20190604 - TELEMMGLPICT000198581765_trans_NvBQzQNjv4BqpfdAlaR4Ea_iSpZSotji0N8f8qK7609DnyWKj-gRI8Y
Ali Wazir (kiri) dan Mohsin Dawar (kanan)

Dua orang ahli parlimen pembangkang Pakistan, Ali Wazir dan Mohsin Dawar, telah ditahan baru-baru ini oleh Kerajaan Pakistan, berikutan peristiwa tentera Pakistan melepaskan tembakan ke atas orang awam yang berprotes di wilayah Waziristan.

Pada 26 Mei 2019, satu perarakan oleh rakyat beretnik Pashtun di wilayah Waziristan yang terletak di Barat Laut negara Pakistan, telah dipukul secara kejam oleh tentera Pakistan yang melepaskan tembakan ke atas demonstran, menyebabkan 13 orang mati dan lebih 40 orang cedera.

Aksi perarakan yang dipimpin oleh Ali Wazir dan Mohsin Dawar tersebut bertujuan untuk menuntut supaya tentera Pakistan menghentikan operasi ketenteraan di situ. Penduduk-penduduk di Waziristan yang bersempadan dengan negara Afghanistan, telah diancam oleh aktiviti pengganas Taliban, dan kehadiran tentara Pakistan bukan sahaja tidak menjamin keselamatan penduduk tempatan malah membawa lebih masalah kepada mereka.

Ali Wazir dan Mohsin Dawar, kedua-duanya ialah Ahli Perhimpunan Nasional Pakistan (iaitu Dewan Rakyat untuk Majlis-e-Shura ataupun Parlimen Pakistan), yang dipilih dalam pilihanraya umum Pakistan tahun lepas. Mereka merupakan pemimpin Gerakan Pashtun Tahafuz (PTM), sebuah gerakan massa yang memperjuangkan hak asasi manusia, keamanan dan keadilan sosial di wilayah Waziristan.

Namun, PTM telah menghadapi ancaman yang berterusan daripada pihak tentera Pakistan untuk beberapa bulan yang lalu, sementara media tempatan diarahkan oleh tentera untuk tidak melaporkan berita tentang PTM. Malah, lebih teruk lagi, media telah melaporkan bahawa aktivis PTM yang dipimpin Ali Wazir dan Mohsin Dawar menyerang tentera Pakistan pada 26 Mei 2019, sedangkan rakaman video menunjukkan bahawa aktivis PTM telah diserang dan ditembak dari belakang. Ali Wazir ditangkap oleh tentera pada ketika itu semasa beliau cuba membantu rakannya yang cedera.

Selepas insiden pada 26 Mei 2019, Ali Wazir dan Mohsin Dawar telah ditangkap Kerajaan Pakistan atas pertuduhan menjalankan aktiviti keganasan. Mereka telah dibawa ke Mahkamah Anti-Keganasan untuk reman. Seluruh pembangkang di Parlimen Pakistan telah membantah penahanan mereka.

Ali Wazir telah berjuang selama ini untuk melawan keganasan tetapi sekarang beliau ditahan atas pertuduhan melakukan keganasan. Ini adalah satu penindasan oleh Kerajaan Pakistan terhadap aktivis keamanan dengan alasan yang tidak masuk akal.

Masyarakat antarabangsa telah menyuarakan bantahan terhadap penahanan Ali Wazir dan Mohsin Dawar, di samping menyeru untuk pembebasan mereka.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyampaikan satu bantahan kepada Suruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia pada 3 Jun 2019, mengecam tindakan Kerajaan Pakistan yang menahan Ali Wazir dan Mohsin Dawar.

PSM menggesa Kerajaan Pakistan supaya:

  • Membebaskan Ali Wazir dan Mohsin Dawar dengan segera dan tanpa syarat;
  • Menghentikan penindasan terhadap Gerakan Pashtun Tahafuz (PTM); dan
  • Mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam melepaskan tembakan ke atas orang awam yang berprotes secara aman pada 26 Mei 2019.

20190604 - aliwazir60846180_2221996991398587_2988260742148390912_n

Siapakah Ali Wazir?

Ali Wazir ialah anggota suku kaum Ahmadzai Wazir daripada kumpulan etnik Pashtun. Bapanya Malik Mirzalam Wazir ialah ketua suku Ahmadzai Wazir. Tempat asal Ali Wazir, iaitu Wana, pekan utama di Daerah Waziristan Selatan, telah menjadi pusat kepada aktiviti keganasan global apabila sejumlah besar kumpulan yang berkaitan dengan Taliban telah berselindung di situ. Kerajaan Pakistan telah memainkan peranan penting dalam melindungi dan membolehkan perluasan pengaruh kumpulan pengganas di wilayah itu.

Ali Wazir sendiri menjadi mangsa kepada aktiviti keganasan, dengan 16 daripada ahli keluarganya telah dibunuh oleh pengganas Taliban, termasuk bapanya dan dua orang abangnya. Ramai orang Pashtun yang menetap di wilayah Waziristan telah dikejami sama ada oleh pengganas atau tentera, hanya kerana mereka mempersoalkan atau menentang kehadiran pengganas di tanahair mereka.

Ali Wazir telah menyertai sebuah organisasi berhaluan kiri yang bergelar “Perjuangan” yang bergabung dalam International Marxist Tendency, dan menjadi ahli jawatankuasa pusat untuk organisasi tersebut.

Ali Wazir telah dipenjarakan pada tahun 2005. Beliau ditahan di bawah undang-undang zaman penjajah yang dipanggil “Frontier Crimes Regulations”, di mana seluruh suku kaum atau rakyat di sesuatu kawasan boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk apa-apa jenayah yang dilakukan oleh seseorang individu di kawasan itu. Semasa Ali Wazir dalam penjara, bapanya, abangnya, dua orang pakciknya dan dua orang sepupunya telah dibunuh dalam satu serangan oleh pengganas Taliban.

Di bawah keadaan yang susah, Ali Wazir tidak pernah hilang kepercayaannya terhadap gerakan massa untuk perubahan. Beliau berkomited dalam politik perjuangan kelas. Ali Wazir muncul sebagai pemimpin gerakan rakyat yang menuntut hak untuk mangsa-mangsa “perang terhadap keganasan” (war on terrorism). Walaupun berdepan dengan pelbagai ancaman, Ali Wazir telah aktif dalam menggerakkan kempen di seluruh negara.

Ali Wazir terlibat Gerakan Pashtun Tahafuz (PTM) yang berkembang pesat beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi salah seorang pemimpin yang terkenal untuk gerakan tersebut.

Ramai orang awam di wilayah Waziristan telah menjadi mangsa kepada pembunuhan di luar undang-undang dan keganasan oleh golongan ekstremis. Aktivis PTM yang memperjuangkan nasib mangsa-mangsa keganasan pula dianggap sebagai suspek pengganas oleh kerajaan Pakistan. Mereka sentiasa berdepan dengan penghinaan di pos kawalan keselamatan. Orang awam yang tidak bersalah sering menghadapi keganasan semasa operasi ketenteraan. Sebagai masyarakat tribal yang terbesar di dunia, orang Pashtun terkenal dengan kemesraan, komitmen dan keberanian mereka dalam menghadapi cabaran, namun mereka telah diburuk-burukkan oleh pemerintah Pakistan dan dituduh tanpa bukti sebagai penyokong pengganas walaupun mereka merupakan mangsa keganasan yang paling teruk.

Ali Wazir pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 2008 dan 2013. Dalam pilihanraya umum 2013, Ali Wazir hampir menang tetapi telah dikalahkan di bawah muncung senapang. Ali Wazir kalah dalam pilihanraya itu dengan perbezaan hanya 300 undi selepas Taliban mengugut pengundinya dan mendera penyokongnya.

Dalam pilihanraya umum Pakistan yang diadakan pada bulan Julai 2018, Ali Wazir bertanding sebagai calon bebas di kawasan parlimen NA-50 Waziristan Selatan. Beliau telah meraih sebanyak 23,530 undi, iaitu undi terbanyak di kalangan 28 orang calon yang bertanding untuk satu kerusi di situ. Pencabar terdekatnya hanya mendapat 8,250 undi, sementara calon daripada pakatan parti politik berfahaman konservatif agama yang ekstrim, Muttahida Majlis–e–Amal (MMA), hanya mendapat 7,515 undi. Ini merupakan satu kemenangan besar untuk Ali Wazir, PTM dan politik kiri di Pakistan. Ali Wazir muncul sebagai satu-satunya sosialis dalam Perhimpunan Nasional Pakistan yang didominasi oleh golongan feudal dan kapitalis.

20190604 - 37898324_1160162240809698_5253458659068870656_n

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *