20190531 - sudan550x311_771893.jpgoleh Hadri A Rahman

Pada 28 Mei 2019, penunjuk perasaan di Sudan memulakan mogok am yang berlangsung selama dua hari untuk memberi tekanan kepada pihak tentera yang menguasai Sudan sejak 11 April 2019 untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam.

Detik-detik permulaan mogok am ini tercetus pada 21 Mei 2019, apabila pemimpin protes menyeru penyokong mereka untuk membuat persiapan untuk melancarkan mogok am selepas rundingan dengan pihak tentera terhenti jika persetujuan siapa yang akan memimpin negara semasa tempoh peralihan selama tiga tahun tidak dapat dicapai dan pihak tentera tidak bersetuju dengan tuntutan pihak pembangkang untuk seorang ketua awam dan majoriti awam untuk majlis berdaulat baru yang dipersetujui untuk memimpin tempoh peralihan tersebut.

Ini disusuli pula dengan pihak pembangkang yang diwakili oleh Perikatan Untuk Kebebasan dan Perubahan (Alliance for Freedom and Change, AFC), sebuah badan yang terdiri daripada parti-parti politik, kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan badan-badan professional, menyeru pada penyokong mereka untuk melancarkan kempen  ketidakpatuhan awam pada 25 Mei 2019, meskipun tindakan ini dibantah oleh Parti Ummah, parti pembangkang terbesar Sudan yang merasakan ianya tindakan yang tidak wajar dan akan meningkatkan ketegangan antara pihak pembangkang dengan pihak tentera.

“Untuk mencapai kemenangan penuh, kami menyeru penyertaan besar-besaran dalam mogok umum politik,” kata Persatuan Profesional Sudan, yang telah memimpin dalam menganjurkan protes selama empat bulan di seluruh negara yang membawa kepada penyingkiran Omar Al-Bashir.

“Pemberontakan itu adalah tugas revolusioner kita dan penyertaan dalamnya… adalah jaminan penting untuk mencapai matlamat revolusi.”

Pada pagi Selasa, 28 Mei 2019, mogok am ini telah dimulakan dengan pemberhentian perkhidmatan awam. Mogok ini juga telah melumpuhkan lapangan terbang antarabangsa Khartoum apabila pekerja-pekerja lapangan terbang menyertai mogok tersebut yang juga disertai oleh golongan juruterbang, sehingga menyebabkan sesetengah penerbangan terpaksa dihentikan meskipun beberapa penerbangan antarabangsa masih dijadualkan seperti biasa.

Bank Pusat Sudan berkata bahawa majoriti pekerjanya menyertai mogok tersebut, dengan belasan bank komersial di Khartoum ditutup, seperti yang dikatakan oleh, Muez Ahmed, penganjur mogok di Bank of Khartoum, ketika ditemuramah oleh Al Jazeera.

“Saya dapat mengesahkan bahawa 110 cabang Bank Khartoum menyertai mogok ini, termasuklah pekerja Bank Faisal, Bank Petani, Bank Sumber-Sumber Haiwan, Bank Alnilain, Bank Pembangunan Eksport, Bank Sudan-Perancis, Albaraka dan lain-lain lagi,” begitu katanya.

Di pusat bandar Khartoum, pasar popular, kedai dan restoran juga ditutup dan pengangkutan awam tidak berfungsi, sementara stesen keretapi Bahri Khartoum menjadi kosong, tanpa sebarang kereta api bergerak. Pekerja elektrik dan pekerja telekomunikasi juga tutup kedai, termasuklah beberapa kilang tepung dan industri makanan swasta.

Pemimpin-pemimpin protes berkata bahawa para pensyarah, peguam dan pendakwaraya, juga akan mengambil bahagian dalam mogok am ini.

Semasa mogok am ini berlangsung, pemimpin Junta Abdel Fattah Burhan telah membuat lawatan ke Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Sudan Selatan, dan juga Ethiopia di mana beliau bertemu dengan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed dan ketua keamanan dan keselamatan Kesatuan Afrika.

Dalam pertemuan antara Burhan dan Abiy, Perdana Menteri Ethiopia telah menawarkan nasihat dalam menangani krisis di Sudan tetapi telah berjanji untuk tidak campurtangan dalam proses peralihan, seperti yang diisytiharkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam sebuah utusan media sosial.

Sumber Maklumat:

https://www.africanews.com/2019/05/22/sudan-protesters-to-embark-on-general-strike-as-talks-stall/

https://www.aljazeera.com/news/2019/05/sudan-braces-strikes-opposition-aim-pressure-army-190528062731737.html

https://www.africanews.com/2019/05/29/sudan-s-48-hour-national-strike-flights-disrupted-offices-shut/

https://www.africanews.com/2019/05/28/revolution-continues-as-sudanese-red-sea-port-workers-go-on-strike/

One thought on “Sudan: Mogok am dilancarkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *