20190607 - 61099641_2161077107263086_5581654199831101440_n.jpgoleh S. Arutchelvan 

Sejurus sebelum jam 10 malam pada 27 Mei 2019, keadaan kesihatan Balan telah merosot. Keluarganya hanya sempat membawanya keluar dari rumah ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Hospital Seremban kemudiannya mengesahkan bahawa beliau mati pada jam 10 malam kerana jangkitan kuman. Tina, rakan seperjuangan daripada PSM yang paling rapat dengan Balan menyampaikan berita ini dari bilik mayat, “Anna, matanya masih buka Anna, impiannya masih belum dipenuhi.” Inilah pengakhiran untuk seorang yang menanggung begitu banyak kesakitan dari segi fizikal dan emosi. 

Ya, Balan dibebaskan daripada kesakitan dan penderitaan di dunia ini, tetapi meninggalkan satu tugas yang belum selesai.

Tiga hari sebelum pemergiannya, pada hari Jumaat (24 Mei 2019), saya menerima satu panggilan telefon yang jarang sekali daripadanya. Beliau bertanya pada saya apa khabar, bagaimana dengan kesihatan saya dan sebagainya. Itulah Balan. Walaupun beliau dalam keadaan lumpuh separuh badan di bawah pinggannya, beliau selalu bertanyakan kesihatan orang lain. Semasa perbualan itu, beliau ada menyebut bahawa beliau telah dimasukkan ke dalam hospital tetapi beliau lebih prihatin dalam kes mahkamahnya yang akan berlangsung pada 24 Jun. Seperti biasa, saya beritahunya, “Balan, jangan bimbang. Kita akan melawan habis-habisan.” Saya memberi jaminan bahawa saya akan datang ke mahkamah. Perbualan itu tamat dengan nota bahawa kami akan berjumpa di mahkamah. Namun, pertemuan itu tidak akan berlaku sekarang. Dalam upacara pengebumiannya, ketika dua orang kakaknya menangis dengan sedih, saya terfikir panggilan telefon yang jarang sekali itu dan mengimbas kembali tentang hidupnya. Hajatnya belum lagi dipenuhi, begitu juga dengan sistem sokongan di negara kita.

Hidup yang susah

Balan Perumal dilahirkan pada 28 Ogos 1979. Bulan Ogos ini beliau akan mencapai umur 40 tahun. Beliau berkahwin pada usia muda ketika beliau berumur 20 tahun, tetapi perkahwinan tersebut hanya bertahan untuk dua tahun dan beliau berpisah dengan isternya pada tahun 2001. Beliau ada seorang anak lelaki yang pergi bersama ibunya dan mereka tidak bertemu sejak itu.

Pada tahun 2013, suami kepada kakaknya Devi telah diculik dan tidak bertemu dengannya lagi. Oleh itu, Balan menjaga kakaknya dan anak kakaknya. Kakaknya yang seorang lagi, Thanam, juga kehilangan suaminya dan menjadi balu dengan tiga orang anak. Balan juga menjaga mereka yang tinggal di rumahnya. Mereka semua tinggal di rumah Balan yang dibelinya pada tahun 2005 melalui pinjaman daripada Bank BSN sebanyak RM 115,000. Rumah itu beralamat No.6323, Jalan 5/10, Taman Seremban Jaya, Seremban. Kisah hidupnya selepas ini berkisar pada bagaimana beliau cuba menyelamatkan rumah ini, satu-satu rumahnya.

Kemalangan yang mengubah segalanya

Empat tahun dahulu pada 22 Jun 2015, berlakunya satu tragedi. Balan ditimpa satu kemalangan yang serius di tempat kerja. Beliau terjatuh dan terhentam satu palang besi ketika melakukan kerja-kerja penanggalan. Beliau mendapat kecederaan yang teruk pada tulang belakangnya di mana saraf tulang belakangnya di T4 dan T5 terpatah sehingga menyebabkannya menjadi lumpuh di bahagian bawah pinggan. Beliau dimasukkan ke dalam hospital untuk hampir 9 bulan dengan kemungkinan menemui ajal ketika itu. Beliau bertahan untuk terus hidup, dan sejak itu beliau terpaksa menggunakan kerusi roda, di samping diisytihar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Seremban.

Pencari nafkah untuk sebuah isi rumah yang perlu menyokong dua orang kakak dan anak-anak mereka tiba-tiba menjadi tidak dapat bergerak. Tragedi dan penderitaannya tidak berhenti di situ. Bank Simpanan Nasional (BSN), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), telah memberi tamparan yang seterusnya dengan melelongkan rumahnya. Itulah ketika PSM terlibat dalam masalah Balan.

Sandiwara insurans perumahan BSN

Pada 22 Oktober 2015, ketika Balan masih di hospital, beliau menerima sepucuk surat guaman daripada BSN yang mengatakan bahawa beliau telah gagal membayar balik pinjaman untuk beberapa bulan. Rekod menunjukkan bahawa Balan sebenarnya membuat pembayaran terakhirnya pada 11 Jun 2015, iaitu 10 hari sebelum beliau ditimpa kemalangan yang serius.

Untuk tempoh 12 tahun selepas membeli rumah, Balan telah membayar balik pinjaman secara konsisten tanpa apa-apa tunggakan. Hanya selepas ditimpa kemalangan, beliau tidak dapat membayar. Kakak Balan bertemu dengan En. Khairul, seorang pegawai BSN, dan memberitahunya tentang keadaan Balan dan juga ketidakmampuan mereka untuk membayar kerana Balan ialah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga. Khairul juga bertemu dengan doktor Balan yang memberitahu pegawai bank itu tentang keadaan kesihatannya. Khairul kemudian menasihatkan mereka untuk membuat tuntutan insurans dan meminta beberapa dokumen. Polisi insurans yang dipanggil MRTA, adalah khususnya untuk tujuan sebegini dan digunakan apabila peminjam mati ataupun menghadapi masalah kesihatan yang serius.

Pada bulan yang seterusnya, kakaknya telah menyerahkan apa jua dokomen yang diperlukan tetapi laporan perubatan yang penuh belum lagi siap kerana Balan masih berada di hospital dan laporan penuh hanya boleh diberikan selepas itu.

Syarikat insurans menolak tuntutan atas alasan bahawa laporan perubatan tidak sempurna. Namun, sama ada Balan ataupun kakaknya tidak diberitahu tentang perkembangan ini. Pada 6 Januari 2016, mereka terkejut apabila menerima surat yang mengatakan bahawa rumah mereka akan dilelongkan. Kakaknya merayu pada bank, tetapi pihak bank langsung tidak menunjukkan empati ataupun belas kasihan terhadap mereka.

Kenapa mahu tergesa-gesa untuk melelongkan rumahnya? Dalam satu surat daripada BSN pada bulan Jun 2016, didedahkan bahawa Balan telah gagal membayar untuk 9 bulan dari bulan Julai 2015 hingga Februari 2016. Ini jelas menunjukkan bahawa kemalangan yang menjadikannya lumpuh dan kurang upaya sejak bulan Jun 2015 itu yang menyebabkannya gagal membayar balik pinjaman. Ini juga menunjukkan bahawa sebelum kemalangan itu, Balan membayar balik pinjaman tepat mengikut jadual masa.

Bukankah sepatutnya BSN sebagai sebuah GLC patut menunjukkan sedikit belas kasihan di sini? Hakikatnya TIDAK. Bulan seterusnya, pada 16 Februari 2016, rumah Balan telah dilelongkan di Mahkamah Tinggi Seremban untuk RM 150,000. Balan masih terlantar di atas katil hospital, lumpuh di bawah pinggan, dan tidak dapat berbuat apa-apa.

Pada 4 Mac 2016, Balan telah keluar dari hospital, dan pada takat itulah beliau datang untuk mendapatkan bantuan PSM. Melihat pada keadaannya dan isu ini, komrad-komrad daripada PSM bersedia untuk membantu. Pada awalnya, kami ingat ini merupakan satu perkara yang jelas dan mudah. Kami juga ingat bahawa BSN sebagai sebuah GLC akan lebih mudah dikendali berbanding sebuah bank swasta. Kami turut ingat bahawa mungkin terdapat sedikit salah faham dan sekiranya pihak bank mendapat tahu tentang keadaannya yang sebenar, rumah itu dapat diselamatkan.

Tina, aktivis PSM Seremban, telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak bank untuk memahami kenapa rumah Balan dilelongkan dalam keadaan begitu tergesa-gesa walaupun kakaknya telah memberitahu pihak bank. Apa yang paling menjadikannya marah adalah apabila dia diberitahu dalam satu mesyarakat pada bulan April 2016 bahawa Balan masih boleh merayu untuk tuntutan insuransnya selepas 120 hari pada bulan Jun. Sandiwara apa ini? Bagaimana beliau boleh merayu apabila rumahnya sudahpun dilelong? Bukankah peranan insurans itu adalah menyelamatkan rumahnya daripada dilelongkan?

Setelah gagal mendapatkan apa-apa penyelesaian, pada 10 Mei 2016, kami berprotes di ibupejabat Bank Simpanan Nasional di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dan menyerahkan satu memorandum yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BSN En. Adinan bin Maning. Memorandum tersebut diterima oleh En. Arida Arrifin, Naib Presiden Hal Ehwal Korporat. Dalam mesyuarat di ibupejabat BSN, pegawai-pegawai di situ juga hairan bagaimana rumah itu dilelong dan mereka bersetuju untuk menghentikan semua transaksi. Mereka juga memberi jaminan kepada kami bahawa ini mungkin hanya satu salah faham yang besar dan mereka akan melakukan apa yang boleh untuk menyelesaikan masalah.

Namun, yang mengecewakan adalah, selepas itu, BSN memberi kami layanan dingin dan enggan menjawab panggilan telefon serta e-mel kami. Kemudiannya pada 8 Jun 2016, kami menerima satu surat daripada BSN Seremban yang mengatakan bahawa mereka akan meneruskan lelong dan tiada sebab diberikan.

Kami telah mencuba cara lain seperti menghantar surat yang berasingan kepada semua pengarah BSN. Kami masih ada sedikit harapan bahawa jika salah seorang daripada mereka betul-betul membaca dan memahami kesusahan Balan, maka mereka akan mencampurtangan. Malangnya, kecuali seorang yang berkata bahawa dia sudah meletak jawatan daripada Lembaga Pengarah, yang lain tidak memberikan respon. Kami juga memfailkan satu kaveat persendirian ke atas tanah.

Apabila seseorang mempunyai aduan terhadap sesebuah bank, maka sepatutnya terdapat satu mekanisme di mana kita boleh mengadu kepada Bank Negara, iaitu bank pusat yang mengawalselia semua bank yang lain. Jadi, inilah destinasi kami seterusnya.

20190607 - 61087003_2161077203929743_5709710311913684992_n.jpg

Bank Negara: Kami tiada kuasa

Pada awal bulan Mei 2016, kami menyerahkan satu surat kepada Gabenor Bank Negara dan kami menggesa untuk satu siasatan kerana terdapat sindiket yang cuba membeli hartanah secara agresif dengan menggunakan semua cara dan pengaruh sebolehnya. Dalam kes ini, kami binggung kerana walaupun semua usaha kami untuk menyela, tetapi BSN masih mahu meneruskan lelong rumah. Pada 15 Jun 2016, kami menulis satu lagi surat kepada Bank Negara. Tiada apa-apa yang berlaku juga.

Jadi, apabila surat-menyurat tidak mendapat respon, kami menggunakan senjata kami yang paling terkenal – demonstrasi. Bersama dengan Balan yang duduk di atas kerusi roda, kami mengadakan satu protes di luar Bank Negara pada 26 Oktober 2016. Pada hari yang sama, satu mesyuarat telah diadakan dengan beberapa orang pegawai tinggi Bank Negara. Mereka sangat bertimbang rasa dan juga menunjukkan bahawa sesuatu yang tidak betul dalam perkara ini. Mereka berkata bahawa akan mengatur satu mesyuarat dan memanggil BSN. Ini membangkit semula harapan kami bahawa Bank Negara akan bertindak.

Dalam dua bulan selepas itu, Bank Negara memanggil kami tiga kali untuk menetapkan mesyuarat dengan BSN, tetapi mesyuarat yang dirancang dibatalkan setiap kali. Alasan yang diberikan adalah seperti BSN tidak dapat hadir, dan ada sekali dikatakan bahawa mereka tidak dapat membawa seorang pegawai kanan pun dalam Bank Negara untuk mempengerusikan mesyuarat. Kami menjadi tidak sabar lagi dengan alasan-alasan sebegini, dan akhirnya kami diberitahu bahawa Bank Negara yang paling berkuasa di negara kita ini tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap BSN.

SUHAKAM: Jangan bangkitkan isu gelandangan

Oleh sebab tiada apa-apa penyelesaian, kami cuba membangkitkan isu ini dengan SUHAKAM. Kami percaya bahawa Balan ialah seorang mangsa dan ini merupakan penyelewengan korporat oleh BSN. Pada 9 September 2016, kami menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Tajuk memorandum yang kami serahkan kepada SUHAKAM ialah “Selamatkan keluarga OKU sebelum menjadi gelandangan”.

Kami telah memetik Perkara 25 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang dipersetujui oleh SUHAKAM, “Setiap orang mempunyai hak untuk taraf kehidupan yang memadai bagi kesihatan dan kesejahteraan dirinya dan keluarganya, termasuk makanan, pakaian, perumahan dan penjagaan perubatan serta perkhidmatan sosial yang perlu, dan berhak untuk perlindungan ketika berlakunya pengangguran, kesakitan, ketidakupayaan, perjandaan, keuzuran dan lain-lain kekurangan kehidupan dalam keadaan di luar kawalannya.”

Pada bulan Mac 2017, kami menerima panggilan daripada SUHAKAN di mana SUHAKAM bersetuju untuk mengadakan satu proses runding damai antara semua pihak. Kami sangat gembira kerana seketika sebelum itu, pemilik baru untuk rumah Balan juga mencuba untuk mengusir keluar Balan. Kami berasa optimistik, jika mereka ialah pembeli yang sebenar, maka mereka akan melepaskan rumah ini selepas melihat keadaan Balan.

Pesuruhjaya SUHAKAM telah mengadakan 2 mesyuarat runding damai dan sesi yang kedua pada 7 Mei 2017 berakhir secara tiba-tiba apabila Pesuruhjaya meninggalkan mesyuarat kerana tidak berpuas hati bahawa kedua-dua tidak dapat mencapai kompromi.

Pesuruhjaya SUHAKAM tersebut juga marah dengan saya apabila saya membangkitkan persoalan seorang itu dijadikan gelandangan. Dia memberitahu kami untuk menahan diri daripada menyebut tentang itu. Kesilapan terbesar dalam proses SUHAKAM adalah mereka terpesong daripada isu asasnya. Dalam mana-mana pencabulan hak asasi manusia, semestinya ada seorang pelaku dan seorang mangsa. Dalam kes ini, adanya dua orang mangsa – Balan dan pembeli rumah. Pelaku ialah BSN yang melelongkan rumah Balan apabila pilihan untuk tuntutan insurans belum lagi digunakan sepenuhnya. Malangnya, Pesuruhjaya SUHAKAM enggan mempertanggungjawabkan BSN dan terus memujuk Balan atau pembeli baru itu untuk melepaskan rumah berkenaan.

Pembeli baru itu mengatakan bahawa mereka memerlukan rumah ini kerana ibu mereka memerlukan rumah untuk duduk dan asyik bercakap tentangnya. Balan pula sudah pasti mempunyai lebih hubungan dengan rumah ini kerana ia ialah satu-satunya rumahnya dan dia sudah tinggal di situ untuk lebih satu dekad.

20190607 - 61401823_2161077353929728_2126655045184258048_n

Kes mahkamah yang berterusan

Sementara kami sedang melawan ini semua, satu lagi perlawanan berlangsung di dalam mahkamah. Peguam aktivis Karthigesan mengambil kes ini secara pro bono. Karthigesan ialah aktivis bersama Hindraf dan juga anggota Jawatankuasa Hak Asasi Manusia untuk Majlis Peguam Negeri Sembilan. Pada bulan September 2016, BSN memfailkan satu saman untuk membatalkan kaveat kami yang difailkan pada bulan Jun 2016. Pada 16 Februari 2017, BSN gagal membatalkan kaveat kami. Pada 30 Mei 2017, pembeli rumah pula mencuba untuk membatalkan kaveat kami. Pada 11 Ogos 2017, pembeli rumah itu berjaya dalam cubaannya.

Kedua-dua pihak BSN dan Balan telah memfailkan rayuan. BSN kemudian dengan liciknya menarik diri daripada rayuan dan mahu perlawanan dalam mahkamah itu antara Balan dengan pembeli rumah baru.

Pada bulan Mei 2018, peguam Balan Karthigesan memfailkan satu saman terhadap BSN dan pemilik baru. Kes tersebut telah ditangguhkan beberapa kali dan akhirnya Hakim mendesak untuk runding damai pada 27 September 2018.

Runding damai kemudiannya berlangsung. Perkara ini akhirnya berkisar sekitar wang. Pemilik baru mahu jumlah besar yang jauh lebih tinggi daripada harga rumah. BSN sudi membayar satu jumlah yang jauh lebih kurang, dan Balan terperangkap kerana beliau seorang sahaja yang memerlukan rumah tetapi tidak mempunyai jumlah wang besar yang diperkatakan oleh mereka semua.

Dengan pengalaman lalu jika Balan telah meninggal sekarang, insurans MRTA akan meliputi semua kos dan kakanya sepatutnya boleh tinggal dalam rumah itu. Tarikh mahkamah yang seterusnya ialah 24 Jun 2019. Pada hari itu, Balan tidak akan lagi hadir dan mahkamah tidak akan dapat nampak kerusi rodanya lagi. Adalah tidak jelas lagi sama ada pihak-pihak yang lain akan berasa gembira dengan perkembangan terbaru ini atau membolehkan roh Balan bersemadi secara damai.

Kegagalan sistem sokongan

Apabila kita mengimbas kembali, Balan mendapat kemalangan di tempat kerja, tetapi tiadanya apa-apa sokongan yang diperlukan. MRTA menghampakannya dan bank GLC di negara kita menunjukkan bahawa mereka bukannya lebih bersifat kemanusiaan berbanding bank swasta. Apa terjadi dengan Tanggungjawab Sosial Korporat? Bank Negara tiada kuasa sementara SUHAKAM tiada minat untuk menyelesaikan isu ini. Sekarang ini mahkamah akan membuat keputusan berkenaan dengan hajat yang belum dipenuhi untuk seorang yang sudah mati.

Hujan lebat ketika jenazah Balan berada di tempat membakar mayat. Satu-satunya sinar harapan pada hari yang penuh kesedihan ini adalah apabila anak Balan yang berumur 19 tahun muncul secara mengejut. Melihat jenazah ayahnya yang sudah tiada di dunia ini selepas tidak bertemu untuk 18 tahun adalah sesuatu yang sukar untuknya. Tina mendapat panggilan beberapa jam sebelum itu daripada seorang ahli keluarga Balan yang terbaca tentang berita Balan dalam internet. Kami memberitahu pengendali upacara pengembumian untuk menunggu anaknya. Anaknya, sekarang sudah menjadi anak muda yang sudah besar tiba pada waktunya untuk melakukan upacara yang terakhir. Ia merupakan satu pertemuan semula yang tertangguh lamanya.

Adakah keluarga Balan akan mendapat balik rumahnya? Ini adalah masalah yang masih belum selesai untuk kita. Kakaknya percaya bahawa roh Balan akan kekal dalam rumahnya kerana di situlah perjuangan terakhirnya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

20190607 - 61936276_2161077153929748_2726035198973050880_n

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *