oleh M. Sivaranjani

Parti Sosialis Malaysia (PSM) kecewa dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan yang menyarankan kepada pekerja bahawa “lebih baik kita ada peluang pekerjaan dengan gaji yang rendah daripada tiada kerja”. Kenyataan ini akan memberanikan lagi majikan untuk menekan gaji pekerja padahal pemotongan gaji sudah pun berlaku secara berleluasa sekarang.

PSM mengesa Menteri Sumber Manusia mencari jalan untuk membantu pekerja dalam masa pandemik ini. Walaupun kami sedar tentang kewujudan beberapa bantuan Kerajaan seperti skim subsidi upah dan program pengekalan pekerjaan, tetapi ia hanya untuk jangkamasa yang singkat sahaja. Kadar pengangguran meningkat pada masa pandemik ini. Bagaimana menyelamatkan pekerja daripada kemiskinan?

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengkaji semula dan melaraskan garis kemiskinan dari RM980 kepada RM2208. Ini membuktikan bahawa 40% pekerja yang masih berada di paras menerima gaji minimum (RM1,200) akan jatuh di bawah garis kemiskinan dalam waktu pandemik ini apabila berlakunya pemotongan gaji. Maka Menteri seharusnya mengemukakan cadangan untuk mengemaskini gaji minimum ke paras yang melebihi garis kemiskinan baru, dan bukannya mendesak pekerja untuk menerima gaji yang rendah!

Sehubugan dengan itu, PSM mencadangkan satu Skim Jaminan Pendapatan Asas kepada mereka yang kehilangan punca pendapatan. PSM telah menyerahkan cadangan kami kepada Menteri Sumber Manusia dan juga kepada Perdana Menteri pada bulan Jun dan Julai 2020 yang lalu.

Selain daripada Skim Insurans Pekerjaan (SIP), kami sarankan bayaran RM1000 sebulan kepada pekerja sektor formal dan tidak formal yang hilang kerja. Bayaran ini hendaklah diteruskan sehingga satu tempoh masa tertentu untuk pendapatan mereka pulih ke paras asal. Ianya mirip dengan konsep Pendapatan Asas Sejagat atau Universal Basic Income (UBI) yang pernah dieksperimen di beberapa negara di dunia, tetapi cadangan kami adalah bantuan bersasar kepada golongan B40 sahaja yang kehilangan punca pendapatan. Bantuan tunai secara langsung ini (daripada perlaksanaan UBI) terbukti mendorong pekerja kembali ke arena pekerjaan lebih cepat kerana bantuan asas ini membantu mereka membayar kos hidup sehingga mereka dapat kerja semula.

Pekerja yang tidak menerima apa jua bantuan pula kebanyakannya akan mengalami tekanan mental akibat desakan bayaran rumah, pinjaman, pendidikan kanak-kanak, bil-bil utiliti dan sebagainya. Dalam keadaan terdesak, mereka akan terjunam dalam perangkap pinjaman ah long. Ada juga yang terfikir untuk membunuh diri kerana merasakan tiada jalan keluar kecuali mengambil nyawa sendiri.

Oleh yang demikian, PSM menyeru agar Kerajaan mengusahakan skim-skim yang dapat membantu pekerja, bukannya memberikan dorongan secara tidak langsung kepada majikan untuk menindas pekerja dengan gaji yang rendah.

==========

M. Sivaranjani ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

One thought on “Tanggungjawab Menteri bukannya suruh pekerja terima gaji rendah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *