20200607 - union (2)

IPOH, PERAK: Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) mengadakan satu sidang akhbar pada 7 Jun 2020, untuk membidas kenyataan daripada syarikat UEM Edgenta Bhd pada 2 Jun 2020 (menurut berita Malaysiakini bertajuk “Protokol keselamatan ada untuk lindungi pekerja, kata UEM Edgenta”), selepas protes kesatuan dan penangkapan aktivis kesatuan di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

“UEM Edgenta menyatakan bahawa mereka mempunyai saluran komunikasi dan komited untuk menyelesaikan masalah dalaman membabitkan pekerjanya. Ini adalah tidak betul. Pada bulan November dan Disember 2019, Kesatuan telah mengadakan mesyuarat dengan UEM Edgenta, Edgenta Mediserve, Edgenta UEMS dan juga jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat. Pihak syarikat bersetuju untuk memberhentikan pemangsaan dan pemukulan kesatuan serta-merta. Namun, pada bulan Januari 2020, sebaik sahaja Edgenta UEMS mengambilalih kontrak pembersihan daripada kontraktor NS Medik, Edgenta UEMS telah memulakan pemangsaan dan penindasan terhadap kesatuan yang menyebabkan situasi pekerja menjadi lebih teruk,” kata M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif KPSPSHKSM.

Pihak pengurusan Edgenta UEMS enggan mengiktiraf kewujudan kesatuan KPSPSHKSM yang mewakili pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan. Sikap syarikat Edgenta UEMS yang tidak mempedulikan hak pekerja untuk kesatuan inilah yang merupakan punca utama aktivis-aktivis kesatuan KPSPSHKSM mengadakan aksi protes di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 2 Jun 2020.

Menurut Sarasvathy, pihak kesatuan telah membuat banyak aduan kepada pihak syarikat Edgenta UEMS. Namun, pihak syarikat hanya menjawab balas sehingga bulan Mac 2020, dan masalah masih tidak diselesaikan, malah pemangsaan diteruskan. Pada bulan yang sama juga, Ramlan Khamis selaku Pengurus Besar dan Pengarah Pembangunan Perniagaan bagi syarikat Edgenta UEMS telah memblok e-mel daripada KPSPSHKSM, dengan mengatakan bahawa dia dan syarikatnya enggan mendengar lagi aduan-aduan pekerja.

Sarasvathy juga menyangkal kenyataan UEM Edgenta yang mengatakan bahawa pihak syarikat mempunyai protokol untuk kelengkapan perlindungan diri (PPE), dan tuduhan bahawa protes kesatuan pada 2 Jun 2020 hanya mengenai kekurangan PPE. “Ini adalah tuduhan yang tidak betul,” kata Sarasvathy, “Protes pada 2 Jun 2020 adalah untuk menuntut supaya menghentikan penindasan terhadap kesatuan dan menghentikan pemangsaan terhadap ahli-ahli kesatuan serta pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan. Ahli-ahli jawatankuasa kesatuan dan pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Ipoh telah diugut dan dihalang daripada menjalankan urusan kesatuan pada masa rehat. Pekerja-pekerja diugut bahawa jika mereka mengingkari ‘arahan’ ini, maka mereka akan ditukar syif kerja dan diberi surat amaran.”

KPSPSHKSM juga menerima aduan bahawa terdapat ahli kesatuan yang diberitahu oleh penyelia Edgenta UEMS di Hospital Ipoh bahawa mereka tidak akan diberi kerja lebih masa berbayar dan cuti umum kerana menyertai kesatuan sekerja. Pada masa yang sama, pihak Edgenta UEMS juga menghebohkan kepada pekerja-pekerja di Hospital Ipoh bahawa Kesatuan KPSPSHKSM tidak wujud lagi di situ, dengan niat untuk menghalang pekerja-pekerja daripada menyertai kesatuan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pihak atasan Edgenta UEMS tidak peka pada isu-isu pekerja dan tidak turun padang, sehingga tidak tahu apa sebenarnya yang cuba dibawa oleh kesatuan dalam protes pada 2 Jun 2020 dan isu-isu pekerja yang sebenarnya,” kata Sarasvathy.

Menurut V. Selvam, Pegawai Perhubungan Perusahaan KPSPSHKSM, salah seorang dalang yang dikenalpasti di sebalik tindakan mematahkan kesatuan untuk pekerja-pekerja pembersihan di hospital, ialah Sumathi Sengiah, Pengurus Wilayah (Regional Manager) Edgenta UEMS, yang mengarahkan penyelia-penyelia untuk memecahkan kesatuan.

Tindakan-tindakan Edgenta UEMS yang berniat jahat untuk memecahkan kesatuan yang mewakili pekerja-pekerja pembersihan di hospital ini telah melanggar Seksyen 4 dan 5 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. “Tindakan memecahkan kesatuan ialah satu perbuatan jenayah,” tegas Sarasvathy.

KPSPSHKSM menggesa pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja untuk mengambil tindakan segera dalam menghentikan tindakan Edgenta UEMS yang terus memecah dan memangsakan kesatuan.

Tuntutan utama KPSPSHKSM ialah:

  1. Edgenta UEMS menghentikan serta-merta segala tindakan pemecahan kesatuan dan pemangsaan terhadap ahli-ahli kesatuan sekerja.
  2. Edgenta UEMS mesti melibatkan kesatuan sekerja dalam segala hal ehwal pekerja.
  3. Kerajaan harus berhenti memberikan kontrak perkhidmatan sokongan kepada syarikat yang menindas kesatuan sekerja.

One thought on “Kesatuan pekerja pembersihan membidas UEM Edgenta dan UEMS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *