20190920-70976441_2823311014368852_2344580079465529344_n

oleh Arveent Karthirtchelvan

Pemuda Parti Sosialis Malaysia menyambut baik hasrat Kerajaan Malaysia untuk memberi tumpuan kepada pengurangan jurang antara negeri kaya dan miskin, jurang pendapatan rakyat di bandar dan luar bandar serta jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Pelan pelaksanaan projek serta program di luar bandar dan negeri miskin pasti dapat merangsang ekonomi tempatan di sana. Akan tetapi, program-program ini mesti dilaksanakan dengan proses tender terbuka serta dengan mengambil kira pengagihan faedah program tersebut secara adil dan meluas kepada orang ramai dan mengekalkan warisan tempatan termasuk dari segi kebudayaan dan alam sekitar.

Namun, Pemuda PSM khuatir akan pandangan Tun Mahathir tentang cara meningkatkan pendapatan golongan pekerja. Walaupun Tun Mahathir sedar tentang jurang antara golongan eksekutif dengan pekerja bawahan terlalu luas, strateginya untuk meningkatkan pendapatan mereka dengan meningkatkan daya upaya dan bukannya gaji secara langsung terpesong daripada realiti sebenar.

Rakyat Malaysia digaji dengan kadar yang rendah bukan atas sebab kekurangan daya upaya. Pengangguran dan ketidaksepadanan kemahiran dalam kalangan golongan graduan yang memang berkebolehan membuktikan bahawa daya upaya itu sendiri kurang memberi kesan kepada perolehan pekerjaan. Malah pengangguran ini menyebabkan peningkatan persaingan antara golongan penganggur untuk mendapatkan pekerjaan sehingga menyebabkan majikan merendahkan kadar gaji yang ditawar untuk memaksimumkan keuntungan.

Kadar pengangguran dan ketidaksepadanan kemahiran juga menunjukkan bahawa peluang pekerjaan dalam ekonomi negara terlalu kurang. Golongan kapitalis yang menjadi majikan swasta pula jelas menonjolkan kegagalan mereka dalam menampung jumlah graduan negara, malahan mereka menyingkirkan peluang pekerjaan bagi graduan-graduan ini supaya kesan kewujudan mereka terhadap pengurangan gaji yang perlu dibayar kepada setiap pekerja dikekalkan.

Pada masa ini, adalah patut bagi Kerajaan Malaysia bersikap agresif dalam mereformasi ekonomi negara menjadi lebih kukuh untuk menampung golongan pekerja dengan gaji yang sepatutnya. Antara strategi yang perlu dipertimbangkan adalah skim jaminan pekerjaan kerajaan, peningkatan pelaburan kerajaan dalam sektor tertentu, perundangan yang lebih pro-pekerja seperti gaji minimum yang diselaraskan dengan gaji maksimum dalam sesuatu syarikat dan pengukuhan peranan kesatuan sekerja.

Pandangan Pemuda PSM berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia yang mendapati bahawa gaji yang patut dibayar perlu diselaraskan dengan gaji wajar yang memperuntukkan sebanyak RM 2700 bagi individu bujang yang menetap di Kuala Lumpur, RM 4500 bagi sebuah pasangan dan RM 6500 bagi sebuah pasangan dengan dua anak. Menurut Jabatan Statistik Malaysia, pada tahun 2016, hampir 50% pekerja digaji lebih rendah daripada RM 2700 dan 27% rumah tangga berpendapatan kurang daripada gaji wajar.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia pula menyatakan bahawa gaji wajar ini tidak dapat dilaksanakan di Malaysia akibat kos yang tinggi. Walhal, pada tahun 2016, pendapatan pekerja jika dibandingkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar hanya 35.3%, bermaksud para pekerja dibayar hanya 35.3 sen bagi setiap RM 1 yang dijana. 59.5 sen dikaut oleh pihak korporat dan 5 sen dibayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai. Ini amat kurang jika dibandingkan dengan negara-negara berpendapatan tinggi dan sederhana. Misalnya, nisbah ini setinggi 47.8% di Australia, 43.2% di Korea Selatan dan 45.9% di Afrika Selatan.

Jika daya pekerja meningkat, pastinya daya pengeluaran pun akan meningkat. Ini akan membolehkan para majikan menggaji pekerja dengan kadar yang lebih tinggi tanpa menggugat nisbah di atas. Dalam erti kata lain, para pekerja akan menjana keuntungan yang lebih untuk para majikan tetapi masih dibayar gaji yang tidak setimpal dengan pengeluaran mereka. Jelas kelihatan bahawa dalang di sebalik gaji yang kurang ialah kerakusan majikan, bukannya daya upaya pekerja.

Akan tetapi, hairankah kita apabila eksport kerajaan Malaysia yang paling lumayan ialah tenaga kerja kos rendah? Kini, sering dikatakan bahawa peningkatan gaji minimum tidak dapat dilaksanakan kerana pelabur asing akan membawa syarikat dan perniagaan mereka ke negara lain dengan kadar gaji minimum yang lebih rendah. Ini bermakna bahawa pelaburan selama ini dilakukan dengan menjaja tenaga kerja kita pada harga yang amat rendah. Sehingga sekarang, tiada pula strategi alternatif untuk memecahkan kebergantungan ini.

Pemuda PSM berpandangan bahawa situasi ini tidak wajar diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dengan langkah-langkah jangka masa pendek seperti latihan kemahiran untuk tingkatkan daya upaya pekerja semata-mata. Ini hanya akan meningkatkan keuntungan pihak korporat yang seakan-akan disubsidi oleh para pekerja. Malah, boleh dikatakan bahawa berkat usaha para pekerja dirampas oleh golongan majikan rakus yang tidak ingin berkongsi keuntungan yang dijana itu secara adil. Strategi alternatif yang pro rakyat lain seperti yang disebut perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pekerja dijamin dan ekonomi negara bertambah pesat.

==========

Arveent Karthirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Sosialis Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *