Mogok besar-besaran di Afrika Selatan pada 7 Oktober 2020 yang melumpuh negara itu, telah mengetengahkan pelbagai isu sosio-ekonomi yang menjejaskan kehidupan kelas pekerja. Demonstrasi telah diadakan di bandar-bandar dan pekan-pekan seluruh negara Afrika Selatan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati golongan pekerja terhadap masalah korupsi, kehilangan kerja, kegagalan kerajaan Afrika Selatan dalam menyediakan perlindungan kepada rakyat ketika pandemik COVID-19, keengganan kerajaan untuk berpegang pada perjanjian gaji yang ditandatanganinya dengan pekerja-pekerja sektor awam, dan sebagainya. Pekerja-pekerja yang menyertai aksi protes telah berarak ke pejabat kerajaan, dewan perundangan provinsi, majlis tempatan dan balai polis untuk menyerahkan memorandum yang mengandungi pelbagai tuntutan pekerja.

Aksi mogok yang bersejarah pada 7 Oktober 2020 ini dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Afrika Selatan (COSATU), dan turut disertai oleh Persekutuan Kesatuan Sekerja Afrika Selatan (SAFTU), Persekutuan Kesatuan Afrika Selatan (FEDUSA) serta organisasi-organisasi masyarakat yang lain. COSATU merupakan gabungan kesatuan sekerja yang terbesar di Afrika Selatan dengan keanggotaannya seramai 1.8 juta orang. COSATU juga merupakan sekutu rapat kepada parti pemerintah Kongres Nasional Afrika (ANC) di mana ia membentuk “Perikatan Triparti” dengan ANC dan Parti Komunis Afrika Selatan (SACP).

Selain membawa isu sosio-ekonomi yang membelenggu golongan pekerja di Afrika Selatan, aksi mogok anjuran COSATU ini juga boleh dianggap sebagai cabaran politik kepada ANC yang memerintah daripada sekutu tradisionalnya.  Dasar-dasar neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan ANC merupakan punca utama masalah yang dihadapi pekerja-pekerja Afrika Selatan pada masa kini. Kerajaan ANC telah bekerjasama secara rapat dengan pemodal besar, untuk melindungi kepentingan golongan kapitalis dan mengalihkan beban krisis ekonomi ke atas bahu golongan pekerja melalui dasar-dasar penjimatan yang melibatkan pengurangan perbelanjaan sosial. Wabak COVID-19 juga menular agak teruk di Afrika Selatan kerana gejala korupsi. Lebih 17,500 orang telah mati kerana wabak COVID-19, termasuk lebih 300 orang pekerja kesihatan.

Di Pretoria, ibu kota pusat pentadbiran negara Afrika Selatan, pekerja-pekerja yang menganggotai COSATU berhimpun di Taman Burgers dan berarak ke pejabat Perbendaharaan Negara yang telah menolak peruntukan dana untuk membiayai peningkatan gaji tahun ini. Kerajaan Afrika Selatan pernah berjanji pada kakitangan awam dalam persetujuan gaji pada tahun 2018 untuk memperuntukkan dana bagi peningkatan gaji, tetapi dana tersebut tidak disalurkan. Memorandum yang diserahkan oleh COSATU juga menuntut penyisatan yang menyeluruh terhadap pemberian tender pada harga berlebihan di mana banyak wang daripada dana COVID-19 disonglap. Dana COVID-19 itu sepatutnya digunakan untuk melindungi kesihatan dan punca pendapatan pekerja semasa pandemik COVID-19.  Para pekerja menggesa untuk menangkap dan mendakwa ahli politik dan peniaga yang terlibat dalam amalan korupsi. COSATU menuntut pada Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa supaya mengeluarkan perintah untuk menyiasat majikan-majikan yang didakwa mencuri daripada Skim Bantuan Pekerja/Majikan Sementara (TERS). Pekerja-pekerja kemudiannya berarak ke Jabatan Buruh untuk menyuarakan tuntutan mereka. Sementara itu, SAFTU menerajui satu lagi perhimpunan yang berasingan di hadapan ibupejabat Kerajaan Pusat Afrika Selatan di Pretoria.

Di Durban, SAFTU memimpin aksi protes di hadapan Pejabat Pelindung Awam dan kemudiannya beralih ke Pejabat Ketua Menteri Provinsi KwaZulu-Natal. COSATU juga mengadakan aksi di hadapan Pejabat Ketua Menteri Provinsi KwaZulu-Natal untuk menyerahkan satu lagi memorandum.

Di Johannesburg, bandar terbesar dan pusat ekonomi Aftika selatan, SAFTU mengadakan aksi demonstrasi di luar bangunan Dewan Perundangan Provinsi Gauteng. COSATU pula menganjurkan satu aksi perarakan ke ibupejabat Majlis Mineral Afrika Selatan, yang kemudiannya disertai oleh demonstran daripada SAFTU.

Penyertaan SAFTU, gabungan kesatuan sekerja kedua besar di Afrika Selatan dengan keanggotaan seramai 800,000 orang, dan FEDUSA yang merupakan gabungan kesatuan sekerja ketiga besar dengan keanggotaan 556,000 orang, dalam aksi mogok anjuran COSATU ini, membuka ruang kepada fasa baru penyatuan kuasa pekerja di negara itu. Kesatuan-kesatuan sekerja daripada aliran yang berbeza berganding bahu tanpa mengira perbezaan ideologi mereka, telah mewujudkan asas untuk perpaduan kelas pekerja yang mampu melawan ancaman pemodal besar dan memperjuangkan pembebasan pekerja.

SAFTU ditubuhkan pada tahun 2017 atas usaha Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Logam Afrika Selatan (NUMSA) yang berpecah keluar daripada COSATU pada tahun 2014 kerana kritikan terbukanya terhadap korupsi Kerajaan ANC pimpinan Jacob Zuma selaku Presiden Afrika Selatan ketika itu. NUMSA juga memainkan peranan dalam menubuhkan sebuah parti politik berhaluan kiri, Parti Pekerja Revolusioner Sosialis (SRWP), yang berazam untuk memperjuangkan sosialisme di Afrika Selatan. NUMSA ialah kesatuan sekerja tunggal yang terbesar di Afrika Selatan dengan keanggotaan seramai 320,000 orang.  

Aksi massa pada 7 Oktober 2020 ini merupakan kali pertama SAFTU dan COSATU bekerjasama atas platform bersama untuk mempertahankan kepentingan kelas pekerja. Oleh itu, ini dianggap sebagai satu aksi buruh yang bersejarah. Penyertaan SAFTU dalam aksi yang dimulakan oleh COSATU, juga merupakan satu isyarat kepada COSATU bahawa tiba masanya untuk memutuskan hubungan sekutunya dengan ANC yang sudah menjelma sebagai sebuah parti yang bersekongkol dengan pemodal besar dan mengamalkan dasar pro-kapitalis. Ini kerana penyatuan kuasa kelas pekerja Afrika Selatan yang sebenar hanya boleh dicapai dengan gabungan kesatuan sekerja terbesar di negara itu bebas daripada pengaruh elit pemerintah yang mengetepikan kepentingan kelas pekerja demi berjinak-jinak dengan pemodal besar.

2 thoughts on “Afrika Selatan: Mogok pekerja ketengah isu korupsi dan kehilangan kerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *