20200727 - 54121181_303

Protes rakyat besar-besaran berterusan di negara Bulgaria, walaupun tiga orang daripada anggota kabinet pimpinan Perdana Menteri Boyko Borisov meletak jawatan pada 23 Julai 2020.

Gelombang terbaru protes rakyat Bulgaria tercetus sejak 9 Julai 2020, apabila rakyat berdemonstrasi di jalanan dengan tuntutan menggesa perletakan jawatan seluruh kabinet pimpinan Perdana Menteri Boyko Borisov dan Ketua Pendakwaraya Ivan Geshev. Rakyat yang berprotes menyuarakan bantahan mereka terhadap korupsi, penyalahgunaan kuasa dan nepotisme yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Borisov. Aksi protes tersebut mendapat sokongan daripada Rumen Radev selaku Presiden negara itu (jawatan Ketua Negara yang sekadar memainkan peranan istiadat rasmi dengan tidak banyak kuasa sebenar) yang mendapat sokongan daripada parti pembangkang utama, Parti Sosialis Bulgaria (BSP). Namun, Borisov dan Ketua Pendakwaraya enggan meletak jawatan, maka protes masih berterusan dan berkembang menjadi semakin hebat.

Salah satu pencetus kepada protes yang terbaru ini adalah pendedahan sokongan nepotistik yang diberikan oleh kerajaan Borisov kepada Ahmed Dogan, seorang oligarki yang merupakan bekas pemimpin parti politik “Gerakan untuk Hak dan Kebebasan”, di mana anggota perkhidmatan keselamatan negara digunakan untuk melindungi pantai milik kerajaan yang dijadikan harta “milik persendirian”. Presiden Radev juga merespon dengan membantah tindakan kerajaan dalam isu ini. Namun, Pejabat Pendakwaraya kemudiannya melakukan operasi menyerbu ibupejabat Presiden Radev dan menangkap pegawai-pegawai pentadbir Presiden. Tindakan oleh Pejabat Pendakwaraya ini dianggap sebagai intimidasi oleh kerajaan pimpinan Borisov terhadap Presiden Bulgaria.

Borisov, pemimpin parti yang konservatif dan populis GERB, mula menjadi Perdana Menteri Bulgaria pada tahun 2009 selepas GERB menang besar dalam pilihanraya umum tahun itu. Pemerintahan kerajaan pimpinan Borisov “terputus” seketika apabila Borisov terpaksa meletak jawatan pada tahun 2013 kerana protes besar-besaran yang membantah dasar tenaga kerajaan pimpinannya yang meningkatkan bil elektrik. Namun, Borisov kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri selepas GERB menang sekali lagi dalam pilihanraya umum 2014. Borisov meletak jawatan Perdana Menteri sekali lagi pada bulan Januari 2017, apabila calon Presiden yang disokong oleh GERB kalah dalam pilihanraya Presiden 2016, tetapi kembali lagi memegang jawatan Perdana Menteri dua bulan selepas itu dengan GERB menang lagi dalam pilihanraya umum pada bulan Mac 2017.

Rumen Radev yang menjadi Presiden Bulgaria sejak tahun 2017 selepas menang dalam pilihanraya Presiden atas sokongan BSP yang merupakan parti pembangkang terbesar, telah mengambil posisi mengkritik kerajaan pimpinan Borisov yang penuh dengan penyelewengan. Radev mengkritik Kerajaan pimpinan Borisov gagal menangani masalah rasuah yang berleluasa, menjadikan ekonomi negara itu berada dalam keadaan stagnasi dengan kenaikan harga barangan dan gaji rendah, menyeleweng dalam pilihanraya, serta gagal mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Parlimen Bulgaria telah mendebatkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Borisov yang dibawa oleh BSP pada 20 Julai 2020, dengan ribuan demonstran melakukan sekatan jalan menuju bangunan dewan perhimpunan nasional Bulgaria di bandar Sofia. Namun, kerajaan berhaluan kanan pimpinan Borisov berjaya mempertahankan kuasanya kerana masih menguasai majoriti dalam Parlimen.

20200727 - REUTERS - Stoyan Nenov
(foto oleh Stoyan Neno/REUTERS)

Dengan protes semakin memuncak, Presiden Radev dan pemimpin BSP Korneliya Ninova telah menuntut perletakan jawatan Borisov. Gelombang protes menentang Borisov telah menyatukan hampir semua parti-parti politik pembangkang, dari golongan liberal ke kiri.

Kuasa politik dari kiri, termasuk aktivis-aktivis kesatuan sekerja dan kumpulan-kumpulan anti-fasis, telah menyertai secara aktif dalam protes jalanan. Golongan kiri di Bulgaria bukan sahaja menyeru untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Borisov, tetapi mereka pada masa yang sama menyatakan keengganan untuk menyokong parti pembangkang utama di negara itu kerana ia juga menyokong dasar neoliberal dan anti-pekerja yang dipaksakan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Konfederasi Pekerja-pekerja Autonomi (ARC) menyatakan bahawa lebih daripada kepentingan jangka masa pendek parti-parti politik utama yang menganggap penggulingan Borisov sebagai jalan pintas untuk kemenangan pilihanraya dan penyusunan semula kuasa dalam parlimen demi kepentingan minoriti elit, kebanyakan dalam kalangan mereka turun ke jalanan bukannya untuk menyokong kuasa pembangkang. “Kami di sini untuk menyertai usaha menyingkirkan model GERB-Patriot daripada kekuasaan, tetapi juga mencari jalan untuk memulakan fron luar parlimen bagi rakyat pekerja secara umum yang meluas dan independen.”

Golongan kiri yang progresif di Bulgaria selain mendesak untuk perletakan jawatan kerajaan pimpinan Borisov, tetapi juga menekankan perubahan struktur dan tidak hanya menggantikannya dengan satu lagi kumpulan elit politik yang akan meneruskan agenda neoliberal yang anti-pekerja.

One thought on “Bulgaria: Gelombang protes desak pengunduran kerajaan Borisov

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *