PUTRAJAYA – 3 DISEMBER 2020: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Kesihatan pada hari ini untuk menggesa pihak Kementerian supaya mengiktiraf perkhidmatan sokongan hospital (seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan) sebagai sebahagian daripada barisan hadapan (frontliner) supaya mereka tidak dinafikan faedah yang diberikan kepada golongan frontliner, menyerapkan semua pekerja perkhidmatan sokongan hospital sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan, dan menghapuskan sistem kontraktor atau orang tengah yang memangsakan pekerja.

Rombongan JPKK yang diketuai oleh M. Sivaranjani, Penyelaras JPKK, menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba. Memorandum tersebut diterima oleh Za’aba bin Hj. Abu Bakar, Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian Kesihatan. Turut hadir semasa penyerahan memorandum ialah V. Selvam selaku Pegawai Perhubungan Perusahaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

4 tuntutan utama yang dikemukakan oleh JPKK dalam memorandum kepada Kementerian Kesihatan ialah:

  1. Serap pekerja-pekerja kontrak di hospital kerajaan (pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun) sebagai pekerja tetap yang diupah secara langsung oleh kerajaan.
  2. Iktiraf pekerja-pekerja kontrak ini sebagai petugas-petugas barisan hadapan (frontliner).
  3. Hapuskan budaya kroni dan sistem orang tengah.
  4. Kurangkan pembaziran dan cekapkan pentadbiran melalui penghapusan sistem kontrak.

Sivaranjani berkata semasa menyerahkan memorandum, “Pada ketika kita sedang menghadapi pandemik, pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan perlu diiktiraf sebagai ‘frontliner’. Oleh sebab kerajaan sekarang tidak mengiktiraf mereka sebagai frontliner, mereka telah dinafikan segala faedah yang diberikan kepada frontliner yang lain.  ”

“Pekerja-pekerja tidak mahu sistem orang tengah dalam pengupahan pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan, kerana banyak kontraktor memangsakan pekerja dan tidak menjaga kebajikan pekerja. Pekerja-pekerja ini adalah daripada golongan B40. Sebagai kerajaan yang berhasrat untuk menjaga kebajikan golongan B40, haruslah menghapuskan sistem orang tengah sebegini dan memberikan pekerjaan yang tetap dan diupah secara langsung oleh kerajaan,” kata Sivaranjani. “Amalan mengupah pekerja perkhidmatan sokongan bukannya sesuatu yang baru, malah pernah diamalkan sebelum tahun 1997 di mana semua pekerja ini merupakan pekerja kerajaan.”

V. Selvam berkata, “Pekerja-pekerja pembersihan yang membersihkan wad di mana pesakit-pesakit COVID-19 itu dirawat tetapi tidak dianggap sebagai frontliner adalah tidak masuk akal.”

Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) pernah banyak kali mengutarakan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan. Salah satu isu adalah syarikat kontraktor yang mengambilalih kontrak pengupahan pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan di negeri-negeri Utara Pantai Barat, Edgenta UEMS, enggan mengiktiraf kesatuan sekerja, di samping memangsakan pekerja-pekerja yang menganggotai kesatuan.

Sistem kontrak untuk perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan telah menyebabkan pekerja-pekerja berkenaan kehilangan jaminan kerja. Apabila kontraktor bertukar setiap dua atau tiga tahun, pekerja akan turut kehilangan tempoh perkhidmatan terkumpul mereka dan dianggap sebagai pekerja yang baru, malah ada juga pekerja akan hilang kerjanya begitu sahaja.

KPSPSHKSM pernah berjumpa dengan Menteri Kesihatan sebelum ini Dr. Zulkefly Ahmad, pada bulan Disember 2019, untuk membawa isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak kepada perhatian Menteri Kesihatan itu sendiri. Selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan, KPSPSHKSM berjumpa pula dengan Muhammad Syukri Bin Ibrahim selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Kesihatan pada 27 Julai 2020, untuk membincangkan segala masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan. Namun, selepas sebulan perjumpaan tersebut, KPSPSHKSM menerima surat daripada Pejabat Menteri Kesihatan bahawa semua isu yang diutarakan oleh pekerja pembersihan adalah perkara yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan tidak berkaitan dengan Kementerian Kesihatan, walaupun semua pekerja ini bekerja di hospital kerajaan yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan. Kementerian Kesihatan nampaknya seolah-olah cuba mencuci tangan daripada tanggungjawabnya menjaga kebajikan pekerja yang berkhidmat di dalam premisnya.

JPKK menulis surat kepada Menteri Kesihatan pada 7 September 2020 untuk meminta satu temujanji bagi menyerahkan hasil kajian mengenai impak sistem kontrak dan perbandingan antara keadaan sebelum dan selepas pelaksanaan dasar penswastaan. Namun, masih tiada apa-apa berita tentang temujanji tersebut sehingga kini. Oleh itu, JPKK bersama dengan KPSPSHKSM terus mengunjungi Kementerian Kesihatan pada hari ini untuk menyerahkan satu memorandum dan hasil kajian mengenai sistem kontrak itu.

“Kami berharap Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan yang serius dalam perkara ini,” kata Penyeralas JPKK M. Sivaranjani selepas penyerahan memorandum.

Sebelum ini, satu memorandum yang menuntut penghapusan sistem kontrak untuk kerja perkhidmatan sokongan juga diserahkan kepada Kementerian Pendidikan.

3 thoughts on “JPKK gesa Kementerian Kesihatan iktiraf pekerja perkhidmatan sokongan hospital sebagai frontliner

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *