpendapatan sederhana rendah, wanita hanya memperolehi 33 sen dan 29 sen masing-masing berbanding setiap dolar yang diperolehi lelaki; sementara di negara berpendapatan tinggi dan negara berpendapatan sederhana tinggi (di mana Malaysia tergolong dalam kategori ini) pula, pendapatan buruh wanita secara relatif masing-masing hanya 58 sen dan 56 sen berbanding setiap dolar yang diperolehi lelaki. (Sumber: New data shine light on gender gaps in the labour market, ILO brief, Mac 2023)
  • Wanita yang bekerja dalam sektor kesihatan dan penjagaan (yang terbukti sangat penting apabila dunia dilanda pandemik COVID-19 beberapa tahun kebelakangan ini) berpendapatan purata 24% kurang berbanding lelaki yang bekerja dalam sektor yang sama. (Sumber: The gender pay gap in the health and care sector: A global analysis in the time of COVID-19, ILO, 2022)
  • Wanita melakukan kerja rumah dan penjagaan tanpa bayaran 2.5 kali ganda lebih banyak berbanding lelaki. (sumber: Women at Work, Trends 2016, ILO)
  • Golongan wanita di dunia bekerja 12.5 bilion jam setiap hari tanpa dibayar. (sumber: Time to Care: Unpaid and underpaid care work and the global inequality crisis, Oxfam, 2020)
  • 65% mangsa pemerdagangan manusia di seluruh dunia ialah wanita. Lebih 90% mangsa wanita yang dikesan diperdagangkan untuk tujuan eksploitasi seksual. (sumber: Global Report on Trafficking in Persons, 2020, UNODC)
  • Hampir 1/3 wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan seksual atau keganasan fizikal. (Global and regional estimates of violence against women, 2018, WHO)
  • Dalam kalangan 500 syarikat terbesar di dunia (Fortune 500) , hanya 53 orang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat ialah wanita (bersamaan 10.6%) pada tahun 2023, walaupun peratusan ini merupakan rekod tertinggi dalam sejarah dunia korporat selepas bertahun-bertahun kekal pada sekitar 8%.
  • 22 orang lelaki terkaya di dunia lebih kaya daripada semua wanita di Afrika (670 juta orang). (sumber: Time to Care: Unpaid and underpaid care work and the global inequality crisis, Oxfam, 2020)
  • Setakat 19 September 2022, daripada 193 buah negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hanya 13 buah negara mempunyai Ketua Negara wanita (6.7%), dan 15 buah negara ditadbir oleh Ketua Kerajaan wanita (7.8%). Pada kadar pada masa kini, kesamarataan gender dalam jawatan tinggi kuasa negara di dunia tidak akan tercapai dalam tempoh 130 tahun. (Sumber: UN Women)
  • Hanya 21% menteri kerajaan di seluruh dunia (17.86% untuk kabinet Kerajaan Perpaduan di Malaysia pada masa kini) ialah wanita, dengan hanya 14 buah negara mencapai 50% atau lebih wanita dalam kabinet kerajaan. Dengan peningkatan tahunan hanya 0.52 titik peratusan, kesetaraan gender dalam jawatan menteri tidak akan dicapai sebelum tahun 2077. (Sumber: UN Women)
  • Hanya lebih kurang 26% ahli parlimen di dunia (13.51% di Malaysia) adalah wanita pada tahun 2023, walaupun peratusan ini telah meningkat banyak berbanding 11% pada tahun 1995. (Sumber: UN Women)
  • Hampir 90% orang (termasuk lelaki dan wanita) di seluruh dunia mempunyai pandangan prejudis terhadap wanita. (Gender Social Norms Index 2020, UNDP)

Apabila dunia kita semakin maju dari segi pembangunan ekonomi dan kecanggihan teknologi, dengan robot dan kecerdasan buatan (AI) sudah dapat menggantikan manusia untuk melakukan pelbagai perkara, masih wujudnya ketidaksamarataan gender yang ketara, seperti yang ditunjukkan dalam statistik di atas. Walaupun banyak hak wanita telah direalisasikan pada hari ini hasil daripada usaha perjuangan masyarakat yang berterusan, masih terdapat banyaknya penindasan terhadap wanita, keganasan terhadap wanita dan jurang antara gender yang masih besar dalam pelbagai aspek.

Jurang antara lelaki dan wanita, ataupun ketidaksamarataan gender, dari segi politik, ekonomi dan sosial, wujud kerana susunan masyarakat yang bersifat patriarki. Patriarki ialah sistem masyarakat di mana sebahagian daripada golongan lelaki mendominasi kuasa dan menikmati keistimewaan dalam masyarakat.

Seperti masyarakat kelas, patriarki bukannya sesuatu sistem masyarakat yang semula jadi dan sentiasa wujud dalam sejarah manusia di muka bumi. Pernah wujudnya masyarakat matrilineal pada zaman dahulu, khususnya sebelum munculnya masyarakat kelas. Masyarakat matrilineal ialah masyarakat yang menjejak hubungan pertalian saudara mengikut keturunan ibu. Hanya sangat sedikit masyarakat matrilineal masih wujud pada hari ini, di mana salah satu contohnya ialah masyarakat Minangkabau di Nusantara.

Masyarakat matrilineal pada zaman primitif kebanyakannya mengamalkan sistem pemilikan bersama atau pemilikan kolektif ke atas kekayaan masyarakat pada masa itu (walaupun kekayaan masyarakat pada zaman primitif adalah amat sedikit dan terhad kepada kelangsungan hidup komuniti setempat yang kecil kerana kekurangan dari segi peralatan yang masih primitif), maka tidak wujudnya sistem pemilikan harta persendirian. Masyarakat matrilineal juga bukan bermakna wanita itu memegang kuasa yang besar dan mendominasi masyarakat, sebaliknya hanya golongan wanita lebih dihormati dari segi hubungan masyarakat, di mana wanita tidak mempunyai kuasa paksaan ke atas lelaki.

Peralihan daripada masyarakat matrilineal ke masyarakat patriarki, berhubung rapat dengan transisi daripada masyarakat primitif yang tanpa kelas sosial ke masyarakat kelas, yang menyaksikan kemunculan harta milik persendirian dan pembahagian kerja dalam masyarakat berikutan kewujudan lebihan kekayaan ekonomi (surplus) yang datang daripada pembangunan peralatan yang lebih maju. Apabila kelas sosial terbentuk dalam masyarakat pertanian, pemilikan sumber pengeluaran ekonomi dan kekayaan tertumpu dalam tangan segelintir kecil orang (yang diketuai oleh golongan lelaki) melalui sistem pemilikan harta persendirian, bukannya lagi pemilikan kolektif. Dengan kewujudan sistem patriarki dalam masyarakat pertanian, golongan wanita disingkirkan daripada peranan berstatus tinggi dalam masyarakat kerana pembangunan ekonomi pertanian yang menyukarkan mereka untuk mengusahakan tanah, lebih-lebih lagi peranan sosial mereka dihadkan kepada melahirkan anak dalam masyarakat yang dikuasai golongan lelaki. Dengan terbentuknya sistem pemilikan persendirian ke atas harta dan kekayaan masyarakat, adalah menjadi penting untuk mewujudkan sistem sosio-politik yang menjejak talian hubungan saudara mengikut keturunan bapa supaya generasi golongan kelas pemerintah yang seterusnya (biasanya lelaki) dapat mewarisi kuasa dan sumber kekayaan yang dicipta oleh tenaga buruh daripada kelas yang diperintah. Dengan itu, golongan wanita tertakluk kepada kekuasaan lelaki – diperintah, dieksploitasi dan ditindas di bawah sistem patrarki.

Friedrich Engels (1820-1895), seorang tokoh revolusioner sosialis yang terkenal, menulis dalam karyanya “Asal Usul Keluarga, Harta Persendirian dan Negara”, menyifatkan perampasan hak wanita ini sebagai “kekalahan bersejarah bagi jantina perempuan di dunia”.

Patriarki dan kapitalisme berpisah tiada

Kapitalisme yang juga merupakan sejenis masyarakat kelas, telah mewarisi gen sistem patriarki daripada masyarakat kelas sebelumnya, malah memperhalusinya untuk pengukuhan kuasa kelas kapitalis dalam dunia moden.

Di bawah sistem kapitalis, golongan wanita terus menghadapi penindasan daripada pelbagai aspek. Dalam bidang politik, golongan wanita terus disekat daripada memegang kuasa politik dalam sfera awam kerana peranan mereka dihadkan kepada sfera domestik, iaitu hanya dalam keluarga. Penyertaan politik wanita pada hari ini ialah hasil perjuangan untuk meningkatkan penglibatan politik wanita selama dua abad yang lalu.

Dalam dunia pekerjaan dan bidang ekonomi, wanita kelas pekerja menjadi sebahagian penting dalam tenaga buruh yang mengeluarkan kekayaan masyarakat tetapi menerima upah yang lebih rendah berbanding pekerja lelaki. Ini bukannya perkara yang hanya berlaku pada abad ke-19 semasa Revolusi Perindustrian, tetapi masih wujud di banyak tempat di seluruh dunia pada hari ini, seperti yang ditunjukkan dalam laporan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada bulan Mac 2023.

Selain melakukan “perburuhan produktif” yang mengeluarkan barangan untuk menjana keuntungan bagi kapitalis dan dibayar dengan gaji yang tidak setimpal dengan buruh yang ditaburkan, banyak wanita kelas pekerja juga perlu memikul beban “peranan gender” yang dipaksakan ke atas mereka untuk melakukan “buruh tidak produktif” (tetapi penting kepada pengeluaran kekayaan masyarakat dan pengeluaran semula hubungan sosio-ekonomi kapitalis) yang tidak dibayar ganjaran oleh kelas kapitalis, seperti melahirkan anak yang bertujuan untuk menambahkan bilangan tenaga buruh yang dapat mengeluarkan kekayaan masyarakat, dan melakukan kerja rumah tangga yang memastikan kelangsungan hidup kelas pekerja untuk terus bekerja walaupun dengan gaji rendah.

Sistem patriarki telah memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan kapitalisme pada zaman moden. Ideologi patriarki berfungsi untuk mengekalkan “keharmonian” dalam keluarga nuklear dan masyarakat kelas moden yang berlandaskan binari gender. Kelas pemerintah dalam sistem kapitalis perlu memastikan kewujudan peranan reproduktif wanita yang dikawal rapi dan binari gender yang tegar, termasuk dalam kalangan kelas pemerintah itu sendiri, supaya kekayaan yang dikumpulkan oleh mereka dalam proses eksploitasi buruh dan penggondolan sumber alam itu dapat diwariskan kepada zuriat mereka. Oleh itu, patriarki ialah satu sistem yang opresif terhadap golongan wanita (tanpa mengira kelas) dan golongan minoriti seksual yang tidak mematuhi ketetapan binari gender.

Ideologi patriarki turut memecah-belahkan atau mengasingkan golongan lelaki dengan golongan wanita, termasuk memberi keistimewaan secara relatif kepada lelaki kelas pekerja untuk mendapatkan sokongan lelaki kelas pekerja terhadap sistem masyarakat kelas dan patriarki yang sedia ada, justeru melemahkan tentangan daripada kelas pekerja dan masyarakat bawahan terhadap sistem kapitalis yang eksploitatif dan opresif.

Kesamarataan gender: Hasil perjuangan pembebasan wanita yang hebat

Mungkin ada orang akan berkata, “Bukankah hak wanita telah meningkat dan ketidaksamarataan gender telah berkurang dalam sistem kapitalis pada zaman moden ini?” Ya, memang benar wanita di banyak tempat pada hari ini telah menikmati hak asasi manusia yang lebih banyak berbanding dua abad yang lalu, begitu juga jurang antara gender telah dirapatkan di banyak tempat di seluruh dunia. Namun, keadaan ini wujud bukannya kerana perkembangan semula jadi kapitalisme itu sendiri, sebaliknya ia ialah hasil perjuangan masyarakat yang berterusan dalam menuntut hak wanita, kesamarataan gender dan pembebasan manusia daripada segala bentuk penindasan.

Golongan wanita telah memainkan peranan yang amat penting dalam menggerakkan perjuangan pembebasan masyarakat di seluruh dunia sepanjang zaman moden. Dari Revolusi Perancis dan Revolusi Haiti yang tercetus pada penghujung abad ke-18, sehingga Revolusi Komun Paris 1871, Revolusi Rusia 1917, gelombang gerakan pembebasan nasional yang hebat di negara-negara Dunia Ketiga pada abad ke-20 dan pelbagai gerakan massa yang memperjuangkan demokrasi serta keadilan sosial pada abad ke-21, golongan wanita bukan sahaja tidak pernah “ponteng”, malah menerajui perjuangan-perjuangan yang hebat ini dalam barisan terdepan.

Hak wanita untuk mengundi, peningkatan perwakilan wanita dalam proses politik, cuti bersalin, hak wanita untuk bercerai dan pelbagai lagi hak wanita yang kita anggap sebagai sesuatu yang biasa pada hari ini, semuanya bukan jatuh dari langit ataupun kurniaan daripada kelas pemerintah (kebanyakannya lelaki) yang tiba-tiba sedar, sebaliknya adalah daripada perjuangan masyarakat hebat yang disertai oleh rakyat daripada pelbagai gender. Tanpa perjuangan masyarakat, tiadanya pembebasan dan kesamarataan masyarakat.

Dengan masih wujudnya ketidaksamarataan gender dalam banyak aspek (pekerjaan, pengagihan kekayaan, penyertaan politik dan sebagainya), keganasan terhadap wanita, ekploitasi terhadap wanita dan diskriminasi terhadap wanita, adalah penting untuk kita meneruskan usaha memperjuangkan hak wanita dan kesamarataan gender.

Kita perlu pastikan struktur masyarakat itu diubah untuk menuju matlamat pembebasan wanita dan kesamarataan gender. Ini hanya boleh dilakukan dengan peningkatan penyertaan wanita dalam proses politik dan perubahan kepada sistem politik-ekonomi yang sedia ada. Adalah tidak mencukupi dengan sekadar meningkatkan perwakilan wanita dalam Parlimen atau posisi kerajaan secara kuantitatif, sekiranya wanita yang menjadi perwakilan atau memegang kuasa itu masih terperangkap dalam kerangka ideologi patriarki dan kapitalis. Kita perlu membina kesedaran mengenai perjuangan kelas, kesamarataan gender dan pembebasan wanita dalam kalangan masyarakat untuk membawa perubahan yang sebenar.

Perjuangan untuk hak wanita dan kesamarataan gender bukannya sekadar perjuangan oleh wanita, tetapi harus melibatkan gender yang lain, termasuklah lelaki. Perjuangan pembebasan wanita juga tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan kelas yang melawan kapitalisme. Kita harus sedar tentang kewujudan persilangan dalam penindasan yang dihadapi oleh golongan wanita, dari segi gender, kelas, kaum, keupayaan dan sebagainya; maka perlunya kita membangunkan gerakan perjuangan yang dapat menangani isu-isu yang bersilang ini.

Perjuangan untuk pembebasan wanita dan kesamarataan gender perlu sentiasa bergabung dengan perjuangan kelas; begitu juga dengan gerakan sosialis yang menerajui perjuangan kelas tidak harus memisahkan diri daripada perjuangan untuk pembebasan wanita dan kesamarataan gender.

Hari Wanita Antarabangsa adalah untuk memperingati perjuangan pembebasan wanita yang radikal

Sejak dahulu lagi, perjuangan sosialis tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan pembebasan wanita. Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun berasal daripada gerakan sosialis antarabangsa.

Hari Wanita Antarabangsa bukannya hari yang disambut dengan menghadiahkan bunga kepada wanita sebagai tanda penghargaan terhadap “sumbangan” dan “pengorbanan” mereka kepada masyarakat, tetapi ia merupakan hari untuk memperingati perjuangan pembebasan wanita yang radikal yang membawa kepada pencapaian kesamarataan gender pada hari ini dan juga menginspirasikan kita untuk terus memperjuangkan pembebasan masyarakat yang belum selesai lagi.

Ayuh, marilah kita bersama-sama teruskan perjuangan untuk pembebasan wanita dan kesamarataan gender!

==========

(oleh Choo Chon Kai)

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap dan Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Bacaan lanjut:
Hari Wanita Antarabangsa – satu sejarah ringkas
Perjuangan wanita dan pembebasan masyarakat
Melawan patriarki untuk pembebasan wani
ta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *