202007811-117388751_811632626245345_6475171894464118471_o

Gelombang protes pro-demokrasi besar-besaran di Thailand yang diterajui oleh golongan anak muda yang mendahagakan perubahan sebenar telah berterusan sejak 18 Julai 2020, selepas tergendala untuk beberapa bulan kerana penularan wabak COVID-19. Tiga tuntutan utama gerakan protes terbaru ini ialah:

  1. Membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya yang baru;
  2. Menghentikan gangguan terhadap rakyat yang mengkritik kerajaan;
  3. Menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan perlembagaan bersifat autoritarian sekarang yang dibuat oleh rejim pemerintahan tentera pada tahun 2016.

Perhimpunan yang disertai oleh lebih 3,000 orang yang kebanyakannya pelajar pada 10 Ogos 2020 di kampus Rangsit, Universiti Thammasat, yang terletak di wilayah Pathum Thani yang bersebelahan dengan bandaraya Bangkok, merupakan aksi massa yang terbesar sejak sebulan yang lalu. Perkara yang agak luar biasa mengenai protes ini adalah organisasi pelajar Thailand yang menganjurkan aksi ini telah mengemukakan tuntutan untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem monarki Thailand yang selama ini menjadi batu penghalang kepada proses pendemokrasian negara itu. Tindakan pelajar yang mengemukakan tuntutan ini boleh dikatakan sesuatu yang agak berani, kerana mereka menanggung risiko dipenjarakan oleh rejim pemerintah yang sering menyalahgunakan undang-undang lèse majesté untuk melenyapkan suara kritikan.

Penganjur kepada aksi perhimpunan di Universiti Thammasat, telah menyampaikan deklarasi mereka yang menyarankan supaya melaksanakan pembaharuan terhadap sistem monarki di Thailand bersesuaian dengan prinsip-prinsip demokrasi. Deklarasi yang digelar “Deklarasi No.1” ini merangkum 10 perkara.

Sebelum ini, cadangan untuk pembaharuan sistem monarki telah pun dikemukakan oleh Anon Nampa, seorang peguam hak asasi manusia di Thailand, dalam satu demonstrasi pada 3 Ogos 2020, di mana dia bercakap tentang peranan yang dimainkan monarki dan masalah politik Thailand yang mendalam. Anon Nampa telah ditangkap pada 8 Ogos 2020 di bawah pertuduhan “menghasut”, tetapi dibebaskan dengan ikat jamin 100,000 baht (bersamaan lebih kurang RM 13,500) pada hari keesokannya dengan syarat dia tidak mengulangi tingkah lakunya yang “menghasut”. Anon Nampa telah tampil dalam satu lagi perhimpunan pada 10 Ogos 2020 di Chiang Mai, dengan ucapan berkenaan mempertimbangkan semula kuasa raja Thailand yang mempengaruhi rakyat negara itu, termasuk meminda undang-undang lèse majesté supaya ia serasi dengan demokrasi.

Selain isu tentang pembaharuan sistem monarki Thailand yang menjadi tumpuan dalam perhimpunan di Universiti Thammasat, mereka yang berucap dalam perhimpunan tersebut turut menyentuh masalah lain seperti hak pekerja, kesamarataan gender dan krisis politik yang sedang menimpa negara Thailand.

20200811-50210309848_7fd74e0261_b
Panusaya Sithijirawattanakul, jurucakap Kesatuan Pelajar Thailand, membacakan Deklarasi Thammasat pada 10 Ogos 2020. (foto daripada Prachatai)

Berikut ialah teks penuh Deklarasi No.1 Thammasat pada 10 Ogos 2020:

Kepada rakyat:

Sejak Parti Rakyat membangkitkan transformasi revolusioner, rakyat Thailand telah mengharapkan bahawa negara kita ini akan menjadi sebuah demokrasi dengan seorang raja sebagai ketua negara yang benar-benar mengatasi politik. Namun, ini tidak berlaku kerana Raja Thailand telah menggunakan kuasanya untuk mencampurtangan dalam politik dari atas. Misalnya, apabila berlaku kudeta yang menjatuhkan sebuah kerajaan yang bangkit daripada proses demokrasi sebenar, Raja Thailand telah menandatangan untuk melantik ketua pemerintahan junta. Ini merupakan sokongan kepada setiap kudeta sebagai sesuatu yang sah di sisi undang-undang.

[Nota Pengarang: Transformasi revolusioner di sini merujuk kepada “Revolusi Siam” pada tahun 1932 yang diterajui oleh Parti Rakyat (Khana Ratsadon) yang menamatkan sistem pemerintahan raja mutlak dan menggantikannya dengan sistem raja berperlembagaan di Thailand.]

Lebih-lebih lagi, Raja Thailand telah mengalihkan tentera dan juga memindahkan sejumlah besar belanjawan negara kepada milikan dirinya sendiri. Baginda pernah menggunakan kekuasaan rakyat di luar undang-undang untuk meminda perlembagaan yang sudah pun diluluskan dalam referendum, untuk membolehkannya duduk di luar negara ini tanpa perlu melantik seorang pemangku raja.  

Ini dapat dilakukan kerana kerajaan kediktatoran berselindung di bawah bayangan Raja Thailand dan terus mempergunakan nama monarki untuk manfaatnya sendiri. Ini boleh dianggap sebagai faedah bersama mereka. Situasi sebegini merupakan musuh kepada prinsip-prinsip demokrasi dengan raja sebagai ketua negara. Tiadanya negara demoratik yang berlakunya perkara sebegini.

Rakyat Thailand berhak untuk tahu bahwa raja negara kita sekarang ini bukannya mengatasi politik. Ini secara konsistennya menjadi punca kepada masalah-masalah politik. Baginda mengabaikan tugasnya sebagai ketua negara yang mengikatnya kepada hati rakyat dan menggunakan cukai rakyat untuk mendapatkan keseronokan dan tinggal di luar negara. Ini berlaku ketika rakyat sedang mengalami kesusahan daripada kemelesetan ekonomi. Baginda juga mempunyai hubungan rapat dengan pemberontak yang melancarkan kudeta untuk menjatuhkan pemerintahan demokratik.

Oleh itu, adalah terbukti bahawa jika tiadanya penyesuaian dilakukan untuk monarki wujud secara bersama dengan institusi rakyat, rakyat sudah pasti akan kehilangan kepercayaan terhadap monarki.

Oleh yang demikian, Fron Bersatu Thammasat dan Demonstrasi mengemukakan tuntutan-tuntutan di bawah untuk menyelesaikan masalah dengan monarki:

  1. Batalkan Perkara 6 Perlembagaan 2017 yang tidak membenarkan sesiapa untuk membuat apa-apa tuduhan terhadap raja. Tambahkan perkara yang membenarkan parlimen untuk menyemak salah laku raja, seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan yang diisytihar oleh Parti Rakyat.
  1. Mansuhkan Perkara 112 Kanun Jenayah, di samping membenarkan rakyat untuk mengamalkan kebebasan bersuara mengenai monarki dan memberi pengampunan kepada semua orang yang telah didakwa kerana mengkritik monarki.
  1. Batalkan Akta Harta Mahkota 2018 dan mewujudkan pembahagian yang jelas antara harta raja di bawah kawalan Kementerian Kewangan dan harta peribadinya.
  1. Kurangkan jumlah belanjawan negara yang diperuntukkan kepada raja bersesuaian dengan keadaan ekonomi negara.
  1. Mansuhkan Pejabat-pejabat Diraja. Unit dengan tugasan yang jelas, misalnya Perintah Keselamatan Diraja, patut dipindahkan dan diletakkan di bawah agensi yang lain. Unit yang tidak perlu, seperti Majlis Privi, patut dibubarkan.
  1. Hentikan semua pemberian dan penerimaan derma oleh dana amal diraja supaya semua aset monarki boleh diaudit.
  1. Hentikan amalan hak istimewa diraja terhadap pernyataan pendapat politik di khalayak umum.
  1. Hentikan semua semua amalan perhubungan awam dan pendidikan yang mengagung-agungkan monarki secara berlebihan dan berat sebelah.
  1. Siasat bukti tentang pembunuhan terhadap mereka yang pernah mengkritik atau mempunyai hubungan dengan monarki.
  1. Raja Thailand tidak harus menyokong apa-apa lagi kudeta.

Tuntutan-tuntutan ini bukannya cadangan untuk menjatuhkan monarki. Ini ialah cadangan jujur yang dibuat untuk monarki supaya dapat terus disanjungi rakyat dalam demokrasi.

Oleh itu, untuk monarki terjamin dalam dunia hari ini, ia tidak harus memegang kuasa berkaitan dengan politik. Ia harus dapat dikawal, diaudit dan dikritik, dan ia harus bukannya beban ke atas rakyat. Dengan itu, ia akan dapat diangkat sebagai monarki yang bermartabat bersesuaian dengan makna demokrasi yang sejagat.

20200811-117372925_10157676040561699_7832779617842439716_o
(foto daripada Prachatai)

6 thoughts on “Thailand: Deklarasi Thammasat saran pembaharuan sistem monarki

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *