KAMPAR: Dua orang petani di Mambang Diawan, Perak, yang sudah lama mengusahakan tanah pertanian, telah didakwa di Mahkamah Majistret Kampar pada 12 Mac 2021 atas pertuduhan aktiviti pertanian yang diusahakan mereka telah menceroboh tanah milik syarikat pemaju hartanah.

Dua orang petani di Mambang Diawan ini ditangkap oleh polis dan ditahan semalaman di lokap Ibupejabat Polis Daerah Kampar pada 28 September 2020, dan dibebaskan dengan jamin polis pada hari keesokannya. Selepas enam bulan berlalu, kedua-dua orang petani tersebut dituduh di Mahkamah Majistret Kampar di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (Pencerobohan Jenayah) berdasarkan aduan pencerobohan tanah yang dibuat oleh oleh Delscon Properties Sdn Bhd. Sekiranya disabit kesalahan di bawah Seksyen ini, mereka boleh dihukum penjara maksimum 6 bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Dua orang petani yang didakwa tersebut mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Petani-petani ini diwakili oleh peguam Bawani KS.

Semasa rayuan untuk ikat jamin mahkamah, peguam Bawani menyatakan kepada Majistret bahawa kes ini berkaitan dengan pertikaian tanah dan petani-petani mempunyai satu perintah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah daripada Mahkamah Majistret Tapah bertarikh 20 Februari 2020, di mana petani-petani mempunyai milikan sebenar ke atas tanah tersebut dan berhak menyimpan milikan itu sehingga ia disingkirkan dengan cara undang-undang, dan apa-apa gangguan terhadap milikannya pada ketika itu adalah ditegah. Ini adalah satu pertikaian sivil dan tidak wajar untuk petani-petani ini dituduh di bawah kesalahan jenayah.

Namun, Majistret Kampar masih meneruskan pertuduhan dan membenarkan ikat jamin wang sebanyak RM2,800 bagi setiap orang petani yang dituduh. Sebutan kes telah ditetapkan pada 26 Mac 2021 untuk pengurusan kes dan penyerahan dokumen daripada pihak pendakwaan.  

(Gambar arkib) Dua orang petani di Mambang Diawan yang ditahan pada 28 September 2020, bersama dengan peguam K. Kunasekaran di luar Ibupejabat Polis Daerah Kampar selepas dibebaskan dengan jamin polis pada 29 September 2020.

Latar belakang kes petani Mambang Diawan

Seramai 10 orang petani dan penternak di kawasan pertanian SMTD, Chenderiang, Perak, telah mengusahakan aktiviti pertanian dan penternakan selama lebih 30 tahun di atas tanah kerajaan.

Kawasan pertanian seluas 90 ekar ini merupakan kawasan bekas lombong.  Selepas operasi perlombongan di kawasan ini diberhentikan, penduduk di sekitar Kampung SMTD dan Mambang Diawan telah membangunkan tanah terbiar ini untuk tujuan pertanian dan penternakan. Sejak awal tahun 1990-an, pelbagai tanaman pertanian telah diusahakan di atas tanah tersebut. Tapak bekas lombong juga telah dijadikan kolam penternakan ikan. Sejak tahun 2010, kebanyakan petani telah mula menanam tanaman kekal seperti kelapa sawit. 

Petani-Petani telah membelanjakan ribuan ringgit untuk membangunkan kawasan ini sehingga ia menjadikan satu kawasan pertanian dan penternakan yang sesuai bagi pengeluaran makanan kegunaan tempatan. Hasil pertanian dan penternakan ikan daripada petani-petani ini dihantar ke pasar-pasar tempatan untuk akses pengguna. Adanya dalam kalangan petani-petani ini pernah membuat permohonan pemilikan ke atas tanah-tanah tersebut daripada Kerajaan Negeri.

Sejak tahun 1990-an, petani-petani ini mempunyai pemilikan dan kawalan terus ke atas tanah tersebut dan menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan dalam suasana yang aman. Petani-petani tidak pernah menerima sebarang gangguan atau ancaman pengusiran paksa daripada mana-mana pihak termasuk pihak Kerajaan Negeri selama ini.

Namun, sejak 23 April 2019, petani-petani ini mula mendapat gangguan daripada syarikat NK Sahabat Taguh Enterprise yang telah memasang besi penghadang dan menghalang petani-petani daripada memasuki kawasan pertanian mereka. Pekerja-pekerja NK Sahabat telah menangkap ikan-ikan dalam kolam dan memotong buah kelapa sawit kepunyaan petani-petani tanpa kebenaran mereka. Petani-petani ini telah mengalami gangguan operasi, kerugian dan kehilangan punca pendapatan sejak pencerobohan itu. Sebanyak 18 aduan polis telah dibuat oleh petani-petani sejak 18 Mei 2019.

Pada 21 Oktober 2019, petani-petani di Mambang Diawan telah membuat satu aduan kepada Mahkamah Majistret Tapah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah, berkaitan dengan satu pertikaian tanah yang menyebabkan pecah keamanan, terhadap Syarikat NK Sahabat Taguh Enterprise. Selepas meneliti semua aduan polis, bukti-bukti gangguan dan pencerobohan oleh Syarikat NK Sahabat tanpa sebarang perintah mahkamah yang sah, maka pada 20 Februari 2020, Mahkamah Majistret Tapah telah memberikan perintah kepada Tiou Song Bong yang mewakili dirinya dan 9 orang petani yang lain, bahawa petani-petani ini  mempunyai milikan sebenar ke atas tanah tersebut dan berhak menyimpan milikan itu sehingga disingkirkan dengan cara undang-undang, dan apa-apa gangguan terhadap milikannya pada ketika itu adalah dilarang.

Pada 20 Februari 2020 juga, petani dan penternak Mambang Diawan, melalui surat peguam, telah memaklumkan dan menyerahkan perintah mahkamah tersebut kepada Syarikat NK Sahabat, Ketua Balai Polis Mambang Diawan dan Ketua Balai Polis Air Kuning. Salinan perintah mahkamah berkenaan juga telah ditampalkan di setiap pintu masuk ke dalam tapak pertanian dan penternakan tersebut.

Akan tetapi, sejak 26 Mei 2020, petani dan penternak mula menerima gangguan daripada pekerja dan ejen syarikat baharu yang menyatakan bahawa tanah tersebut telah dilupuskan kepada Syarikat Delscon Properties Sdn Bhd pada 6 Mei 2020, iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ekoran daripada itu, petani dan penternak Mambang Diawan telah membuat beberapa aduan polis terhadap syarikat Delscon Properties yang telah memotong ibu kunci pagar utama tempat masuk ke dalam tanah tersebut dan tidak membenarkan petani memasuki kawasan pertanian mereka. Setelah gangguan masih berterusan dan tiada sebarang penyelesaian, petani dan penternak Mambang Diawan telah membuat satu lagi aduan kepada Mahkamah Majistret Tapah pada 12 Ogos 2020.

Majistret Tapah telah memberi jawapan kepada aduan tersebut melalui surat bertarikh 19 Ogos 2020 yang menyatakan bahawa Perintah Mahkamah Tapah bertarikh 20 Februari 2020 yang dimeterai di bawah Seksyen 99(6) Kanun Tatacara Jenayah (Aduan Awam No: AD-89-10-10/2019) adalah masih sah dan berkuatkuasa sehinggalah perintah tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Sivil yang mempunyai bidang kuasa terhadap tanah tersebut.

Pada 4 September 2020, orang suruhan daripada syarikat Delscon Properties berkumpul di pintu masuk utama tapak pertanian dan tidak membenarkan petani-petani di situ mengeluarkan hasil pertanian mereka walaupun petani-petani tersebut mempunyai perintah mahkamah. Pada 6 September 2020, petani-petani telah membuat satu lagi aduan polis terhadap syarikat Delscon Properties Sdn Bhd dan pihak polis Mambang Diawan dan IPD Kampar yang mengingkari perintah mahakamah di Ibupejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh. Perkara ini juga telah dibawa kepada perhatian Ketua Polis Negeri Perak, tetapi tiada sebarang penyelesaian, dan kini petani-petani pula dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kampar. 

Pendakwaan terhadap petani dengan tuduhan pencerobohan jenayah ini adalah tidak adil, kerana perkara ini ialah satu pertikaian tanah yang perlu diselesaikan melalui tindakan sivil oleh pihak syarikat Delscon Properties. Petani-petani bercadang membuat surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pendakwaan terhadap mereka ini.

(Gambar arkib) Aktivis-aktivis PSM dan petani-petani menyerahkan surat aduan kepada Ibupejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh. pada 29 September 2020

One thought on “Dua orang petani Mambang Diawan didakwa “menceroboh” tanah pemaju hartanah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *