20190916 - 75663e3544205c3a322c3af6b1572cb6.jpg
Sumber gambar: Malaysiakini

Pendedahan dalam satu laporan baru-baru ini yang menyatakan ramai pekerja Bangladesh mati di negara kita – 2 kematian setiap hari, 96 orang mati dalam bulan Januari 2019 sahaja, dan jumlah kematian yang berlipat ganda sejak tahun 2012 – adalah mengejutkan dan tidak boleh diterima langsung sebagai sesuatu yang sepatutnya berlaku.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan yang serius dan segera untuk menangani punca kematian pekerja-pekerja migran ini di Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 15 Septermber 2019 oleh Rani Rasiah, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, beliau berkata, “Walau apa punca sebab kematian ini, Malaysia sudah menjadi ‘medan pembunuhan’ untuk pekerja-pekerja muda ini, dan kita patut bertanggungjawab dan memulakan penyiasatan serta-merta. Sebab utama kematian yang diberikan dalam sijil kematian untuk pekerja-pekerja berkenaan yang menyatakan strok dan sakit jantung, perlu dipersoal lebih lanjut. Sebab-sebab kematian ini tidak sepadan dengan ciri-ciri kumpulan pekerja ini, iaitu ribuan pekerja-pekerja yang berusia muda dari umur 18 hingga 32 tahun, dan disahkan dari sihat dari segi perubatan untuk menjadi pekerja migran di sini. Adakah siasatan yang sewajar dilakukan sebelum mengatakan kematian ini disebabkan strok dan serangan jantung? Atuapun kita langsung tidak ambil peduli kerana mereka hanya pekerja migran yang miskin?”

“PSM berpandangan bahawa kekurangan vitamin atau zat mineral kerana diet pemakanan yang tidak baik berkemungkinan punca kepada sesetengah kematian ini, kerana ini pernah wujud dalam kalangan populasi migran sebelum ini. Pendedahan kepada pathogen yang bukannya bersifat endemik di negara penghantar juga boleh merupakan satu lagi puncanya. Keadaan hidup teruk yang membawa kepada jangkitan penyakit seperti Tifus dan Leptospirosis (penyakit kencing tikus) perlu diambil kira. Kelewatan dalam mendapatkan rawatan perubatan kerana kos tinggi juga merupakan satu lagi kemungkinan. Kami menggesa kerajaan supaya menyiasat setiap kematian ini secara menyeluruh untuk memastikan punca kematian yang sebenar – selain ujian darah dan bedah siasat, sejarah kesihatan yang menyeruh daripada rakan sekerja si mati tentang simtom-simtom yang dialaminya sebelum itu juga akan membantu dalam menentukan punca sebenar kematian. Kita patut juga memulakan pangkalan data untuk mengumpulkan maklumat terperinci setiap kes untuk mendapatkan satu gambaran yang menyeluruh. Kita perlu memperluaskan usaha untuk meneliti masalah ini dan bukan membiarkannya begitu sahaja,” ulas Rani.

Kenyataan PSM ini dikeluarkan berikutan pendedahan dalam laporan khas yang diterbitkan baru-baru ini oleh Malaysiakini dengan kerjasama akhbar Bangladesh Kaler Kantho. Laporan tersebut menyatakan bahawa seramai 393 orang pekerja Bangladesh mati di Malaysia dalam setengah tahun yang pertama tahun ini, di mana ramai antara yang mati adalah anak muda dan mereka mati kerana serangan jantung atau strok.

20190916 - 4eecc641c64d59a491f73be933d62ee9
Sumber gambar: Malaysiakini

Laporan tersebut telah mengaitkan kematian dengan beban hutang tinggi yang ditanggung oleh pekerja-pekerja, di mana keluarga mereka menggadai apa sahaja harta yang sedikit mereka untuk mendapatkan wang sejumlah RM20,000 sebagai bayaran pengambilan kerja dan kos yang lain. Keluarga pekerja ini amat mengharapkan wang akan disalur masuk dari Malaysia untuk menyelesaikan pinjaman mereka dan membayar perbelanjaan isi rumah di kampung asal pekerja. Namun, pekerja-pekerja ini terpaksa berdepan dengan realiti yang zalim apabila mereka mendarat di Malaysia. Kebanyakan pekerja mendapati mereka terpaksa bertukar dari satu majikan ke majikan lain, dan kontrak asal mereka digantikan beberapa kali dengan syarat-syarat yang tidak berpihak kepada pekerja. Pengurangan gaji yang tidak munasabah dan bentuk eksploitasi yang lain, seperti menipu bayaran kerja lebih masa pekerja, telah menyebabkan pendapatan pekerja migran ini berkurangan dan lebih susah untuk mereka mengirim wang balik ke kampung asal.

Adalah pengetahuan umum sekarang ini bahawa hutang tinggi yang ditanggung oleh pekerja migran ini timbul daripada pembayaran kos pengambilan kerja yang membawa kepada keadaan perhambaan secara hutang atau perhambaan moden yang berlaku di Malaysia hari ini. Kumpulan-kumpulan masyarakat yang prihatin pada isu migran, seperti Gabungan Hak untuk Pembelaan, telah mencadangkan supaya semua pengambilan pekerja migran dan bayaran yang berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan untuk menangani situasi ini.

Negara Malaysia telah menjadi semakin bergantung pada pekerja migran. Walaupun Rancangan Malaysia Ke-11 mensasarkan untuk mengurangkan jumlah pekerja migran kepada 15% daripada tenaga kerja, Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak mempedulikannya, dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini nampaknya tidak memberi apa-apa perhatian kepadanya. Jumlah pekerja migran, sama ada berdokumen atau tanpa dokumen, dianggarkan seramai 6 juta. Apa yang tidak boleh diterima sehingga hari ini adalah, kerajaan masih tidak melihat keperluan untuk merangka satu set dasar yang komprehensif untuk mengendalikan aspek-aspek migrasi pekerja yang berbeza, seperti pengambilan, pekerja tidak berdokumen, perumahan dan kesihatan. Kerajaan negara kita masih meneruskan amalan membuat keputusan secara ad hoc dan gagal menangani secara baik masalah berkaitan migrasi buruh ini yang berlarutan.

Pekerja-pekerja migran meninggalkan kampung halaman mereka untuk datang bekerja di Malaysia, adalah dengan harapan untuk memperbaiki kehidupan mereka, tetapi ramai tidak jangka boleh berakhir dengan kehilangan nyawa. Negara kita membawa masuk pekerja-pekerja migran sepatutnya bertujuan untuk membangunkan ekonomi dan masyarakat, bukannya meragut nyawa mereka kerana gagal melaksanakan dasar yang melindungi hak pekerja migran. Kita tidak patut membiarkan tragedi pekerja-pekerja Bangladesh yang kehilangan nyawa ini terus berlaku di bumi Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *