oleh A. Sivarajan

Pagi ini kita dikejutkan dengan perhimpunan lebih 3000 orang penyokong bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak, di pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta. Persoalannya adalah, adakah Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan perhimpunan tersebut di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, lebih-lebih lagi apabila kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk menangani COVID-19?

Setakat jam 1 petang tadi, polis sekadar memberikan amaran kepada penyokong-penyokong Najib untuk bersurai. PSM mempersoalkan sikap PDRM ini, kerana sebelum ini PDRM begitu tegas dalam menyaman beberapa aktivis masyarakat yang disyaki menganjurkan apa jua perhimpunan untuk hadir disoal siasat polis.

Baru-baru ini, ahli-ahli kesatuan sekerja yang telah mengadakan aksi piket mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKPP juga telah ditahan dan direman pada 2 Jun 2020 yang lalu di Ipoh. Mereka kini dikenakan pertuduhan di Mahkamah kerana langgar PKP. Piket tersebut hanya dihadiri oleh 15 orang pekerja berbanding dengan 3000 orang yang mengerumuni perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada pagi ini.

PDRM begitu cekap menahan dan menyaman sesiapa yang gagal mengemukakan notis pemakluman mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sebelum ini, tetapi adakah penganjur perhimpunan sokong Najib ini berbuat demikian?

Jika ada permohonan sedemikian, memang tidak masuk akal bagaimana PDRM boleh meluluskannya selepas menyaksikan apa yang berlaku di pintu masuk Mahkamah Jalan Duta pagi ini. Jelas bahawa SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan langsung tidak dipatuhi dari segi penjarakan sosial, prosedur merekodkan suhu badan dan sebagainya.

Sikap “pilih kasih” (double standard) PDRM ini malangnya mencerminkan ketidakprofesionalan mereka dalam menguatkuasakan undang-undang. Kita patut menghormati hak berhimpun secara aman untuk semua, dan pihak PDRM juga harus mempratikkannya secara saksama.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Tidak patut “double standard” dalam soal hak berhimpun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *