20200728 - KKM (2)

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) telah mengadakan satu perjumpaan dengan Kementerian Kesihatan pada 27 Julai 2020 untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan kepada perhatian Kerajaan Persekutuan.

Wakil daripada KPSPSHKSM telah berjumpa dengan Muhammad Syukri Bin Ibrahim, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Kesihatan. Beliau memberitahu kepada wakil kesatuan bahawa Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba terlalu sibuk dan mengarahkannya untuk bertanya pada pekerja-pekerja pembersihan tentang tuntutan mereka.

KPSPSHKSM telah mengemukakan 6 tuntutan berkaitan dengan pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan, iaitu:

  1. Hentikan segala usaha memecahkan kesatuan sekerjayang mewakili kepentingan pekerja pembersihan.
  2. Kekalkan amalan pekerjaan asal, dan kembalikan hak, faedah dan kebajikan pekerja yang telah dihakis dengan hebat sejak awal tahun ini.
  3. Iktiraf pekerja pembersihan hospital sebagai petugas barisan hadapan (frontliner),kerana Kerajaan kini mencuci tangan dan menganaktirikan mereka.
  4. Sediakan tempatdi dalam hospital untuk pekerja pembersihan bermesyuarat.
  5. Kerajaan harus berhentimemberikan konsesi kerja pembersihan kepada syarikat kontraktor yang menindas pekerja.
  6. Aturkan satu mesyuarat dengan MenteriKesihatan sendiri.

Muhammad Syukri berkata bahawa beliau akan menyemak perkembangan tentang isu pekerja pembersihan hospital sejak perjumpaan dengan Menteri Kesihatan sebelum ini. Beliau juga berkata, isu pemberian gaji adalah satu isu penting.

20200728 - KKM2 (2)

Turut hadir dalam mesyuarat di Kementerian Kesihatan ialah M. Sarasvathy selaku Setiausaha Eksekutif KPSPSHKSM dan S. Arutchelvan selaku wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Arutchelvan berkata dalam mesyuarat, “Pendapatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Edgenta, iaitu sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pada tahun 2018 ialah RM165,833 sebulan, bersamaan lebih RM5 ribu sehari. Berbanding dengan gaji pekerja pembersihan hospital yang hanya RM1,200 sebulan, adakah ini sesuatu yang waras dan adil?”

Pekerja-pekerja pembersihan yang menganggotai KPSPSHKSM telah menghadapi pelbagai rintangan dan pemangsaan berterusan daripada pihak syarikat Edgenta UEMS, anak syarikat kepada UEM Edgenta, sejak awal tahun 2020 apabila Edgenta UEMS mengambilalih kontrak perkhidmatan kerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan di empat buah negeri di Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Pemangsaan terhadap ahli kesatuan sekerja ini dipercayai berniat jahat untuk mematikan kesatuan sekerja yang memperjuangkan hak pekerja.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, termasuk aktivis pekerja ditahan dan didakwa di mahkamah, KPSPSHKSM tetap berpendirian teguh dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja. KPSPSHKSM telah menggesa pihak Kerajaan yang memberikan kontrak perkhidmatan sokongan hospital untuk lebih bertanggungjawab dan mencampurtangan dalam menyelesaikan masalah ini.

4 thoughts on “Kesatuan pekerja pembersihan hospital kerajaan kemukakan tuntutan kepada Kementerian Kesihatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *