20200218 - lembu (2)

oleh Gandi CF

Sejak kebelakangan ini, timbulnya banyak isu berkaitan dengan penternak dan petani, terutamanya isu pengusiran paksa. Beberapa bulan yang lepas, pihak pengurusan syarikat Sime Darby telah mengeluarkan notis pengusiran paksa kepada semua penternak yang mengusahakan penternakan lembu dan kambing di ladang-ladang Sime Darby, dan kelmarin pula satu kandang di Bukit Tinggi, Selangor, telah dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Apakah nasib penternak selepas ini?

Apabila isu-isu pengusiran paksa diviralkan dalam laman media sosial, saya rasa sakit hati apabila terbaca komen-komen yang ditulis. Begitu sempit pemikiran segelintir rakyat Malaysia di mana mereka tidak dapat membezakan antara isu penternak dengan isu perkauman. Masalah ini adalah masalah seorang penternak yang menghadapi pengusiran paksa, dan jangan pandang dari sudut perkauman.

Apakah masalah sebenarnya yang dihadapi oleh penternak?

Sebenarnya, penternak ini menternak di sesuatu kawasan untuk beberapa generasi tetapi mereka mula mengalami masalah apabila sesuatu kawasan itu berlaku pembangunan. Masalah ini wujud akibat perancangan pembangunan yang tidak seimbang dan mengabaikan bidang pertanian. Baru-baru ini, kita dapati kebanyakan kerajaan negeri melantik penguatkuasa untuk menangkap lembu-lembu yang berkeliaran di tempat awam dan usaha ini dapat sambutan baik daripada kalangan orang ramai, tetapi sebab lembu-lembu itu berkeliaran tidak diketahui oleh orang ramai. Punca sebenarnya, kawasan-kawasan tersebut merupakan kawasan penternakan dari dulu lagi, tetapi akibat daripada berlakunya pembangunan, maka ternakan tersebut tiada lagi tempat untuk meragut dan terpaksa berkeliaran di kawasan awam.

Persoalan di sini adalah, mengapa kerajaaan tidak menyediakan atau menawarkan tempat lain untuk penternak-penternak ini, sebaliknya beria-ia untuk mengambil tindakan pengusiran paksa. Sepatutnya sebelum sesuatu perancangan pembangunan dilakukan, perlu buat tinjauan terlebih dahulu. Selesaikan masalah penternak dan bincang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Sekiranya tempat yang sesuai sudah ditawarkan, tetapi penternak masih berdegil untuk tidak berpindah, barulah ambil tindakan, tetapi perkara ini tidak berlaku. Nampaknya kerajaan langsung tidak mempedulikan penternak.

Kawasan ladang diberi notis pengusiran, kawasan bandar pun diberi notis pengusiran. Jadi, ke manakah penternak ini akan pergi? Ada antara kalangan kita akan bertanya, kenapa tidak beli tanah sendiri? Untuk menjalankan aktiviti penternakan, perlunya tanah yang luas. Harga tanah yang terlalu tinggi menjadi batu penghalang untuk penternak memiliki tanah sendiri, terutamanya penternak kecil-kecilan. Lagipun, di mana adanya tanah untuk dibeli? Memang sukar sekali. Jika ada tanah pun, harganya adalah jauh lebih tinggi daripada kemampuan penternak itu sendiri. Oleh itu, isu penternak adalah serius dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menjamin kesejahteraan penternak. Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk menyelamat sektor penternakan.

==========

Gandi CF ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Seremban. Beliau juga merupakan seorang penternak.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s