20200606 - KSM

Pada 5 Jun 2020, Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengadakan satu mesyuarat dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan di Pejabat Menteri di Putrajaya. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Dato’ Mohd Jeffrey Bin Joakim selaku Pengarah Jabatan Tenaga kerja Semenanjung Malaysia, Puan Gayathri Vadivel selaku Ketua Cawangan Perhidmatan Pekerjaan dari Pejabat Sistem Insuran Pekerjaan, dan Tuan Chandramohan selaku Pegawai Khas kepada Menteri.

PSM diwakili oleh M. Sivaranjani selaku Ketua Biro Pekerja PSM, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Kehormat PSM,  V. Selvam selaku Pegawai Perhubungan Industri Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM), dan Daniel selaku Pegawai Perhubungan Ibupejabat PSM.

Dalam mesyuarat selama satu jam itu, PSM telah mengetengahkan 12 isu pekerja yang timbul sepanjang masa pandemik COVID-19. Antaranya adalah isu potongan gaji, isu pembuangan kerja, Program Subsidi Gaji (WSP) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), pemangsaan terhadap Kesatuan Pekerja-pekerja Pembersihan Hospital Kerajaan, isu perumahan pekerja ladang, isu pekerja asing dan penempatan mereka, isu berkaitan dengan beberapa kes PERKESO dan beberapa polisi Kerajaan sebelum ini. Strategi Nasional untuk Menjamin Kesejahteraan Rakyat Pasca COVID-19 yang disediakan oleh PSM untuk diserahkan kepada Perdana Menteri pada bulan April 2020.

Pemotongan gaji tidak sah

Beberapa isu yang mendapat perhatian serius dan tindakan Menteri adalah Menteri meminta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memastikan pekerja yang dipotong gaji semasa Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu dari 18 hingga 31 Mac 2020, adalah dianggap tidak sah. Beliau juga memberi syor bahawa JTK masih boleh menerima aduan pekerja walaupun setelah pekerja menandatangani persetujuan dengan majikan dengan syarat mereka telah diugut dan diseleweng.

Rujukan kes pemberhentian kerja

Menteri juga memberi jaminan bahawa beliau akan merujuk semua kes ke Mahkamah Perusahaan sepertimana dasar Menteri sebelumnya. Namun, memandangkan terlalu banyak isu pemberhentian, maka beliau akan membentuk satu pasukan petugas (taskforce) untuk cuba menyelesaikan kes-kes di luar mahkamah melalui proses perundingan damai.

Bagaimana pula dengan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967?

Selain itu, Menteri Sumber Manusia juga memberi kepastian bahawa pindaan Akta Perhubungan Perusahaan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu juga akan diwartakan tidak lama lagi. Pindaan yang telah dijayakan oleh mantan Menteri Sumber Manusia Kulasegaran itu amat dialu-alukan oleh PSM kerana ia memberikan pelbagai galakan kepada pembentukan kesatuan sekerja.

Isu perumahan pekerja ladang

Mengenai isu pekerja ladang, Menteri Sumber Manusia meminta satu penyelesaian cepat untuk isu perumahan pekerja ladang yang telah bekerja selama 3-4 generasi di ladang. PSM akan mengemukakan satu kertas cadangan bagaimana isu ini boleh diselesaikan. Mengenai isu penternak di ladang Sime Darby yang diancam pengusiran, Menteri Sumber Manusia akan mengadakan satu mesyuarat dengan pihak Sime Darby untuk menyelesaikan isu ini supaya mereka yang sudahpun lama mengusahakan penternakan dibenarkan untuk terus beroperasi.

Kod Keharmonian Industri

PSM juga menggesa suapay Kod Keharmonian Industri dijadikan sebagai satu undang-undang kawalselia yang disertakan dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 atau Akta Kerja 1955, dan juga meminta Laporan Bebas Pekerja Migran yang disediakan oleh pasukan petugas yang diketuai Bekas Hakim Hishamuddin Yunus dijadikan dokumen umum. Pihak Menteri berkata bahawa akan meneliti dua permintaan ini.

Penindasan terhadap Kesatuan Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Hospital Kerajaan

Selvam turut mengemukakan isu mengenai penindasan terhadap kesatuan pekerja pembersihan hospital kerajaan dan menggesa supaya perkara ini harus dihentikan merta-merta. Isu ini juga melibatkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Edgenta UEMS (anak syarikat UEM /Khazanah Nasional). Menteri meminta pegawainya untuk menangani isu ini dengan segera. Beberapa isu teknikal mengenai penubuhan kesatuan sekerja untuk pekerja-pekerja kontrak juga telah dirujuk dan juga telah dipanjangkan kepada pegawainya untuk meneliti bagaimana menyelesaikannya.

COVID19, PERKESO, WSP DAN ERP

PSM juga mengutarakan banyak isu dan kekeliruan yang timbul dalam Program Subsidi Gaji (WSP) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP). PSM juga mengatakan bagaimana majikan tidak membayar gaji seperti saranan Kerajaan. Mengenai isu bahawa pekerja tidak tahu sama ada majikan mereka sudah membuat pemohonan, Pegawai Sistem Insurans Pekerjaan daripada PERKESO dalam mesyuarat tersebut berkata bahawa semua orang boleh memantau syarikat melalui laman web https://eiscentre.perkeso.gov.my/.

PSM juga mengemukakan dua isu perundangan di mana ia melibatkan polisi isu pencen penakat bagi balu/duda yang tidak mendaftarkan perkahwinan secara sah dan isu mengenai pemahaman lencongan dalam tuntutan PERKESO yang tidak munasabah. Memandangkan dua jenis kes ini adanya di mahkamah, Menteri berjanji akan merujuk kes ini kepada bahagian perundangan dan juga bersetuju bahawa banyak isu boleh diselesaikan melalui budibicara dan tidak seharusnya membebankan pihak yang menuntut daripada PERKESO.

Akhirnya, PSM juga mengemukan isu kes pengawal keselamatan Subramaniam yang melawan melawan Kedutaan Amerika Syarikat di mana ia memerlukan beberapa pindaan undang-undang demi membela pekerja tempatan. PSM juga merujuk isu pekerja Tamil Nesan yang dibuang kerja yang telah berlarutan untuk seketika. Menteri juga berjanji akan meneliti dua isu ini.

PSM mengucapkan terima kasih kepada pihak Menteri Sumber Manusia dan berharap isu-isu ini dapat diberi perhatian serius. Menteri Sumber Manusia berkata bahawa beliau akan mendapatkan pegawai dan menggalakkan pihak PSM membuat aduan bertulis jika ada pegawai-pegawai di peringkat jabatan yang tidak melaksanakan polisi atau undang-undang.

One thought on “PSM mengetengahkan isu pekerja kepada perhatian Menteri Sumber Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *