20200602-101322525_3069316829802620_4396074833352327168_n (2)

IPOH, PERAK – 2 JUN 2020: 5 orang aktivis kesatuan telah ditahan polis pada hari ini di hadapan Hospital Ipoh kerana mengadakan aksi protes secara aman untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan majikan yang menganiayai kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan.

5 orang yang ditahan polis ialah:

  1. M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM)
  2. V. Santhiran, Bendahari KPSPSHKSM
  3. L. Danaletchumi, Pegawai Perhubungan Perusahaan bagi KPSPSHKSM
  4. P. Jothi, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  5. C. Subramaniam@Raja, aktivis PSM

M. Sarasvathy juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan mantan Timbalan Pengerusi PSM.

20200602 - 100592522_3069316633135973_4011657951642124288_n (2)

Mereka yang ditangkap telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Ipoh dan dijangka akan direman semalaman. Mereka ditahan di bawah Seksyen 186 dan 269 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya, dan perbuatan cuai yang mungkin menyebabkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa) serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), mengecam tindakan penahanan 5 orang aktivis pekerja ini dalam satu kenyataan media. Sivarajan menyeru pembebasan segera 5 orang aktivis yang ditahan tersebut.

“Adalah tidak munasabah untuk pihak polis menangkap dan mereman aktivis-aktivis kesatuan ini kerana mereka hanya mengamalkan hak mereka untuk tindakan industri seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan. Lebih-lebih lagi, mereka telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan di bawah Perintahan Kawalan Pergerakan,” kata Sivarajan.

Protes oleh aktivis daripada KPSPSHKSM ini bertujuan untuk membantah tindakan syarikat Edgenta UEMS yang melakukan penindasan terhadap kesatuan secara berterusan.

Ketika seluruh dunia sepatutnya bersyukur pada pekerja-pekerja dalam sektor kesihatan awam yang berada di barisan hadapan untuk melawan penularan wabak COVID-19, syarikat Edgenta UEMS, majikan kepada pekerja-pekerja pembersihan hospital kerajaan di negeri-negeri Bahagian Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia, telah meneruskan penganiayaannya terhadap pekerja-pekerja yang diupahnya dan melancarkan serangan ke atas kesatuan sekerja yang cuba mempertahankan nasib pekerja. Ahli-ahli KPSPSHKSM telah mengalami pelbagai masalah gangguan, pemangsaan dan pemecah-belahan kesatuan mereka daripada pihak majikan.

Edgenta UEMS, merupakan anak syarikat kepada UEM Group Berhad, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Edgenta UEMS telah mengambilalih kontrak untuk kerja-kerja pembersihan di hospital-hospital di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, sejak bulan Januari tahun ini. Kontrak kerja-kerja pembersihan ini merupakan sebahagian daripada konsesi untuk perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan di negeri-negeri berkenaan yang dipegang oleh Edgenta Mediserve, sebuah lagi anak syarikat kepada UEM Group Berhad.

Edgenta UEMS telah menjalankan aktiviti pemecah-belahan kesatuan (union busting) di semua hospital yang berkenaan, dengan ahli-ahli kesatuan dan ahli-ahli jawatankuasa kesatuan di tempat kerja telah dianiayai.

Sejak awal tahun ini, selepas Edgenta UEMS mengambialih kontrak pembersihan di hospital kerajaa, pekerja-pekerja pembersihan yang di bawahnya telah menghadapi masalah berikut:

  • Ahli-ahli kesatuan, khususnya ahli-ahli jawatankuasa di tempat kerja telah diubah jam kerja dan waktu syif sewenang-wenangnya oleh pihak majikan tanpa mendapatkan persetujuan mereka.
  • Pekerja-pekerja yang aktif dalam kesatuan sekerja telah dihukum dengan pemindahan kerja sewenang-wenangnya ke hospital yang berada jauh dari rumah kediaman mereka.
  • Pekerja-pekerja dipaksa untuk kerja dengan jam kerja lebih panjang tanpa dibayar gaji lebih masa.
  • Aktiviti kesatuan telah dilarang. Jawatankuasa kesatuan di tempat kerja tidak dibenarkan untuk mengadakan perbincangan dengan pekerja-pekerja, walaupun semasa waktu rehat yang sah. Ahli-ahli kesatuan telah diancam bahawa mereka akan diambil tindakan displin. Pihak pengurusan juga mengintimidasi pekerja-pekerja dengan mengambil foto mesyuarat jawatankuasa kesatuan di tempat kerja dan mengugut akan dikenakan tindakan displin.
  • Mendiskriminasi ahli-ahli kesatuan, dengan tidak membenarkan mereka peluang kerja lebih masa berbayar untuk menambahkan pendapatan mereka. Pihak majikan telah mengugut secara terbuka bahawa mereka yang terlibat dalam kesatuan akan dinafikan kerja lebih masa berbayar.
  • Gangguan dan ancaman secara lisan yang berterusan daripada penyelia Edgenta UEMS terhadap jawatankuasa kesatuan di tempat kerja.
  • Edgenta UEMS tidak membekalkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang sesuai kepada pekerja-pekerjanya semasa mereka membersihkan wad dan kemudahan yang berkaitan dengan COVID-19. Tindakan sebegini telah mendatangkan risiko jangkitan kepada pekerja-pekerja pembersihan berkenaan.
  • Pihak majikan tidak membekalkan penutup muka dan sarung tangan yang mencukupi.
  • Tidak meneruskan subsidi pengangkutan untuk pekerja-pekerja yang berulang alik ke hospital untuk bekerja, mendatangkan kesusahan dan kos tambahan kepada pekerja-pekerja.

Di samping itu, pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan juga tidak dapat menerima elaun khas RM600 sebulan daripada kerajaan yang disalurkan kepada pekerja-pekerja barisan hadapan. Edgenta UEMS hanya membayar sekali wang “sagu hati” berjumlah RM300. Pekerja-pekerja pembersihan ini hanya menerima bayaran gaji minimum RM1,100 sebulan. Mereka tidak menikmati kenaikan gaji tahunan, menyebabkan gaji mereka tetap rendah walaupun sudah lama bekerja.

Walaupun pihak kesatuan KPSPSHKSM telah membuat banyak aduan kepada pihak pengurusan Edgenta UEMS, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pemangsaan terhadap pekerja-pekerja dan penindasan terhadap kesatuan sekerja masih berterusan. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah disalahgunakan oleh Edgenta UEMS untuk memangsakan lagi kesatuan dengan niat jahat untuk mematikan kesatuan.