SRWP56627510_1266303476856937_2183739442630492160_n.jpg
(Foto oleh Rafael Stedile)

Sebuah parti berhaluan kiri baru yang berazam untuk membina sosialisme di Afrika Selatan, Parti Pekerja Revolusioner Sosialis (Socialist Revolutionary Workers Party, SRWP), mengadakan kongres pelancarannya pada 4-6 April 2019 di Johannesburg.

Lebih 1,000 orang aktivis dan kadre parti dari seluruh negara Afrika Selatan telah hadir dalam kongres yang bersejarah ini. Turut hadir ialah jemputan antarabangsa dari negara seperti Zambia, Argentina, Brazil, Sweden, Morocco dan Nepal.

Kesamataan, kerja dan tanah” ialah slogan untuk parti kiri radikal yang baru di Afrika Selatan ini. SRWP akan mengambil bahagian dalam pilihanraya umum Afrika Selatan pada 8 Mei 2019 akan datang ini, dengan hasrat merevolusikan politik di negara itu.

SRWP56927320_1266303026856982_6864601617371496448_n.jpg
Delegasi yang hadir dalam Kongres SRWP. (Foto oleh Rafael Stedile)

Penubuhan SRWP diterajui oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Logam Afrika Selatan (National Union of Metalworkers of South Africa, NUMSA). NUMSA merupakan kesatuan sekerja yang terbesar di Afrika Selatan. NUMSA pada asalnya bergabung dalam Kongres Kesatuan Sekerja Afrika Selatan (COSATU), yang membentuk Perikatan Triparti (Tripartite Alliance) bersama dengan Kongres Nasional Afrika (ANC) dan Parti Komunis Afrika Selatan (SACP) untuk menentang apartheid sebelum ini.  Perikatan Triparti dipimpin oleh ANC dan menjadi tunjang kepada pentadbiran Kerajaan ANC. Sejak penghapusan dasar apartheid pada tahun 1994, NUMSA terkenal dalam Perikatan Triparti kerana selalu menyuarakan kritikannya secara terbuka terhadap dasar-dasar Kerajaan ANC yang bermasalah, khususnya dasar penswastaan dan kegagalan Kerajaan ANC dalam membasmi kemiskinan yang berleluasa.

NUMSA pada awalnya menyokong dan berhubung rapat dengan SACP. NUMSA berhenti menyokong Perikatan Triparti dan Kerajaan ANC selepas berlakunya peristiwa pembunuhan beramai-ramai di lombong Marikana pada tahun 2012. Pada 16 Ogos 2012, pasukan elit polis melepaskan tembakan terhadap pekerja-pekerja yang bermogok di Marikana dan membunuh seramai 34 orang pekerja.

NUMSA pernah menyeru pada COSATU dan SACP supaya menarik diri keluar daripada Perikatan Triparti yang dipimpin ANC. NUMSA dipecat daripada COSATU pada tahun 2014 kerana kritikan terbukanya terhadap korupsi Kerajaan pimpinan Jacob Zuma selaku Presiden Afrika Selatan ketika itu. NUMSA juga tidak lagi mengekalkan hubungannya dengan SACP sejak tahun 2013. Selepas memutuskan hubungan dengan Perikatan Triparti yang dipimpin oleh ANC, NUMSA memulakan proses untuk membentuk satu persekutuan kesatuan sekerja bebas yang baru dan juga sebuah parti pekerja radikal yang baru.

Pada tahun 2017, atas usaha NUMSA, Persekutuan Kesatuan Sekerja Afrika Selatan (South African Federation of Trade Unions, SAFTU) dilancarkan dengan keanggotaannya lebih 700,000 orang. Pada bulan April 2018, SAFTU mengadakan mogok nasional yang terbesar untuk tahun-tahun kebelakangan ini di Afrika Selatan, dengan tuntutan untuk undang-undang buruh yang adil dan peningkatan gaji minimum nasional.

Rancangan untuk menubuhkan sebuah parti pekerja baru turut direalisasikan pada tahun 2018, apabila SRWP didaftarkan secara rasminya dengan Suruhanjaya Pilihanraya Afrika Selatan pada bulan September 2018 dan mesyuarat nasional pertamanya diadakan di Johannesburg pada bulan Disember 2018.

Kongres pelancaran SRWP telah memberi penghormatan kepada “Fieldmore” Mapeto Baldwin Langa (1958-2018), seorang anggota NUMSA yang meninggal dunia pada bulan Ogos 2018. Fieldmore ialah seorang pejuang komunis dan internasionalis seumur hidup. Ketika Fieldmore baru berusia 17 tahun, beliau telah menyertai Umkhonto we Sizwe (sayap bersenjata ANC) untuk menentang rejim apartheid. Beliau terpaksa hidup dalam pembuangan dan pulang semula ke Afrika Selatan pada tahun 1994 selepas apartheid dihapuskan, kemudiannya menjadi aktivis NUMSA. Dalam kenyataan SRWP, “Dengan semangat revolusioner Fieldmore Mapeto yang hidup di kalangan kita semua, hari ini kami mengabdikan diri kami kepada jalan perjuangan kelas yang berpanjangan dan berliku-liku, dengan melancarkan Parti Pekerja Revolusioner Sosialis. Kami mengisytihar pada seluruh dunia bahawa kami ialah Sosialis yang komited untuk membina organisasi kelas pekerja yang revolusioner. Kelas yang sedar pada kepentingannya sendiri. Kelas yang akan menjatuhkan parasit kapitalis. Kelas pekerja yang akan mengambilalih kuasa untuk projek membina Sosialisme, di mana tiada lagi manusia akan dieksploitasi oleh orang lain. ”

SRWP56742558_1266303660190252_8802304279357423616_n.jpg
Pengerusi SRWP Irvin Jim berucap dalam Kongres Pelancaran SRWP. (Foto oleh Rafael Stedile)

Penganjur Nasional SRWP, Irvin Jim, yang juga merupakan Setiausaha Agung NUMSA, dalam ucapannya menyentuh tentang perjalanan yang membawa kepada pembentukan SRWP dan kenapa penubuhan parti ini begitu penting di Afrika Selatan hari ini.

Perwakilan yang hadir dalam kongres SRWP telah membincangkan pelbagai isu untuk menggubal platform politik parti, termasuk pendidikan, kesihatan perumahan, kerja dan sebagainya. SRWP akan menggubal platform politik, perlembagaan dan manifesto hasil daripada perbincangan Kongres Pelancaran ini, untuk dibawa kepada debat di kalangan ahli-ahlinya di peringkat akar umbi. SRWP akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang dengan program politik yang membawa visi membina sebuah negara sosialis yang menjamin kesejahteraan untuk semua.

Ketika berucap dalam Kongres Pelancaran SRWP, Presiden NUMSA Andrew Chirwa berkata, “Ini bukannya parti untuk reformasi. Kita adalah serius tentang Revolusi. Kita ini satu parti untuk Sosialisme dan bukan benda lain.”

SRWP telah mengemukakan 5 tuntutan utamanya yang bertujuan untuk merevolusikan Afrika Selatan, iaitu:

  • Transisi kepada tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki secara sosial;
  • Kesihatan berkualiti sebagai hak asasi bukannya keistimewaan;
  • Peluang yang samarata untuk kanak-kanak melalui pendidikan yang bersesuaian dengan masa depan;
  • Tanah perlu dimiliknegarakan, disosialisasikan, didemokrasikan dan dikawal oleh kedua-dua rakyat berkulit hitam dan putih;
  • Kerja yang bermakna untuk rakyat supaya rakyat Afrika Selatan dapat menyumbang kepada kekayaan bersama, dan bukannya kerja yang pada asanya bersifat penghambaan.

Cabaran untuk penglibatan SRWP dalam pilihanraya umum Afrika Selatan akan datang adalah besar kerana ia baru ditubuhkan. SRWP berharap dapat memenangi sebeberapa banyak kerusi, tetapi juga menyatakan dengan jelas bahawa “penglibatan dalam parlimen bukannya destinasi terakhir tetapi hanya taktik untuk mendedahkan batasan demokrasi borjuis di samping menggunakan peluang ini untuk berkomunikasi dengan massa.”

Afrika Selatan sedang menghadapi ancaman xenofobia dengan sesetengah pemimpin kerajaan dan parti berhaluan kanan di negara itu mengeluarkan kenyataan seperti terlalu ramai “orang asing” menduduki katil hospital, merampas kerja orang tempatan dan menyebabkan peningkatan kadar jenayah. Tanggungjawab untuk SRWP yang berpegang pada prinsip internasionalisme adalah menggunakan pengaruhnya dalam gerakan pekerja dan memobilisasi pekerja untuk menentang xenofobia di Afrika Selatan. SRWP juga memikul cabaran besar untuk memperluaskan keahliannya di luar NUMSA dan membentuk barisan bersatu baru yang cukup kuat untuk mencabar kekuasaan kerajaan yang bersifat kapitalis.

One thought on “Afrika Selatan: Parti kiri radikal dilancarkan untuk perjuangkan sosialisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *