(foto: Barcroft Media / Getty Images)

Kerajaan Indonesia pimpinan Presiden Joko Widodo (atau lebih dikenali sebagai Jokowi) telah berdegil untuk memperkenalkan Undang-undang Saput Jagat (Omnibus Law) walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada gerakan pekerja dan masyarakat sivil di negara itu.

Parlimen Indonesia telah meluluskan Undang-undang Omnibus yang dikenali sebagai Undang-undang Cipta Kerja pada 5 Oktober 2020. Penggubalan Undang-undang Omnibus yang penuh kontroversi ini melibatkan pindaan terhadap 79 undang-undang berkaitan dengan sektor penting seperti perburuhan dan percukaian. Kerajaan pimpinan Jokowi mengatakan bahawa Undang-undang Omnibus ini akan menarik pelaburan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi ia hanya merupakan satu pendekatan ekonomi neoliberal yang digunakan oleh elit politik untuk berjinak dengan golongan kapitalis dan korporat multinasional yang bakal membawa impak teruk kepada kesejahteraan rakyat bawahan. Undang-undang Omnibus ini digubal untuk memudahkan golongan kapitalis dan korporat multinasional mengekploitasi pekerja dan menggondol lebih banyak sumber alam di Indonesia.

Oleh itu, banyak pihak telah menyuarakan bantahan terhadap undang-undang yang penuh kontroversi ini. Namun, Undang-undang Omnibus telah diluluskan secara tergesa-gesa tanpa proses perbincangan yang menyeluruh. Kerajaan yang pro-kapitalis langsung tidak mempedulikan bantahan dan kritikan daripada gerakan pekerja dan masyarakat sivil Indonesia.

(Foto: Fakhri Hermansyah / Antara Foto)

Gerakan Buruh Bersama Rakyat (GERBAK) yang menggabungkan kesatuan-kesatuan pekerja dan organisas-organisasi Gerakan rakyat telah bermobilisasi aksi mogok dan protes besar-besar pada 5-8 Oktober 2020. Aksi massa telah diadakan di bandar-bandar utama seperti Jakarta, Bandung, Semarang, Yogjakarta, Bandar Lampung, Palembang, Samarinda dan Makassar.

Pihak berkuasa Indonesia telah menggunakan alasan pencegahan wabak COVID-19 untuk menyekat dan mematahkan aksi-aksi demonstrasi yang melanda seluruh Indonesia ini. Polis menggunakan gas pemedih mata dan Meriam air untuk menyuraikan demonstran. Ratusan orang telah ditahan. Lebih 200 orang ditahan polis di Jakarta.

Di Semarang, pekerja-pekerja dan pelajar-pelajar yang menyertai aksi protes di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jawa Tengah, telah ditangkap dan dipukul. Peguam daripada Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia – Lembaga Bantuan Hukum Semarang (YLBHI-LBH Semarang) turut ditangkap dan dipukul hanya kerana merakamkan keganasan polis. Puluhan demonstran yang ditahan dipaksa untuk menanggal baju dan merangkak di perkarangan ibupejabat Gabenor. Demonstran yang ditahan dikumpulkan secara beramai-ramai dalam bilik tanpa pelitup muka, sesuatu yang agak berbahaya kerana ancaman penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Selain mendapat bantahan daripada gerakan pekerja di dalam negara Indonesia, persekutuan-persekutuan kesatuan sekerja antarabangsa turut menggesa kerajaan Indonesia pimpinan Jokowi untuk menghentikan penggubalan Undang-undang Omnibus. Dalam surat yang ditujukan kepada Presiden Jokowi, Internasional Pekerja-pekerja Pembinaan dan Kayu (Building and Wood Worker’s International, BWI) mengatakan bahawa Undang-undang Omnibus yang kontroversi itu mendahulukan kepentingan dan kehendak pelabur asing berbanding dengan pekerja-pekerja, komuniti-komuniti dan alam sekitar. BWI menyeru pada kerajaan Indonesia untuk memikir semula keutamaan dasarnya dan merunding semula undang-undang itu secara terbuka serta konstruktif dengan kesatuan-kesatuan sekerja.

Sharan Burrow, Setiausaha Agung Konfederasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa (International Trade Union Confederation, ITUC), berkata dalam kenyataannya pada 5 Oktober 2020, “Undang-undang yang meluas dan kompleks ini merupakan satu serangan ke atas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu oleh kerjaaan Indonesia. Ia akan meningkatkan kemiskinan secara hebat dan mendatangkan kemusnahan alam sekitar untuk mengambil hati syarikat-syarikat multinasional.”

“Adalah sangat mengejutkan bahawa pada ketika Indonesia sedang menghadapi ancaman pandemic COVID-19 seperti negara-negara lain, kerajaannya cuba mengganggu kehidupan rakyat lebih lanjut lagi dan merosakkan mata pencarian mereka supaya syarikat-syarikat asing boleh menggondol kekayaan dari negara itu,” kata Sharan Burrow. “Memadamkan hak buruh, mencabut perlindungan alam sekitar, menswastakan elektrik dan peruntukan lain dalam undang-undang itu, termasuk mengenai Pendidikan, akan membawa kesan buruk kepada keluarga dan isi rumah, menghalang peralihan ke tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan harga elektrik,” tambah Burrow, “Menyerahkan kawalan kepada syarikat-syarikat multinasional bukannya cara untuk membina pemulihan dan ketahanan ekonomi yang diperlukan untuk menangani pandemik di negara yang laing terkesan di Asia Timur ini. Kami menyeru pada kerajaan Indonesia untuk menarik balik undang-undang ini, mengadakan perbincangan secara konstruktif dengan kesatuan-kesatuan sekerja Indonesia mengenai sebarang perubahan terhadap peruntukan perburuhan dan tetap berpegang pada SDG Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang disokong oleh kerajaan.”

Gerakan pekerja di Indonesia menegaskan bahawa rakyat Indonesia tidak memerlukan Undang-undang Omnibus yang mengorbankan rakyat untuk menarik pelabur modal. Gerakan pekerja Indonesia menggesa pada Kerajaan Indonesia untuk:

  • Menghentikan semua pemberhentian kerja dan pencabulan hak pekerja semasa pandemic COVID-19;
  • Menghentikan perampasan tanah dan pengusiran terhadap rakyat, di samping melaksanakan Reformasi Agraria yang sebenar;
  • Menghentikan penjenayahan terhadap aktivis dan penindasan terhadap demokrasi;
  • Memansuhkan Undang-Undang Perlombongan Arang Batu dan Mineral yang mengancam rakyat;
  • Meluluskan rang undang-undang yang menjamin hak asasi rakyat, keselamatan setiap orang warganegara, khususnya kumpulan masyarakat yang rentan dan dipinggirkan, seperti Rang Undang-undang Penghapusan Keganasan Seksual, Rang Undang-undang Orang Asal dan Rang Undang-undang Buruh Domestik;
  • Mengoptimumkan sumber-sumber dalam Dewan Perwakilan Rakyat untuk memfokus fungsinya dalam memantau dan merangka belanjawan demi menangani pandemic COVID-19, dan merespon kepada impak krisis ekonomi secara nasional dan sistematik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s